Ini terbukti setelah konsert Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas (DFP) anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Petronas (KSRP) yang dijalankan Mei tahun lalu nyata berjaya meninggalkan kenangan yang terindah buat penonton yang hadir.
Walaupun ini bukan kali pertama mereka digandingkan bersama, konsert amal kali ini di anggap lebih istimewa apabila kehebatan mereka pada malam persembahan konsert itu buat julung kalinya dirakam dan dijadikan sebuah album live khas buat peminat mereka.
Menurut Anuar, konsert yang mendapat sentuhan pemuzik-pemuzik hebat, di bawah pimpinan pengarah muzik, Jenny Chin, juga adalah merupakan salah satu faktor album live ini dihasilkan.
"Bagi saya konsert yang dijalankan tahun lalu begitu istimewa tambahan pula ia juga melibatkan kolaborasi antara saya dan Dayang sendiri.
"Persembahan pada malam itu memang istimewa dan penghasilan album ini juga untuk berkongsi pengalaman kami bersama peminat yang tidak berkesempatan untuk hadir pada konsert tersebut," katanya pada majlis pelancaran album Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Restoran Serai, Life Centre, kelmarin.
Tambah Dayang, dia amat bersyukur kerana di beri peluang untuk berkongsi pentas bersama penyanyi yang dikaguminya selama ini.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar pada malam itu. Dalam album ini kami telah memuatkan sebanyak 14 buah lagu popular saya dan Anuar.
"Saya berharap, peminat tidak akan lepaskan peluang untuk mendapatkan album live ini di pasaran sekarang," katanya yang mengakui serasi bersama Anuar sejak dulu lagi.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut adalah Bila Resah, Mana Mungkin, Perlukan Cinta, Kembalilah Sayang, Cinta Harus Memiliki, Dayang Sayang Kamu, Kau Bunga Cintaku, Hakikat
Cinta dan banyak lagi.
Foto mesra Anuar- Zandra
Pada majlis yang sama, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 43, sempat menjelaskan bahawa foto berpelukan bersama pemain boling negara, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi itu hanya sekadar teman rapat dan tidak membawa kepada sebarang maksud.
Pada masa sama, dia turut memohon maaf kepada pemain bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim, sekiranya foto itu menimbulkan kesulitan terhadapnya.
"Saya tidak sangka foto itu menjadi sesuatu yang hangat dalam masa beberapa hari ini padahal kami memang tiada hubungan pun.
"Foto itu dirakamkan apabila kami berdua terserempak setelah beberapa tahun tidak berjumpa. Ketika itu, kami terlalu teruja untuk bergambar dan saya memang tidak ada niat pun. Apa pun saya memohon maaf kepada teman lelakinya kalau perkara ini mengguris hatinya," jelasnya.
Dayang hampir merajuk?
Seketika menyepi dari dunia hiburan tanah air, bukanlah kerana merajuk mahu pun terasa hati, namun Dayang memberitahu, dia masih sibuk menjalani aktiviti seninya.
Kata Dayang, walaupun jarang dilihat menerusi kaca televisyen, sebenarnya dia sibuk menguruskan kariernya dengan memenuhi undangan nyanyian dan juga mengumpul material untuk album terbarunya.
"Tahun lalu saya mula memberi fokus sepenuhnya terhadap konsert ini dan tahun ini pula saya akan sibuk dengan pembikinan album baru.
"Saya tidak pernah berhenti daripada industri hiburan dan boleh dikatakan sentiasa aktif dalam bidang nyanyian cuma mungkin jarang dilihat di kaca televisyen menyebabkan ramai yang beranggapan sedemikian," katanya.
Mengulas lanjut mengenai perancangan untuk pengeluaran album terbarunya, Dayang memberitahu kali ini dia menggunakan strategi yang sama seperti penyanyi lain dengan mengeluarkan beberapa single terlebih dahulu sebelum mengeluarkan album penuh.
"Setakat ini saya sudah mengeluarkan single baru Bisikan Rindu untuk soundtrack drama terbaru, Dahlia tayangan Astro Mustika HD. Lagu ini adalah hasil ciptaan Manusia Putih dan saya amat berpuas hati dengan penghasilan lagu ini.
"Dalam pada masa yang sama, saya masih mencari beberapa material yang sesuai untuk single lain," katanya yang bakal mengadakan showcase khas buat peminatnya yang akan dijalankan di The Vanue, Pavillion, Kuala Lumpur pada 23 Jun ini jam 8.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: