Wawa Zainal
Wawa Zainal
Nama gadis ini sememangnya semakin mendapat tempat di hati peminat seni tempatan.

Menariknya, bukan sahaja di kaca televisyen, malahan wajahnya juga sering kali muncul di layar perak.

Meski pun baru berusia 21 tahun, namun pelakon cantik ini tidak pernah mengabaikan aspek kecantikan dan kesihatan.

Baginya, semua itu perlu dijaga sementelah kini, dia bergelar selebriti.

Pun begitu, empunya nama Wawa Zainal ini memberitahu, dia bukanlah seorang yang terlalu obses atau teliti terhadap kecantikannya, sebaliknya melakukan rawatan sekadar yang perlu sahaja.

Jom kita selami tip atau amalan yang dilakukan Wawa dalam memastikan dirinya sentiasa tampil cantik dan sihat.

Jika dibandingkan di awal penglibatan anda dalam industri seni, anda tampak sedikit berisi, tetapi kini tidak lagi, adakah anda mengamalkan sebarang diet untuk menurunkan berat badan?

Memang benar berat saya turun mendadak secara tiba-tiba, sebenarnya, bukan saya mengamalkan diet, tetapi ia turun kerana saya penat dengan tugas sebagai pelakon.

Boleh kongsi berapa berat badan anda dahulu dan sekarang?

Dulu, berat saya 48 kilogram dan sekarang 44 kilogram sahaja.

Adakah anda selesa dengan berat badan yang anda miliki kini?

Saya tidak kisah sangat asalkan bentuk badan ini nampak elok dan kena jika menggayakan apa-apa pakaian.

Lagipun, dengan berat sebegini, saya nampak lebih langsing di kaca tv.

Anda sangat bertuah kerana tidak mengalami masalah berat badan, adakah ini bermaksud anda tidak perlu mengawal selera dan kuantiti makanan yang anda ambil?

Alhamdulillah, memang berat badan saya susah nak naik dan saya senang dengan situasi ini. Paling seronok, saya boleh makan apa sahaja yang saya mahu.

Ada apa-apa tip atau petua yang anda amalkan?

Dari segi pemakanan tiada apa-apa, namun yang paling penting, untuk tampil segar dan langsing, kita perlu pastikan minum air putih secukupnya setiap hari. Kurangkan minum ais dan minuman manis.

Beralih kepada kesihatan kulit wajah pula, apa rahsianya?

Kulit saya normal seperti orang lain, adakala akan naik jerawat juga. Cuma saya akan pastikan wajah dibersihkan dengan betul setiap hari. Lagipun, menjadi selebriti menyebabkan wajah kita sentiasa disolek tebal, jadi perlu mencucinya sehingga benar-benar bersih.

Anda merupakan duta kepada produk Syahirah, adakah ia memberikan kesan kepada anda?

Sudah tentu, jika tidak sudah pasti saya tidak menerima tawaran untuk menjadi duta produk tersebut.

Bagaimana pula dari segi penjagaan rambut?

Saya memiliki rambut yang nipis, apa yang pasti saya perlu melakukan rawatan di salun sebulan sekali supaya ia kekal lembap dan tidak kering. Dalam pada itu, jika ada masa terluang saya kerap melakukan rawatan sendiri di rumah.

Adakah anda juga gemar ke spa untuk melakukan rawatan muka atau tubuh?

Bila berkesempatan saya juga akan melakukan facial dan massage, itu pun bergantung kepada hari luang saya. Bagaimanapun, jika bercuti, saya lebih selesa berada si rumah sahaja.

Pengertian cantik bagi anda..

Cantik bagi saya bukan sekadar luaran sahaja, yang penting adalah kecantikan dalaman. Jika cantik di dalam, pasti cantik di luarnya juga. Namun kecantikan fizikal tetap perlu dijaga.

Sedikit perkembangan terbaru anda?

Saya sekarang sedang sibuk penggambaran drama terbaru untuk TV3, selain itu, filem terbaru saya 99 Kali Rindu akan ditayangkan Mei nanti.