'Harapan' bawa penonton selami konflik remaja
Antara babak dalam Harapan.
'Harapan' bawa penonton selami konflik remaja
Shahrizal pegang watak Zayed.
'Harapan' bawa penonton selami konflik remaja
Ishan Dutta ketika mengarahkan Harapan.
ATAS dasar ingin berkongsi permasalahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini, Kacip Pictures membawakan drama berjudul Harapan yang baru sahaja menemui penonton bermula 8 April lalu, setiap Isnin hingga Rabu, jam 6 petang menerusi TVi (saluran 180 Astro).

Menariknya, drama bersiri 13 episod ini telah menemukan bekas pasangan kekasih iaitu Shahrizal Jazle dan Miera Liyana bersatu kembali di dalam drama.

Sedikit mengenai drama menyentuh perasaan ini, ia berkisar tentang Zayed (Shahrizal) yang mempunyai impian untuk menjadi seorang penyanyi.

Bagaimanapun, perjalanan hidupnya tidak semudah yang disangka apabila bapanya (Shahruddin Thamby) tidak bersetuju dengan minatnya itu sebaliknya mahukan dia menjadi seorang guru.

Berkongsi mengenai pembikinan drama ini, penerbitnya, Wan Zainura memberitahu, dia berbesar hati apabila drama ini dapat ditayangkan kepada umum.

Jelasnya, dalam kehidupan yang semakin moden kini, anak-anak lebih betah membuat keputusan sendiri tanpa memikirkan orang tua mereka begitu juga sebaliknya.

"Kita mahu drama ini menjadi pengajaran kepada remaja di luar sana, walaupun, akhirnya Zayed berjaya dengan impiannya namun di awalnya dia telah mengecewakan bapanya.

"Tetapi, sebagai ibu dan bapa juga, tidak salah kita memberi peluang kepada anak-anak untuk menentukan masa hadapan mereka.

"Selagi tidak menyalahi agama dan undang-undang, adalah wajar kita menyokong mereka," katanya jalan cerita drama ini penuh nilai kekeluargaan dan cinta.


Khidmat pengarah Bollywood

Dalam pada itu, jelas Zainura, drama yang mengambil masa sebulan bagi proses penggambaran ini turut menggunakan khidmat pengarah Bollywood iaitu Ishan Dutta.

"Bekerjasama dengan Ishan sangat menarik kerana dia berbeza dengan pengarah sedia ada dalam industri seni.

"Kerjanya sungguh bermutu dan dia juga berjaya menghasilkan perasaan luar biasa dalam diri pelakon.

"Menerusi ekspresi wajah dan penyampaian pelakon dapat kita lihat mereka benar-benar merasainya," katanya setiap babak dalam drama itu bagaikan realiti.

Tambahnya, Ishan adalah pengarah yang sangat mementingkan 'feel' dalam diri seorang pelakon itu.

"Dia buat drama seperti buat filem, segalanya perlu sempurna di mata dia, bagaimanapun, apa yang dilakukannya cukup berbaloi kerana drama ini berkesan di hati penonton," katanya.


Pelakon kuasai watak

Di aju pertanyaan mengapa memilih Sharizal dan Miera pula, akui Wan, dia sebenarnya tidak tahu mengenai hubungan kedua pelakon itu sebelum ini.

"Saya hanya mengetahui tentang mereka apabila seseorang memberitahu saya. Bagaimanapun, saya cukup senang kerana keduanya sangat profesional di set.

"Malah, ketika berlakon sebagai pasangan kekasih, mereka benar-benar jujur dan bagaikan tiada apa pernah berlaku antara mereka sebelum ini," katanya kedua teraju utama ini berjaya menguasai watak yang diberikan.

Dalam pada itu, aspek pemilihan pelakon bukan di tangannya sahaja, jelas Wan, perbincangan akan dilakukan terlebih dahulu untuk menyenaraikan nama pelakon yang dilihat mampu menggalas watak tersebut.

"Kita sudah memilih tiga pelakon untuk setiap watak, keputusan akhir di buat oleh pihak stesen televisyen," katanya berbangga kerana Shahruddin (watak bapa) dan Hamidah Wahab (watak ibu) dijayakan oleh pelakon senior itu.

Selain Sharizal, Miera, Shahruddin dan Hamidah, drama ini turut dibantu Datuk Jalaluddin Hassan.