|
AHLI gusti, Raj Singh mengunci lawannya. Ketika itu, kedua-duanya yang beradu di atas sebuah gelanggang terbuka yang diperbuat daripada kain-kain buruk dibasahi peluh. Namun, ketika beradu tenaga itu, dia masih sempat memikirkan impiannya untuk beraksi di Olimpik yang telah musnah.
"Tak dapat saya fikirkan, bagaimana sukan gusti tidak menjadi sebahagian daripada Olimpik.
"Saya tidak nampak apa masalahnya kerana gusti menarik ramai penonton tidak kira di mana ia diadakan. Sukan ini tidak boleh dibiarkan mati begitu saja," katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Gusti India.
Masa depan sukan itu tampak semakin kelam selepas lembaga eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Februari lalu memutuskan untuk menggugurkannya pada temasya edisi tahun 2020.
Moral jatuh
Sejak itu, ramai tokoh besar sukan itu menyertai kempen untuk menentang keputusan tersebut.
Rekod Olimpik India bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi ahli gusti negara itu membawa pulang empat daripada 13 medal individu sejak ia mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947, termasuk pingat gangsa oleh Khashaba Jadhav di Helsinki, Finland pada 1952.
Ramai ahli gusti melihat sukan tersebut bukan sahaja sebagai peluang kejayaan Olimpik, tetapi cara mengeluarkan diri daripada kancah kemiskinan.
Sushil Kumar yang mendapat pingat perak di London tahun lalu selepas memungut gangsa di Beijing pada 2008, menjadi wira di negara yang obses dengan kriket itu. Sejak itu, gambarnya digunakan secara meluas oleh pengiklan bagi menjual pelbagai produk daripada minuman ringan ke jentera berat.
"Kita telah memulakan kemenangan medal Olimpik dalam sukan gusti. jika mereka menggugurkannya ia akan menjadi masalah besar buat kita.
"Sebaik mendengar berita buruk tersebut, moral semua orang jatuh," kata jurulatih kebangsaan India, Vinod Kumar.
Rakan sepasukan Sushil, Yogeshwar Dutt yang mendapat pingat gangsa di London memberitahu AFP bahawa dia akan memulangkan medalnya jika gusti tidak disenaraikan semula.
"Gusti adalah hidup saya dan ribuan yang lain. Apabila kami menang pingat, ramai anak muda yang merasakan mereka juga berpeluang memenanginya di Olimpik.
"Mereka memasang angan-angan untuk berjaya tetapi ia kini hancur berderai," kata Yogeshwar, anak kepda seorang guru sekolah di kampung itu.
Dia kini bekerja dalam pasukan polis berikutan kejayaan Olimpik yang diperolehnya.
Permulaan karier
Kebanyakan ahli gusti terkemuka India memulakan karier mereka dengan bergelut di atas gelanggang lumpur purba dipanggil Guru Hanuman 'Akhara' di kota lama Delhi.
Sekurang-kurangnya 125 pelatih berusia antara 10 hingga 30 tahun menetap di situ, malah memasak makanan sendiri dan mempelajari inti pati gusti daripada jurulatih yang dilantik kerajaan.
Rejim kecergasan mereka termasuk memanjat tali dan berlari mendaki bukit dengan mendukung pelatih lain serta membina otot di sebuah gimnasium terbuka buatan sendiri.
Maha Singh Rao yang menjadi jurulatih di 'Akhara' sejak 1984 berkata, pelatih diajar prinsip asas kehidupan ringkas dengan minda yang bersih dan badan yang kuat.
"Disiplin adalah perkara terpenting bagi mereka yang mahu mencipta nama. Gusti seperti kehidupan, semua orang mahu menjadi lebih kuat berbanding yang lain," katanya lagi.
Antara pelatih yang ada di 'Akhara' ialah Chandan Singh, 16, yang meninggalkan ibu bapanya di Hyderabad empat tahun lalu untuk mengabdikan diri mempelajari seni gusti.
"Saya sukakan kehidupan di sini, mereka menjaga saya dan memberikan makanan yang bagus, malah saya dapat pergi ke sekolah.
"Bagaimanapun, apa yang saya mahukan ialah bergusti dan menjadi seorang yang terkenal," katanya.
Gusti kekal dalam senarai acara Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, namun kebarangkalian untuk ia digugurkan pada temasya sukan antarabangsa itu pada tahun 2020 sangat tinggi. Ini kerana tujuh disiplin sukan lain termasuk skuasy, besbol, wakeboarding dan wusyu saling bersaing untuk menggantikannya.
IOC tidak menyatakan punca lembaga eksekutifnya mahu menggugurkan gusti, tetapi rating televisyen yang rendah dan tidak ramai yang menyaksikannya dilaporkan menjadi faktor utama.
Keputusan muktamad mengenainya akan dibuat apabila kesemua anggota IOC bersidang pada September ini.
Madrid, Tokyo dan Istanbul masing-masing membida untuk menjadi tuan rumah kepada Olimpik 2020.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: