Penganjuran pertandingan kali kedua di daerah ini itu berjaya menarik lebih 1,600 penyertaan selepas diadakan di Tasik Merdeka/Wet World Batu Pahat.
Difahamkan, pertandingan berkenaan turut berjaya menarik lebih 4,500 pengunjung selain tujuan utama program adalah untuk mempopularkan Taman Botani kepada umum.
Pemenang pertama pertandingan berkenaan, Mohamad Fahmi Paimin, 19, berkata, dia terkejut selepas diumumkan sebagai pemenang pertandingan itu sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM40,000.
Menurutnya, tuah mungkin menyebelahinya selepas ikan keli yang ditangkap seberat enam kilogram itu tidak mampu ditandingi pemancing lain.
“Saya tak sangka ikan yang ditangkap ini menjadikan saya juara pertandingan seterusnya minat memancing selama ini tidak sia-sia.
“Saya akan menyertai pertandingan seumpama ini pada masa akan datang kerana merasakan ia berbaloi,” katanya kepada Sinar Harian.
Pemenang tempat kedua, Edi Yusuf, 36, berjaya memperoleh wang tunai sebanyak RM10,000 dan tempat ketiga dimenangi, Mazlan Abd Manaf, 48, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Jabatan Landskap Johor, Abu Bakar Mohamed Salleh.
Sementara itu, Ketua penganjurnya, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, pertandingan anjuran bersama Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Landskap Johor itu akan dijadikan acara tahunan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, selain tiga pemenang utama, peserta yang mendapat tempat keempat sehingga ke-70 juga mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM250 sehingga RM1,000.
“Selain pertandingan memancing, ada beberapa acara sampingan turut diadakan seperti cabutan bertuah dan juga teka biji buah betik yang turut mendapat sambutan.
“Saya kagum dengan penyertaan yang ramai dan pihak kami akan memastikan pertandingan seperti ini akan diadakan lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: