Wednesday, May 8, 2013

Nasib malang kuda Sepanyol

BEBERAPA ekor kuda yang masih terdapat di selatan Sepanyol.


DI penghujung daerah selatan Andalusia di Sepanyol, seorang pengusaha ladang kuda, Virginia Solera, membantu menyediakan kandang bagi kuda buangan yang 'bertuah' ketika era kejatuhan ekonomi melanda Sepanyol.
"Beberapa tahun sebelum ini, kami menyelamatkan kuda-kuda yang tidak dijaga dengan baik atau ditinggalkan oleh tuannya. Di Sepanyol, memiliki kuda melambangkan status kekayaan seseorang individu.
"Sebelum krisis ekonomi melanda negara ini, ramai orang menyangka saya akan membeli kereta mewah atau rumah besar namun saya membeli seekor kuda," kata Solera ketika ditemui di ladangnya yang dinamakan Alhaurin el Grande.
Kebanyakan masyarakat Sepanyol meninggalkan kerja di ladang untuk terlibat dengan industri pembinaan tetapi kehidupan mereka sekali lagi 'terpukul' apabila sektor hartanah jatuh merudum pada 2008.
"Akibatnya, kebanyakan mereka yang bergelut dengan masalah kewangan mengabaikan kuda masing-masing termasuk menghantar haiwan tersebut ke rumah sembelihan," ujar Solera.
Kuda disembelih meningkat
Kerajaan Sepanyol memaklumkan jumlah kuda yang disembelih pada tahun 2012 ialah 60,000 ekor iaitu meningkat dua kali ganda berbanding pada tahun 2008.
Seekor kuda yang dinamakan Alegria yang bermaksud gembira tiba di rumah sembelihan milik Solera dalam keadaan giginya rosak teruk akibat meragut tanah untuk mencari makanan.
Sementara seekor lagi, Estrella cedera di kaki kiri bahagian depan kerana diheret oleh tuannya yang cuba menjinakkan kuda itu dan kemudiannya berputus asa lalu meninggalkan kuda malang berkenaan begitu sahaja.
Kata Solera, pemilik kuda terpaksa meninggalkan kuda yang mereka tidak mahu di kawasan berair dengan harapan haiwan itu mati kebuluran atau lemas.
Tidak berapa jauh dari ladang milik Solera, hujan mencurah-curah ke atas kandang kuda milik Manuel Gonzalez Melendi, 68.
Gonzalez menunjuk ke arah seekor anak kuda yang baru berusia lapan hari tetapi sudah mula berjalan di padang rumput. Anak kuda tersebut merupakan salah seekor kuda yang masih ada di ladangnya.
"Dahulu memang banyak kuda di sini, hampir 100 ekor. Saya selalu jual dan beli kuda. Itulah punca pendapatan saya," kata Gonzalez.
Namun segalanya berubah apabila jumlah kuda peliharaan Gonzalez semakin berkurangan. Ia berikutan kekurangan minat orang ramai untuk memiliki kuda.
SEORANG pekerja wanita memeriksa seekor kuda di Santamaria.


"Pada hari ini, tiada siapa lagi berminat untuk membeli kuda kerana bekalan makanannya mahal. Jadi, saya terpaksa berhenti.
"Saya jual kuda yang ada pada harga rendah dan selebihnya dihantar ke rumah sembelihan," tambah Gonzalez.
Gonzalez yang merupakan seorang setiausaha agung Persatuan Aprosa Rumah Sembelihan dan Pemprosesan Daging Sepanyol memberitahu, ketika ekonomi maju di Sepanyol, kebanyakan keluarga memiliki kuda dan menunggangnya pada setiap hujung minggu.
"Aktiviti menunggang kuda pada setiap hujung minggu sangat popular kira-kira lapan tahun lalu.
"Kuda pada masa itu dianggap perniagaan yang menguntungkan kerana masyarakat pergi ke sekolah kuda untuk berekreasi," kata Gonzalez.
Kos tinggi
Menurut Gonzalez, pada hari ini, perniagaan melibatkan kuda sudah tidak berkembang kerana pemiliknya memerlukan kos yang tinggi untuk memelihara seekor kuda.
"Kos memelihara kuda sahaja sudah mencecah 400 euro (RM1,633) sebulan dan ramai pemilik kuda memilih untuk menjualnya ke rumah sembelihan pada harga RM612 seekor," katanya.
Disebabkan daging kuda tidak popular di Sepanyol, 90 peratus daripada hasil sembelihan dieksport ke Perancis dan Itali.
"Ekoran krisis ekonomi, semua orang terpaksa membuang barangan yang kurang penting bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Mereka cuba menyelamatkan kereta dan rumah tetapi bukan kuda," kata Solera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: