Friday, May 10, 2013

Smashies Burger bertapak di Malaysia

RESTORAN Smashies Burger menjanjikan hidangan yang menyelerakan.


PERNAHKAH anda melihat burger dengan padanan warna roti selain perang?Jika tidak, anda pasti teruja untuk mencuba burger di restoran Smashies Burger yang baru dibuka pada Mac lalu di Metro Genting, Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur.
Restoran Smashies Burger menawarkan lima jenis roti yang terdiri daripada perisa bamboo charcoal yang berwarna hitam, pandan (hijau), oren dan dal (kuning) serta red east (merah).
Bukan itu sahaja, bagi mereka yang hanya makan sayur-sayuran, restoran Smashies Burger menyediakan menu burger portobella yang berinti cendawan gedang untuk memenuhi permintaan para pelanggannya.
Fenomena burger
Pemilik restoran Smashies Burger, Soh Meng Hui berkata, konsep jenama burger tersebut baru diperkenalkan di Malaysia diinspirasikan daripada fenomena burger daging hancur yang terkenal di New York, Amerika Syarikat.
"Restoran Smashies Burger ini merupakan cawangan yang pertama dibuka di Malaysia, kami menawarkan pilihan burger dalam bentuk set atau mengikut kehendak pelanggan.
"Pelanggan boleh memadankan roti kegemaran mereka dengan daging segar yang diimport dari Australia, ayam atau cendawan gedang," katanya pada majlis pra-pelancaran Smashies Burger baru-baru ini.
Selain burger, restoran tersebut juga menghidangkan kentang goreng dan minuman ringan kepada pelanggan.

BURGER dengan pilihan roti Bamboo Charcoal (kanan) dan Oren sedia untuk dimakan.


Terdapat dua saiz burger yang disediakan iaitu saiz biasa dan baby bun yang bersaiz separuh daripada saiz burger biasa khas untuk kanak-kanak dan pelanggan yang gemar makan dalam kuantiti kecil.
Sebiji burger yang dijual di restoran Smashies Burger berharga antara RM10.99 hingga RM18.99.
Menurut Meng Hui, pekerjanya menggunakan mesin khas untuk menghancurkan daging tersebut dan tiada pengawet digunakan.
Seorang pelanggan, Fakhrul Razi Zahari, 24, menyukai rasa Smashies Burger yang enak.
"Dagingnya masih berjus dan secukup rasa membezakan burger ini daripada burger lain yang pernah saya makan.
"Pelanggan juga mempunyai banyak pilihan dan menariknya mereka yang hanya memakan sayur-sayuran juga boleh berkunjung ke sini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: