Friday, May 10, 2013

Berzakat menyucikan harta


AMALAN berzakat penting kerana ia bukan sahaja digunakan dalam membantu golongan yang memerlukan, bahkan membangunkan kehidupan umat Islam.


KEHIDUPAN ini akan menjadi lebih bermakna jika nikmat dan rezeki yang dimiliki dikongsi dengan orang lain walaupun sedikit. Namun lumrah manusia, apabila memberi sesuatu, sering mengharapkan balasan yang lebih daripada apa yang diberikan.
Siapa yang tidak mahu jika ditawarkan balasan yang besar seperti 'Satu dibalas 700'? Pasti ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan tawaran itu.
Tawaran satu dibalas 700 itu nampak luar biasa, namun sebenarnya sudah ramai dalam kalangan kita yang merasai nikmat dan meyakini kebenaran tersebut.
Pasti ramai yang menganggap tawaran satu dibalas 700 sebagai tidak logik dan mustahil kerana menawarkan pulangan yang besar.
Namun menurut Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Adha Ahmad Zohdi, tiada apa yang mustahil bagi Allah kerana itu janji untuk mereka yang bersedekah dan membayar zakat.
Seperti mana janji Allah dalam Ayat 261, Surah Al-Baqarah: 'Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya'.
Berdasarkan maksud ayat itu, pahala orang yang bersedekah akan dilipat ganda seperti berkembangnya satu biji benih menumbuhkan tujuh tangkai dan setiap tangkai ada 100 biji. Malahan Allah boleh memberi lebih daripada itu mengikut kehendak-Nya.
Ini bermakna pahala sedekah bukan 10 atau 30 kali ganda, sebaliknya 700 kali ganda malahan lebih, katanya.
Ia ditambah dengan hadis Nabi SAW: "Tiga perkara ini Aku khabarkan kepada kalian dan kalian peliharalah ia. Pertama, tidak kurang harta yang dikeluarkan untuk sedekah, bahkan akan bertambah," Riwayat Imam At-Tarmidzi.
Ini bermakna bersedekah bukan sahaja menambah pahala, tetapi juga menambahkan harta yang mana perlu direbut dengan ikhlas oleh umat Islam.
Hilangkan riak
Ahmad Adha berkata, amalan berzakat perlu disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah selain menggunakan harta benda dan sumber pendapatan yang halal tanpa perasaan riak.
Bagi menghindarkan daripada perasaan tersebut, pembayar digalakkan menunaikan zakat di institusi-institusi zakat berwajib kerana pembayar dan penerima tidak mengenali antara satu sama lain.
Ini juga akan memudahkan anda untuk menyemak dan mentaksir tuntutan zakat yang wajib dikeluarkan.
"Pastikan zakat didahulukan bagi mereka yang layak kemudian barulah diikuti dengan sedekah sunat lain seperti derma, infaq atau wakaf. Selain itu wajib juga berusaha menyelesaikan hutang-hutang zakat (qadha zakat) yang belum dijelaskan sebelum ini demi memastikan kesempurnaan Islam seseorang itu seperti mana yang terdapat dalam Rukun Islam ketiga," katanya.

KAUNTER zakat yang dibuka di pusat-pusat zakat seluruh negara memudahkan umat Islam menunaikan Rukun Islam itu.


PPZ-MAIWP menyediakan khidmat yang mudah bagi pembayar zakat dengan menghubungi talian 1-300-88-5757 atau www.facebook.com/myzakat untuk maklumat lanjut.
Beri ketenangan
Bagi Letta Tambi, 61, dia mengakui, hidupnya lebih tenang dan tidurnya juga lebih lena apabila dapat menunaikan kewajipan berzakat.
Beliau yang membayar zakat emas sejak berumur 30 tahun berkata, banyak nikmat yang dirasakannya bukan sahaja rezeki yang semakin bertambah, tetapi juga nikmat kesihatan yang baik diberikan Allah.
Pada usia emas itu, Letta masih lagi diberikan kudrat mencari rezeki sebagai pembersih am di sebuah syarikat swasta di Cheras.
"Inilah sebahagian nikmat yang Allah bagi kepada mak cik. Masih sihat, mampu lagi bekerja mencari rezeki dan tidak meminta kepada anak dan orang lain," katanya yang kini menetap di Pudu, Kuala Lumpur.
Walaupun tidak layak untuk membayar zakat pendapatan, namun beliau sentiasa bersedekah terutamanya membantu keluarga terdekat untuk berkongsi rezeki yang diperoleh.
"Apa yang ada kita kongsikan bersama. Insya-Allah, hidup kita akan tenang. Tak usah takut kalau duit tak cukup ke, takut tak makan ke, sebab janji Allah jika kita bersedekah, makin diluaskan rezeki kita," katanya yang berasal dari Melaka.
Rezeki yang mencukupi
Bagi seorang kakitangan syarikat swasta, Syed Mazhar Syed Othman, 29, kesedaran membayar zakat timbul setelah merasakan pendapatan bulanannya sentiasa tidak cukup, malah kadangkala terpaksa meminjam daripada keluarga dan rakan-rakan.
"Duit tidak pernah cukup sedangkan saya belum berumah tangga lagi. Tak tahu mana duit dihabiskan setiap bulan. Nak menyimpan jauh sekali," katanya.
Ujar Syed Mazhar, melalui beberapa ceramah mengenai pentingnya membayar zakat menyedarkan dia akan tanggungjawab menyucikan harta dan pendapatan yang ada.
"Saya nilai balik, mungkin ada silap di mana-mana yang menyebabkan saya lupa tunaikan tanggungjawab saya sebagai orang Islam," katanya yang membayar zakat melalui potongan gaji bulanan sejak setahun lepas.
Ujarnya, perubahan demi perubahan dapat dirasakan setelah menunaikan kewajipan itu terutamanya rezeki yang sentiasa dilapangkan.
"Saya lebih pandai menguruskan kewangan, walaupun gaji tak banyak tapi sentiasa cukup. Kita harus yakin kepada Allah yang memberi rezeki dan ikhlas menunaikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: