Wednesday, May 22, 2013

Malaysia dalam peta muzik dunia


BEKAS Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen (kanan) bersama Iqbal ketika merasmikan Festival Future Music Asia 2013 di Sepang baru-baru ini.


SEJAK lima tahun kebelakangan ini, Malaysia melakar nama dalam peta muzik dunia apabila menjadi tumpuan penggiat muzik terkemuka untuk mengadakan konsert.
Baru-baru ini, Malaysia menjadi tumpuan peminat muzik dari serata dunia yang berkampung selama dua hari di Litar Antarabangsa Sepang bagi menyaksikan penyanyi kesayangan mereka beraksi di Festival Future Music Asia (FFMA) 2013.
Festival kali kedua dianjurkan itu disertai lebih 20 pemuzik terkenal dunia yang beraksi selama dua malam berturut-turut iaitu pada 15 dan 16 Mac lalu. Penganjuran kali pertama adalah pada tahun lalu.
Acara tersebut yang membabitkan kos penganjuran sebanyak RM10 juta berjaya menarik kira-kira 45,000 pengunjung termasuk lebih 13,000 orang pelancong antarabangsa.
“Pencapaian ini sesuatu yang membanggakan kerana Malaysia berjaya menganjurkan acara muzik bertaraf antarabangsa.
“Secara tidak langsung, ia dapat mempromosikan negara kita kepada masyarakat dunia,” ujar Pengarah Livescape Asia, Iqbal Ameer yang berperanan sebagai penganjur bersama acara itu.
Antara artis terkenal yang beraksi di FMFA ialah PSY, The Prodigy, Bloc Party, Rita Ora, The Temper Trap, Fun, Kill The Noise, Zeds Dead, Angger Dimas dan Sidney Samson.
Seorang penonton, Siti Xaviera Rasha Darmawan, 19, nyata bertuah apabila memenangi dua tiket menyaksikan persembahan tersebut setelah menyertai peraduan kelolaan MTV Asia, Indonesia.
Kemenangan itu membawanya terbang sejauh 1,150 kilometer buat kali pertama dari Jakarta ke Kuala Lumpur.
“Saya sangat teruja dapat datang ke Malaysia kerana segala-galanya ada di sini. Muzik, beli-belah, makanan lazat dan rakyatnya yang mesra.
“Aliran muzik dan penyanyi Malaysia juga mudah diterima di Indonesia terutamanya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin,” katanya yang ditemani rakannya, Aprilia Utami Setya Vijoyo, 19.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: