Redza dan Cristina
Redza dan Cristina
Nik Amir
Nik Amir bersama pelakon.
Siapa sangka, daripada sekadar suka-suka untuk menghasilkan filem dan kemudian ditayangkan di laman Youtube, filem KIL arahan pengarah muda, Nik Amir Mustapha bakal ditayangkan di layar perak 30 Mei ini.

Malah, filem ini juga telah berjaya meraih sebanyak 88,005 tontonan di Youtube.

Ketika sesi tayangan filem berkenaan yang diadakan Selasa lalu, ramai yang memuji karya Nik kerana berjaya suntikan baru dari segi jalan penceritaan, sinematografi dan tidak keterlaluan untuk mengatakan ia adalah sebuah karya tempatan yang bakal memberi nafas baru pada industri perfileman tanah air.

"Saya menghasilkan filem ini sekadar suka-suka dan kerana minat dengan filem. Jadi saya panggil kawan-kawan untuk turut serta dalam pembikinan filem ini.

"Malah, perbincangan dengan Redza Minhat juga hanya dilakukan di kedai makan sahaja. Saya juga terpaksa gunakan wang sendiri untuk pembikinan filem ini terlebih dahulu," ujar Nik ketika ditemui selepas tayangan filem tersebut di e@Curve, baru-baru ini.

Filem KIL dibarisi pelakon seperti Redza, Cristina Suzanne Stockstill, Harun Salim Bachik, Dira Abu Zahar, Atilia Haron, Juliana Evan dan ramai

Nik berkata, hanya setahun selepas pembikinan filem ini, iaitu pada tahun 2011, barulah dia bertemu dengan penerbit Grand Brilliance, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

"Selepas menonton filem yang kami hasilkan, Tengku bersetuju untuk membeli filem ini dan seterusnya melalui proses produksi yang lebih teliti dengan memasukkan kesan bunyi dan sebagainya," katanya.

Nik berkata, sebagai seorang pengarah baru, cabaran utamanya dalam menggarap filem ini adalah mencari maklumat.

"Sebagai orang baru, saya memang tidak mengenali sesiapa dalam bidang perfileman untuk saya tanyakan mengenai filem. Jadi saya banyak menonton dan membaca, seterusnya daripada info dan pemerhatian saya, saya garapkan dalam filem ini.

"Saya juga bersyukur kerana pelakon banyak membantu dan saya juga memberi kebebasan kepada pelakon untuk melontarkan dialog mengikut skrip mereka sendiri," katanya.

Menurut Nik, dia tidak melabelkan KIL sebagai sebuah filem indie dan merasakan ia adalah filem yang berada di tengah-tengah.

"Ketika sesi tayangan baru-baru ini ada yang kata ia filem urban, tapi bagi saya KIL adalah filem yang mempunyai kedua elemen - indie dan komersial.

"Saya harap semua golongan - tidak kira urban atau tidak boleh menerima dan enjoy menonton filem ini," ujarnya.


Sindir wartawan?

Bagaimanapun, dalam pujian yang diterima daripada karya sulungnya itu, Nik tidak terlepas menerima soalan panas, apabila beberapa babak dalam filem tersebut seolah menyindir segelintir wartawan hiburan tempatan.

Babak tersebut di mana seorang wartawan hiburan (lakonan Aidil dari kumpulan Couple) menemu ramah seorang pengarah terkenal (lakonan Hasnol Rahmat) yang gagal menarik perhatian penonton.

Karakter wartawan berkenaan yang suka menyampuk tidak kena tempat serta dialog berbaur sindiran yang dilafazkan oleh Hasnol, membuat para wartawan dan wakil media yang menonton, ‘panas telinga’.

Menjelaskan mengenai situasi berkenaan, Nik berkata : "Bagi saya, babak itu bukan satu bentuk serangan pada pihak wartawan kerana babak tersebut bukanlah apa yang mahu saya tonjolkan dalam KIL.

"Ia hanyalah sekadar hiburan dan pemerhatian saya. Saya tak berniat nak berperang dengan wartawan.

"Dialog Hasnol yang mengatakan 'gara soalan-soalan panas dari medialah membuatkan segelintir pengarah naik berang', adalah skrip dari Hasnol sendiri dan bukannya dari saya. Bagaimanapun, saya mohon maaf jika ada yang terasa dengan babak itu," katanya.


Bakal ke Cannes

Sebagai sebuah pendatang baru dan filem baru, Nik boleh tersenyum puas apabila KIL menjadi antara empat buah filem tempatan yang terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Cannes di Perancis pada 20 Mei ini.

KIL akan ke sana bersama filem Vikingdom (KRU Studios), Bola Kampung The Movie (Animasia Studio) dan Penanggal (Tayangan Unggul) juga akan turut ditayangkan di anugerah Marche Du Film bersempena festival filem berprestij itu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana ia akan dibawa ke pasaran luar. Bagi saya, apabila GB bersetuju untuk menayangkan filem ini, ia sudah cukup buat saya.

"Jadi apabila KIL terpilih untuk ke Festival Filem Cannes, saya rasa ia sebagai satu bonus," katanya.

Kil mengisahkan tentang Akil (Kil) seorang pemuda yang tertekan dan cenderung untuk membunuh diri. Namun cubaannya sentiasa gagal. Sehinggalah dia berjumpa dengan cara ‘penyelesaian’ yang sempurna, Life Action Bureau ataupun LAB yang membantu sesiapa saja yang ingin membunuh diri.

Namun di saat akhir Kil berubah fikiran. Dia mula jatuh cinta pada seorang gadis, Zara, dan kembali bersemangat untuk menikmati kehidupannya. Tetapi sudah terlambat kerana LAB sudah bertindak. Adakah Kil berjaya meyakinkan LAB? Atau Kil tetap akan dibunuh? Bagaimana pula kisah cinta Kil dan Zara?