Wednesday, May 8, 2013

Amirul tak sangka


TOP 3. Mohd. Amirul Husni diapit Irsa (kanan) dan Jamiah.


APABILA menyebut nama Datuk Ahmad Jais dan Datin Rafeah Buang, kedua-duanya cukup sinonim sebagai ikon sekitar era 60-an dan 70-an.
Biarpun kedua-dua penyanyi itu sudah meninggal dunia, tetapi lagu-lagu nyanyian mereka masih lagi terus berkumandang sehingga ke hari ini.
Bagi mengenang kembali nostalgia terhadap kedua-dua penyanyi itu, stesen radio Klasik Nasional dengan kerjasama TZ Emas Ventures Sdn. Bhd. telah menganjurkan sebuah pertandingan nyanyian iaitu Irama Kenangan Ahmad Jais dan Rafeah Buang.
Menerusi pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 28 April lalu, seramai 10 peserta telah terpilih untuk menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Ahmad Jais dan Rafeah Buang.
Berlangsung dalam suasana yang cukup sengit, ternyata kemenangan berpihak kepada peserta dari Ampang, Selangor, Mohd. Amirul Husni Mustafa yang baru berusia 20 tahun. Amirul mengalunkan lagu nyanyian Ahmad Jais iaitu Lima Tahun Ku Cari.
Menurut Mohd. Amirul Husni, dia sendiri tidak menyangka mampu untuk bergelar juara memandangkan para peserta yang turut bertanding dilihat menampilkan persembahan yang cukup menarik.
“Sebelum ini sudah banyak pertandingan nyanyian yang saya sertai, tetapi pada malam ini saya rasa cukup bertuah kerana telah berjaya menewaskan sembilan lagi peserta yang cukup hebat.
“Dengan kejayaan ini sudah pasti ia akan menjadi semangat buat diri saya untuk menyertai lebih banyak pertandingan nyanyian pada masa akan datang,” ujarnya yang meluahkan rasa gembiranya atas kemenangan tersebut.
Ketika ditanya apakah yang membuatkan dia tertarik untuk menyertai pertandingan tersebut, Amirul menyatakan dia dan ahli keluarganya begitu minat dengan lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais.
Menurut penuntut jurusan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, usia langsung tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk meminati lagu-lagu penyanyi tersohor tersebut.
“Antara lagu-lagu Ahmad Jais yang cukup saya minati seperti Lima Tahun Ku Cari dan Gelisah, malah saya begitu kagum dengan suaranya yang mampu menarik ramai pendengar,” ujarnya.
Sementara itu, Irsa Sahabuddin yang muncul sebagai naib juara dengan membawakan lagu nyanyian Rafeah Buang iaitu Mustika Hatiku tetap berpuas hati dengan kejayaan yang diraihnya itu.
Ujarnya, dia memang meminati lagu-lagu lama dan pernah muncul sebagai juara Idola P. Ramlee & Saloma 2007 peringkat kebangsaan dan naib juara Bintang Klasik 2012.
“Tidak dinafikan kekuatan saya terletak kepada nyanyian lagu-lagu lama dan itu yang menyebabkan saya tertarik untuk menyertai pertandingan ini,” ujarnya peserta yang begitu meminati Ella itu.
Sebagai juara, Mohd. Amirul Husni berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan dan sijil, manakala Irsa pula telah memenangi wang tunai RM1,500, piala dan sijil.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta dari Perak, Jamiah Lambed dengan hadiah berupa wang tunai RM1,000, piala dan sijil.
Tujuh peserta lain pula, sekadar membawa pulang hadiah saguhati iaitu wang tunai RM200, baucar membeli-belah sebanyak RM300 dan sijil.
Hadiah-hadiah kepada peserta telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhayati Ismail yang turut meluangkan masa hadir pada pertandingan tersebut.
AKSI Amirul ketika mengalunkan lagu Lima Tahun Ku Cari.


Sambutan hangat
Pengerusi Eksekutif TZ Emas Ventures Sdn. Bhd., Tengku Zaini Raja Baharudin berkata, selaku penganjur bersama, pihaknya agak terkejut dengan sambutan hangat yang diterima.
Ujarnya, sesuatu yang cukup menarik tentang penganjuran pertandingan tersebut apabila pihaknya menerima banyak penyertaan daripada peserta yang masih muda dan berusia 20-an.
“Matlamat utama kami menganjurkan pertandingan sebegini adalah mahu mengembalikan nostalgia lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais dan Rafeah Buang agar ia terus malar segar.
“Bagaimanapun, penyertaan yang cukup ramai daripada golongan muda sudah cukup membuktikan lagu nyanyian kedua-dua penyanyi ini terus mendapat tempat tanpa mengira usia,” jelasnya.
Bercerita lebih lanjut tentang pertandingan tersebut, Tengku Zaini memberitahu, pada peringkat awal pihaknya telah menerima sebanyak 424 penyertaan.
Kemudian para peserta perlu menjalani peringkat saringan terlebih dulu yang diadakan di Auditorium P. Ramlee Angkasapuri pada 20 April lalu untuk memilih 35 peserta yang layak ke peringkat seterusnya.
“Untuk saingan akhir hanya 10 peserta yang terpilih untuk bersaing. Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati kerana semua peserta telah tampil dengan persembahan yang menarik dan bersemangat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: