Saturday, May 4, 2013

Giant ketujuh di Negeri Sembilan

PARA pelanggan teruja memilih barangan basah yang ditawarkan pada harga rendah di Giant Kuala Pilah baru-baru ini.


GIANT, pengendali pasar raya besar terkemuka di Malaysia membuka cawangan ketujuhnya di Negeri Sembilan yang terletak di Jalan Melang, Kuala Pilah pada 18 April lalu.
Pengarah Makanan Serantau, Malaysia & Brunei, Jeff Shaw berkata: "Pembukaan Giant Kuala Pilah, di pusat beli-belah yang dibina khas akan menampilkan konsep moden. Segala barangan keperluan keluarga kini ditempatkan di bawah satu bumbung, dalam suasana moden dan selesa.
"Terletak hanya 3.5 kilometer dari pusat bandar, Giant Kuala Pilah dilihat mampu memenuhi keperluan runcit dan membeli-belah di kawasan perbandaran yang semakin berkembang ini. Pelanggan akan dapat mencari jenama biasa dan produk tempatan pada nilai yang hebat, tanpa perlu pergi jauh untuk mendapatkan keperluan harian mereka."
Di samping menawarkan pelbagai barangan pada harga rendah, pembukaan Giant Kuala Pilah juga telah mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan serta peluang perniagaan yang dijana untuk peniaga-peniaga yang menyewa di pasar raya itu.
Giant Superstore Kuala Pilah memiliki kawasan perniagaan hampir 5,016 meter persegi dan ruang membeli-belah seluas 4,180 meter persegi.
Ia memuatkan kira-kira 50,000 unit barangan makanan segar dan sayur-sayuran, produk makanan lain, keperluan harian, barangan runcit, barangan kegunaan umum lain seperti perkakas rumah, barangan elektrik, pakaian, kasut dan alat tulis.
Pasar raya tersebut turut menampilkan pelbagai produk jenama Giant pada harga 40 peratus lebih rendah berbanding jenama lain dalam jenis yang sama.
Pusat beli-belah tersebut direka untuk menyediakan suasana yang selesa dan ceria yang telah menjadi identiti tersendiri pasar raya Giant di seluruh negara.
Ia mempunyai 41 penyewa yang menawarkan kedai penjagaan kecantikan, butik pakaian, telefon mudah alih dan alat telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, kedai makanan dan minuman.
"Sebagai peruncit terbesar dan peneraju harga yang rendah di Malaysia, kami bertanggungjawab untuk menjadikan konsep peruncitan kami dapat diakses oleh seberapa ramai pelanggan.
"Pasar raya dan pusat beli-belah kami juga menyediakan pelbagai kemudahan mesra pelanggan seperti taman permainan kanak-kanak tertutup, medan selera dan WiFi percuma untuk kemudahan semua pelanggan," katanya.
Terdapat 346 tempat letak kereta percuma untuk memberikan kemudahan kepada para pelanggan. Giant kini secara keseluruhannya mempunyai 131 pasar raya di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: