|
TANPA bantuan daripada anak-anak kecil dari sebuah sekolah rendah di sekitar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur, pastinya persembahan muzikal puisidra dan taripuisi, Green X tidak akan meriah.
Biarpun diberi peranan sebagai ranting pokok dan watak ungka, namun khidmat sukarela pelajar tahun empat hingga enam dari Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah itu dianggap begitu besar.
Pengurus produksi persembahan Green X, Nadrah Zainal Abidin menjelaskan bahawa tenaga pelakon cilik itu begitu diperlukan bagi merealisasikan persembahan yang berkonsepkan kehijauan alam tersebut.
“Tugas mereka sebenarnya begitu besar untuk persembahan ini bahkan menjadi tulang belakang. Sebab itulah latihan diberikan secara intensif kepada mereka. Selain mempunyai peranan sebagai pokok ada juga yang diberi peranan watak ungka.
“Mereka juga nampak begitu bersemangat membawa watak masing-masing sepanjang latihan beberapa minggu. Pihak kami mendapat bantuan daripada 22 orang pelajar yang berlakon secara sukarela.
“Ibu bapa dan guru-guru mereka juga memberi kerjasama yang baik kerana penglibatan ini sebenarnya boleh mendedahkan pelajar terhadap dunia kreatif,” ujar Nadrah.
Biarpun mendapat khidmat sukarela, pihak produksi tetap menjaga kebajikan para pelakon apabila akan menjemput dan menghantar murid tersebut ke sekolah sejurus latihan tamat pada setiap dua kali seminggu.
Melatih kanak-kanak dalam bidang lakonan bukanlah mudah. Pengarah pementasan itu yang juga merupakan pelajar filem, Shikh Abdull Rashid Shikh Abdullah menjelaskan bahawa melayan kerenah kanak-kanak merupakan cabaran yang besar.
“Terdapat dua jenis pelakon yang sukar dikawal dan diberi arahan iaitu pelakon kanak-kanak dan pelakon haiwan.
“Namun, kesukaran itu dapat diatasi sekiranya kita dapat menguasai mereka. Bahkan pelajar tersebut juga lebih mendengar kata kerana mereka semuanya bijak-bijak,” kata Rashid.
Persembahan Green X merupakan projek tahun akhir pelajar ijazah dan diploma modul Pengurusan Produksi, Fakulti Muzik. Mengangkat isu pemanasan global dan alam sekitar, beberapa elemen kesenian digabungkan bersama dalam persembahan yang berdurasi sejam setengah itu.
“Ia merupakan sebuah projek persembahan pentas yang merupakan gabungan muzik, teater dan tarian. Bertemakan kehijauan dan alam semula jadi, kanak-kanak tersebut bersama, pemuzik, pelakon, pemuisi dan penari daripada pelbagai fakulti di Aswara akan berkongsi pentas nanti,” ujar pengarah artistik, Haziratul Syamimi Ishak.
Green X akan dipersembahkan di Panggung Eksperimental Aswara, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 11 Mei ini pukul 8.30 malam. Masuk adalah percuma. Maklumat lanjut hubungi tenga produksi Green X di www.facebook.com.my/aswaragreenx.
Persembahan yang mendapat penajaan daripada Majlis Belia Negara, Yayasan Emkay, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Maya Axis Creative Sdn. Bhd. itu turut diserikan dengan persembahan penutup oleh penyanyi Zainal Abidin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: