Tuesday, May 7, 2013

Mahali pilih Puma Mobium Elite

MAHALI menunjukkan kasut Puma Mobium Elite yang membantu larian lebih selesa.


KASUT larian yang dicipta khusus mengikut pergerakan kaki kini boleh dimiliki mereka yang aktif berlari. Puma Mobium Elite menjadi item wajib untuk dipakai kerana keupayaannya untuk mengembang dan mengecut saat kaki bergerak.
Proses rekaan dan pembangunan Puma Mobium Elite yang dijalankan selama dua tahun dihasilkan dengan mengambil kira pengembangan kaki menerusi tiga arah. Longitud, lateral dan sisi tegak kaki diteliti, sekali gus menghasilkan sepasang kasut yang bersesuaian dengan pergerakan badan menjadikan larian lebih natural.
Pengurus Besar Puma Malaysia, Cheryl Wong menjelaskan, Puma Mobium Elite merupakan kasut generasi pertama yang direka mengikut konsep sebegitu.

DARI kiri: Mahali, Cheryl dan Wee Wern pada majlis pelancaran Puma Mobium Elite baru-baru ini.


“Ia dihasilkan bagi mencabar pembentukan statik kebanyakan kasut dan melangkaui standard konvensional.
“Kami percaya kasut ini mampu memberi keselesaan berpanjangan kepada pemakai dan paling penting, ia meningkatkan kualiti larian agar lebih efisien,” ujar Cheryl pada majlis pelancaran Puma Mobium Elite di pusat beli-belah 1Utama, Selangor baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu pemain bola sepak kebangsaan, Mahali Jasuli dan atlet skuasy negara, Low Wee Wern yang tidak ketinggalan berkongsi pengalaman mereka menyarung Puma Mobium Elite.
PUMA Mobium Elite dicipta berpandukan tiga aspek pergerakan kaki.


Mahali ketika ditemui Kosmo! pada majlis itu memberitahu, percubaan awalnya menggunakan Puma Mobium Elite ternyata memberi kelancaran luar biasa dalam lariannya.
“Sebagai ahli sukan, kasut memainkan peranan yang penting dalam aktiviti seharian. Kasut yang baik mestilah selesa dan stabil serta mampu meningkatkan prestasi.
“Saya sendiri pernah terbeli kasut yang tidak sesuai. Kesannya ia membuatkan kaki saya cepat melecet dan jika dipakai secara berterusan, ia boleh mencederakan kaki.
“Jadi adalah amat penting kita mengetahui kasut yang sesuai dengan kaki kita. Sebelum beli, cuba kasut itu terlebih dahulu dan selepas benar-benar yakin, barulah membuat keputusan,” kongsi Mahali sambil menambah kasut yang berharga RM369 ini selesa dan mampu memberi kepuasan kepada dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: