Saturday, May 4, 2013

KELAINAN BITARA CHALET HARUS DITEROKAI


SALAH sebuah daripada lapan bilik yang terdapat di calet ini.


MELANGKAH kaki ke Bitara Chalet yang terletak di Jalan Seri Pantai iaitu jalan yang menghubungkan bandar Mersing ke Kem Iskandar, Johor, pada mulanya tidak nampak ketara bezanya dengan calet-calet lain.
Rata-rata calet yang ada pasti menawarkan pantai sebagai daya tarikan, namun di sebalik tarikan yang begitu klise, Bitara Chalet tampil dengan kelainan.
Calet berkenaan menawarkan suasana persekitaran serta kemudahan asas yang selesa sekali gus berjaya menarik perhatian setiap pengunjung.
Justeru, tidak hairanlah, Bitara Chalet menjadi tumpuan pelancong terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil pula pasti seronok kerana kawasan persekitaran yang luas untuk kanak-kanak bermain. Selain itu, mereka juga berpeluang melihat pelbagai jenis burung merpati dan merak yang ada di pintu masuk calet tersebut.
Pengurus Besar Bitara Utama Sdn. Bhd., Zamri Ishak berkata, pihaknya menyediakan kemudahan asas yang selesa dengan persekitaran tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan bandar.

SEORANG pelanggan mengisi masa luang dengan menyanyi karaoke.


“Ketenangan dan keselesaan para pelanggan menjadi keutamaan kami. Kedua-dua tarikan tersebut membuatkan pengunjung menyukai percutian di calet ini.
“Harga bilik yang dikenakan berpatutan dan para tetamu dinasihatkan agar membuat tempahan awal bagi mengelakkan ketiadaan bilik pada saat-saat akhir,” katanya.
Bitara Chalet mempunyai lapan buah bilik masing-masing empat bilik berhawa dingin berharga RM50 semalam dan empat bilik menggunakan kipas berharga RM40 semalam. Kemudahan lain termasuk surau, restoran dan kawasan perkhemahan.
Pengunjung juga boleh berkaraoke, barbeku, berbasikal dan bermain snuker selain menikmati hidangan yang menyelerakan di restoran yang disediakan.
Zamri berkata, bagi memastikan para pelanggan berpuas hati dengan hidangan yang dimasak, bekalan ikan segar dibeli secara terus daripada nelayan-nelayan
di Mersing.
“Kami juga mengadakan pertandingan karaoke dan cabutan bertuah untuk para pelanggan yang menawarkan hadiah lumayan seperti motosikal dan kereta pada setiap tahun.
“Aktiviti sebegini dilakukan bagi menghargai pelanggan setia kami yang tidak putus-putus memberi sokongan,” katanya.
Pada tahun ini, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah diadakan pada penghujung Mac lalu yang dimeriahkan dengan kehadiran pemuzik terkenal tanah air iaitu Man Kidal.
Tambahnya, bagi pihak yang ingin mengadakan seminar atau hari keluarga, Bitara Chalet turut menyediakan kemudahan dewan terbuka yang boleh memuatkan lebih 500 orang pada satu-satu masa.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan, hubungi talian 019-7425142.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: