Wednesday, May 22, 2013
Pertembungan grafiti di Genting Highland
SUHU sejuk di Taman Tema Resorts World Genting tidak menghalang peserta menyembur cat di dinding dan kepingan papan yang disediakan oleh pihak penganjur.
Cat berwarna-warni merupakan keperluan asas peserta untuk menghasilkan karya grafiti terbaik dalam usaha merebut wang tunai keseluruhan bernilai RM40,000 dalam Pertandingan Seni Grafiti Resorts World Genting 2013 peringkat akhir pada 12 hingga 14 April lalu.
Pertandingan peringkat awal yang bermula pada 21 hingga 13 Mac itu berjaya mencungkil bakat seramai 30 peserta untuk bertanding pada peringkat akhir. Ia terbahagi kepada dua kategori iaitu terbuka dan pelajar.
Sebelum pertandingan bermula, peserta perlu menghantar satu konsep visual karya grafiti yang bertemakan Fun & Excitement di laman Facebook Resorts World. Seramai 30 finalis pertandingan itu dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan, undian peminat di Facebook dan panel hakim.
Seorang finalis kategori terbuka, Fizzy Suhaimi, 31, memberitahu lakaran grafiti yang dipersembahkan pada peringkat akhir pertandingan itu merupakan idea spontan untuk menzahirkan keriangan kanak-kanak yang sedang bermain permainan di taman Taman Tema Resorts World Genting.
Gabungan warna cat
Dia yang tampil dengan grafiti bertajuk, Baby Evil Crown Enjoying Himself At Genting Highlands, Trying It All! Woohooo! menggabungkan pelbagai jenis warna cat untuk menyerlahkan karyanya itu.
“Saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak penganjur. Keriangan kanak-kanak yang sedang bermain permainan memberi inspirasi kepada saya dalam penghasilan karya ini.
“Pesaing utama saya pada pertandingan ini ialah Hafiz Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Katun. Grafiti yang dihasilkan olehnya mempunyai pelbagai karakter dan tona warnanya juga bertepatan dengan tema,” ujarnya mempunyai lapan tahun pengalaman dalam lakaran grafiti.
Hadiah utama untuk kategori terbuka merupakan wang tunai berjumlah RM3,000 dan pakej percutian ke Resorts World Langkawi. Pemenang tempat kedua dan ketiga, masing-masing akan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000 serta baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World, Genting Highlands.
Bagi kategori pelajar pula, pemenang hadiah utama akan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Hotel First World.
Karya grafiti kesemua peserta peringkat akhir akan dipaparkan di laman sosial Facebook Resorts World Genting. Pemilihan untuk menentukan pemenang bagi kedua-dua kategori pertandingan tersebut akan dinilai berdasarkan keputusan para juri dan jumlah undian Like.
Kesemua karya grafiti itu turut menjadi tarikan baharu kepada pelancong ke Taman Tema Genting. Selepas pertandingan tersebut berakhir, ia tidak akan dipadam sebaliknya dibiarkan sahaja untuk tatapan pelancong.
Seorang pelancong dari Thailand, Washirasak Charoenhiruntorn, 23, berpendapat bahawa karya grafiti yang dihasilkan oleh kebanyakan peserta ternyata lebih realistik jika dibandingkan karya-karya yang biasa dilihatnya.
”Ia satu pengalaman yang menarik apabila datang bercuti dan berpeluang melihat karya-karya unik daripada pelukis grafiti dari Malaysia,” ujarnya.
Persediaan
Sementara itu, seorang peserta, Chai Vui Yung, 31, atau lebih dikenali dengan nama Kenji Black Fryday dalam arena seni grafiti negara memberitahu, dia mengambil masa selama lapan jam untuk menghasilkan grafiti untuk dipersembahkan kepada juri dan pengunjung.
“Saya membuat persediaan rapi terutama aspek lukisan dan warna yang ingin ditonjolkan. Lakaran awal merupakan langkah penting dalam penghasilan grafiti yang mengikut tema yang ditetapkan,” ujar anak jati Sandakan, Sabah itu.
Orang ramai boleh mengundi peserta yang menyertai Pertandingan Seni Grafiti Resorts World Genting 2013 dengan menekan butang Like pada karya grafiti pilihan anda di www.facebook.com/resortsworldgenting. Tarikh tutup undian dan keputusan pemenang akan diberitahu oleh pihak penganjur kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: