Padat dengan aksi yang hebat, Idham bijak mengolah jalan cerita itu sehingga penonton tidak sedar ia sudah tiba ke penghujung tayangan.
Malah, aksi yang dipamerkan bukan calang-calang apabila beliau menggunakan sentuhan pengarah aksi bagi filem aksi Thailand yang terkenal, Ong Bak.
Mengisahkan Khaliff lakonan Aaron Aziz yang berkhidmat sebagai tentera selama tujuh tahun berdepan konflik di mana ayahnya dibunuh sementara adiknya, Ina lakonan Erin Malek dilarikan oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Konflik semakin memuncak apabila Khaliff berusaha mengesan keberadaan adiknya dan mengetahui suami bekas kekasihnya, KJ lakonan Erry Putra dalang di sebalik kehilangan adiknya.
Dengan bantuan bekas kekasihnya, Maya lakonan Dira Abu Zahar dan Taugeh lakonan Hazama, Khaliff berusaha menyelamatkan Ina dari rumah pelacuran tersebut.
Menurut Idham, beliau memperuntukkan RM 500,000 hingga RM 600,000 hanya untuk babak aksi sahaja.
"Saya nak lari dari gangsterisme, jadi saya cipta satu isu yang lebih matang, dari situ timbulnya isu pemerdagangan manusia.
"Untuk aksi sahaja, sebanyak RM 500,000 hingga RM 600,000 diperuntukkan," katanya pada sidang media Malam Gala Tayangan Perdana Filem Lari, malam tadi.
Sementara itu, pelakon utama, Aaron akui Lari adalah filem aksi pertamanya yang benar-benar mencabar.
"Aksi Lari memang mencabar. Boleh dikatakan aksi filem paling mencabar yang pernah saya buat. Pukul betul-betul...tak ada 'camera trick'.
"Pengarah aksi pun suruh saya pukul 'stuntman' itu betul-betul. Saya pun kena pukul juga. Memang rasa sakit juga walau pakai 'pad'," katanya yang melakonkan sendiri 98 peratus babak aksi dalam filem tersebut.
Aaron juga akui puas dengan aksinya dalam filem yang menelan kos RM 2.5 juta tersebut.
"Memang saya rasa puas sebab koreografi cantik, kemas, logik dan tepat.
"Tapi tak ada kecederaan yang maksimum. Keselamatan kami memang dijaga oleh pengarah," katanya.
Lari mula ditayangkan 6 Jun ini di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Filem yang menjalankan penggambaran di Perlis, Ipoh dan Kuala Lumpur ini turut dibintangi Erin Malek, Hazama Azmi, Erry Putra dan Dira Abu Zahar.
Filem yang diklasifikasikan P13 ini juga bakal ditayangkan di Marche Du Film, Festival De Cannes (Festival Filem Perancis) yang ke-66 bermula, hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: