Wednesday, May 8, 2013

Eksperimentasi seorang pensyarah


MUHAMMAD RASFAN menunjukkan hasil karyanya yang mengangkat tema Lakeside In Gardenia di Galeri Seni, Matic, Kuala Lumpur.


KEBANYAKAN pengkarya seni visual memilih alam sekitar sebagai subjek utama karya mereka.
Muhammad Rasfan Abu Bakar, 34, antara pengkarya seni yang tidak terkecuali menjadikan keindahan suasana tasik berhampiran rumahnya di Kajang, Selangor sebagai inti pati utama dalam hasil karya seninya.
Koleksi karya indah beliau telah dipamerkan di Galeri Seni, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada bulan April lalu. Ia merupakan pameran solo ketiga Muhammad Rasfan.
Pameran yang mengangkat tema Lakeside In Gardenia itu menyaksikan kreativiti Muhammad Rasfan menghidangkan permainan warna bersifat sejuk pada pengolahan warna terang yang digarap dengan pelbagai teknik.
Menurut Muhammad Rasfan, yang juga seorang pensyarah di Fakulti Animasi dan Multimedia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), sebanyak 36 karya dipamerkan yang berkisar mengenai keindahan, suasana dan landskap tasik.
“Sesetengah individu hanya mampu melihat alam semula jadi tetapi saya berasa bertuah kerana berpeluang mengolahnya dalam bentuk catan dan berkongsi dengan orang ramai” katanya kepada Kosmo!
Setiap karya yang dihasilkan Muhammad Rasfan menekankan elemen simbol dan makna yang dilakukan berdasarkan pemerhatian beliau terhadap alam sekitar.
Bagaimanapun, wujud penghayatan yang berbeza dalam setiap karya memandangkan untuk memahami atau mencerna sesuatu objek seni, orang ramai perlu memahami apa yang cuba disampaikan oleh pelukis itu.
“Segelintir pengunjung mengambil masa yang agak lama untuk memahami mesej yang ingin saya sampaikan.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang mengenali seni mudah saja untuk memahami apa yang ingin saya sampaikan,” ujarnya yang turut menyatakan bahawa setiap karyanya diselitkan alunan riak air.
Tambah beliau, menerusi pameran secara tidak langsung dapat mengajak pengunjung menggunakan pemerhatian sendiri bagi menghayati elemen-elemen asas seperti warna, bentuk, garisan, tekstur, ruang, tekanan dan penghasilan kesan-kesan tertentu yang mungkin tidak mempunyai sebarang maksud.
“Elemen seperti bentuk, warna dan garisan memberi impak yang besar kepada manusia kerana ia terdapat di sekeliling kita,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai proses menghasilkan karyanya, beliau berkata, setiap karya dihasilkannya memakan masa yang lama kerana perlu melalui beberapa proses seperti penghasilan tekstur sebelum diwarna beberapa lapisan.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai yang meneliti setiap hasil karyanya dapat melihat lapisan awal cat tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: