Fizz Fairuz
Fizz Fairuz
FEBRUARI lalu, atmosfera industri hiburan dikejutkan dengan berita pertunangan Fizz Fairuz dengan seorang wanita yang dikatakan peminatnya.

Berita tersebut nyata mengejutkan ramai pihak apabila Fizz sebelum itu dikaitkan bercinta dengan aktres Almy Nadia.

Seminggu kemudian, industri sekali lagi dikejutkan dengan pengakuan Fizz bahawa tunangnya itu sebenarnya isteri orang dan memaksa Fizz memutuskan ikatan pertunangan.

Setelah beberapa bulan berlalu, kisah cinta Fizz dan Almy kembali menjadi perhatian apabila Fizz dikatakan telah berbaik dengan Almy.

Biarpun Almu enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu, lain pula dengan Fizz yang dilihat lebih terbuka.

"Memang saya berkawan dengan Almy tetapi siapa jodoh saya (wanita yang akan dikahwini) saya tidak pasti. Mungkin Almy, mungkin orang lain.

"Fokus saya sekarang adalah pada karier seni dan ibu saya juga sudah melarang saya berkahwin dalam masa dua tahun ini kerana dia mahu saya mengumpul harta terlebih dahulu," katanya yang ditemui ketika sesi tayangan filem Bisikan Syaitan, kelmarin.

Ditanya mengenai hubungan dengan bekas tunangnya dan khabar angin yang mengatakan dia mahu menyaman bekas tunangnya itu, Fizz berkata: "Ini yang sahih dari mulut saya, jangan dengar khabar angin. Apa yang berlalu biarlah berlalu.

"Saya sudah tutup buku lama dan mahu buka buku baru. Khabar angin yang mengatakan saya mahu menyaman dia tidak benar, kami juga sudah tidak lagi berhubung dengannya selepas peristiwa itu," jelasnya.

Pelakon serba boleh

Berkongsi mengenai perkembangannya, Fizz berkata dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Mencari Cinta untuk RTM dan bakal muncul dalam filem Bisikan Syaitan pada 2 Mei ini.

Menyentuh mengenai wataknya dalam filem arahan Faizul A Rashid itu, Fizz berkata, dia membawakan watak sebagai Kamil yang terlibat perjanjian dengan syaitan.

"Dalam filem ini sebenarnya saya ada melakukan adegan ranjang bersama Wan Sharmila dan Nabila Huda, tetapi babak itu dipotong.

"Saya tahu, sebelum ini saya kerap bawa watak orang alim dan kini saya terbuka untuk bawa adegan yang lebih berani. Bukan mencari kontroversi, sebaliknya saya cuba untuk pelbagaikan watak lakonan saya," ujarnya.