Wednesday, May 22, 2013

Awas si fidofilia

IBU BAPA perlu peka melihat perubahan yang berlaku kepada anak masing-masing bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.- Gambar hiasan


SUDAH beberapa kali kita dikejutkan dengan berita rogol ke atas kanak-kanak perempuan. Terbaharu, Nur Amyliana Shuhada, gadis berusia 11 tahun yang ditemui mati di tempat letak kereta di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Ia kisah yang menyayat hati. Anak kecil seperti itu sepatutnya menghabiskan masa mereka di sekolah dan petangnya bermain bersama kanak-kanak lain.
Malangnya, kegembiraan anak-anak seperti itu telah diragut oleh penjenayah kejam yang tidak berhati perut. Mereka bukan sahaja merogolnya, tetapi membunuhnya pula.
Sesekali kita berasa janggal mengapa ada orang yang sanggup menyimpan nafsu kepada kanak-kanak kecil seperti itu? Adakah dunia ini sudah sangat kejam. Perkara ini sesuatu yang tidak masuk akal bagi kita apabila ada orang yang tertarik dengan kanak-kanak.
Ia mungkin hal pelik bagi orang normal. Hakikatnya, hal yang jarang-jarang berlaku itu adalah satu penyakit psikologi. Ada kemungkinan apa yang berlaku itu bersabit dengan simptom yang selalu dibincang dalam bidang psikologi.
Ia mungkin berkait dengan simptom fidofilia.
Secara umumnya, fidofilia didefinisikan sebagai kecenderungan manusia tertarik secara seksualnya dengan kanak-kanak atau dalam bahasa mudah 'ingin menjadikan kanak-kanak sebagai sahabat'.
Walaupun penyakit itu boleh menimpa sesiapa sahaja, tetapi ia biasanya merujuk kepada kesukaan orang dewasa terhadap kanak-kanak.

KANAK-KANAK tidak tahu membezakan antara manusia yang baik dan manusia yang mempunyai niat jahat terhadap mereka.


Bagaimanapun, simptom itu tidak semestinya seksual, walaupun banyak daripada kecenderungan tersebut berasas kepada seksual.
Ada juga perlakuan yang mungkin untuk menyakiti kanak-kanak misalnya merosakkan barang permainan mereka.
Mereka yang mempunyai masalah psikologi itu berasa puas apabila anak-anak kecil menderita atau merasa kecewa.
Secara puratanya masalah kejiwaan itu selalu menimpa lelaki pertengahan umur, walaupun ada kajian menunjukkan wanita mempunyai gejala tersebut.
Kajian-kajian yang dilakukan (misalnya Gebhard, 1965) menunjukkan pelaku atau pesakit fidofilia biasanya kenal dengan mangsa.
Pelaku tersebut biasanya juga mengenali keluarga mereka, hidup sebagai jiran atau sahabat kepada keluarga mangsa. Kajian-kajian juga menunjukkan 10 hingga 15 peratus kanak-kanak terdedah dengan perlakuan sumbang itu.
Ini bermakna, walaupun anak-anak kita sering kali diingatkan untuk berhati-hati dengan orang luar, bagaimanapun dalam sesetengah kes, kita juga patut menyarankan agar anak-anak kita berhati-hati dengan orang yang mereka kenali.
Perasaan curiga
Orang yang tidak mereka kenali mungkin tidak mampu mengajak mereka keluar bermain-main dengan mudah, tetapi individu yang mereka kenali mampu melakukan sesuatu yang tidak terjangkau oleh orang luar.

MUIDIN MAIDIN dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Nurul Nadirah Abdullah yang dikenali sebagai Dirang.


Masyarakat khususnya, perlu menyedari hakikat ini. Ia penting kerana tanpa pengetahuan, kita mungkin tidak menyedari bahawa anak-anak kita mungkin sedang 'diintai' untuk menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab.
Apatah lagi, apabila pelakunya bukanlah orang asing dalam keluarga kita.
Apabila ada hal-hal yang agak janggal berlaku, kita patut melihatnya dengan sedikit rasa curiga.
Misalnya apabila anak-anak kita dibelikan dengan hadiah yang mahal, atau sering diajak keluar bermain, individu seumpama itu sewajarnya diperhatikan.
Walaupun semua perlakuan seperti membelikan hadiah atau mengajak anak kita keluar rumah mungkin juga dilakukan oleh mereka yang budiman, tetapi sedikit kecurigaan patut wujud. Setidak-tidaknya, kita dapat mencegah sesuatu yang buruk berlaku kepada anak-anak kita.
Ini kerana secara umumnya, pelaku fidofilia adalah orang yang kelihatannya normal. Mereka mungkin boleh menampilkan imej warak atau seperti orang kebanyakan yang lain.
Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, kajian-kajian menunjukkan bahawa mereka ini ada kecenderungan untuk bersikap antisosial.
Ibu bapa dan sesiapa sahaja wajar memberikan keutamaan kepada anak-anak mereka setiap masa. Secara logiknya, anak-anak kita akan bermain atau berbaik-baik dengan rakan sebaya mereka bukan mereka yang dewasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: