Friday, May 10, 2013

Kaji tempoh khidmat tentera wanita


ZULKIFELI (kanan) berbual dengan anggota wanita pertama Malbatt 5 yang dihantar untuk berkhidmat di Lubnan di Hospital Tuanku Mizan, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengkaji cadangan memanjangkan tempoh perkhidmatan anggota tentera wanita di Lebanon daripada enam bulan kepada sembilan bulan atau setahun.
Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, tempoh perkhidmatan dicadangkan itu merupakan satu usaha untuk memastikan mereka berkhidmat dengan cemerlang dan setaraf dengan tentera wanita dari negara-negara maju.
“Di Kem Tibnin, Selatan Lebanon, pasukan wanita kita berkhidmat selama enam bulan sahaja berbanding pasukan lelaki yang berkhidmat selama setahun. Tetapi kami melihat bahawa jangka waktu sesuai ialah sembilan bulan.
“Namun, khidmat mereka meninggalkan kesan mendalam terhadap rakyat tempatan di sana. Maka terdapat juga peluang tempoh dipanjangkan kepada setahun dan saya telah meminta untuk mengkaji cadangan tersebut,” katanya selepas menyambut kepulangan anggota Kumpulan Wanita Pertama Batalion 5 Malaysia (Malbatt 5) dari Lebanon yang diketuai Kapten Norfaizah Sulaiman di Auditorium Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: