Wednesday, May 8, 2013

Cabaran pelawak wanita



KALI pertama bertemu dengan pelawak Jihan Muse menerusi satu sesi fotografi yang diatur bersama Kosmo! pada minggu lalu, tidak terlalu kelihatan unsur-unsur humor yang ada pada dirinya.
Sedangkan ketika melihat aksinya di kaca televisyen atau membuat persembahan di pentas, pasti para penonton tidak kering gusi melihat telatahnya itu.
Menurut Jihan, dia sendiri mengakui tidak menjangka mampu bertapak kukuh dalam dunia komedi tempatan sehingga kini, meskipun pembabitannya dalam bidang seni sudah agak lama.
"Sebelum menyertai program Raja Lawak 3 pada tahun 2009, saya memang cukup aktif dalam pementasan teater dan langsung tidak terlintas di fikiran untuk menjadi seorang pelawak.
"Biasanya, kalau lepak bersama rakan-rakan saya suka membuat lawak dengan mereka. Kemudian saya telah didorong oleh rakan-rakan supaya menyertai ujibakat untuk rancangan tersebut," ceritanya tentang pembabitan awalnya dalam bidang komedi.
Bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya sebagai seorang pelawak selama empat tahun, Jihan menyatakan ia memberi cabaran yang cukup besar buat dirinya.
Sebagai seorang pelawak wanita, ujar Jihan, aksi yang ditampilkan sebenarnya begitu terbatas berbanding lelaki.
Sebagai wanita dia tidak boleh terikut-ikut dengan cara persembahan seperti golongan lelaki yang lebih terbuka dan diterima ramai.
"Sebenarnya bukan mudah buat pelawak wanita untuk menghiburkan orang ramai kerana sebagai seorang gadis Melayu tentunya saya perlu menjaga tatasusila dan tidak boleh terlalu bebas.
"Bagi saya, itu merupakan salah satu faktor utama yang menjadi punca tidak ramai pelawak wanita yang mampu dilahirkan.
"Kebanyakan pelawak wanita yang ada sekarang pun semuanya bermula daripada seorang pelakon biasa sebelum terjun ke dunia komedi," ujarnya.
Biarpun ia dilihat sebagai satu kelebihan buat dirinya apabila lebih banyak tawaran yang diperoleh, namun dia turut berharap agar lebih ramai pelawak wanita yang muncul.
JIHAN mengakui perlu menjaga penampilan untuk masa depan kariernya.


"Ketika ini sudah ada beberapa rancangan yang diterbitkan untuk mencungkil bakat pelawak dan seharusnya golongan wanita tidak perlu takut mempersembahkan bakat komedi yang dimiliki.
"Sekiranya lebih ramai pelawak wanita yang muncul sudah tentu ia akan memeriahkan lagi dunia komedi tempatan. Jadi, tidaklah penonton akan bosan melihat muka yang sama setiap masa," ujarnya.
Ditanya sama ada dia mahu terus dikenali sebagai seorang pelawak sahaja, Jihan meluahkan bahawa jauh di suduh hati dia memang begitu teringin membawakan watak yang lebih serius.
Bagaimanapun, dia terpaksa akur apabila tidak ramai pengarah yang mahu memberi kepercayaan buat dirinya kerana label pelakon komedi yang sudah sebati dalam dirinya.
"Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam drama-drama yang lebih serius, tetapi tetap diberikan karakter komedi. Kalau boleh saya berharap agar dapat mempelbagaikan watak lakonan supaya kerjaya saya dalam bidang seni lebih berkembang.
"Lagipun, saya begitu yakin dapat membawakan lain-lain watak berdasarkan pengalaman saya dalam teater dan masih aktif sehingga sekarang. Saya memang sangat menantikan kalau ada pengarah yang dapat memberikan satu watak yang berbeza," luahnya.
Jaga penampilan
Jika melihat kepada penampilan Jihan sewaktu mula-mula muncul dalam industri hiburan dan sekarang tidak dinafikan terdapat begitu banyak perubahan pada dirinya.
Menurut pelawak berusia 30 tahun itu, sebelum ini dia agak kurang menitikberatkan tentang penampilan diri kerana beranggapan seorang pelawak tidak perlu terlalu kelihatan cantik dan bergaya.
"Dahulu, saya tidak begitu mementingkan sangat tentang penampilan dan kecantikan, tetapi sekarang saya rasa perlu membuat perubahan supaya mendapat keyakinan diri yang lebih tinggi ketika membuat persembahan.
"Antaranya, saya kini memakai pendakap gigi dan sekiranya mempunyai masa terluang saya akan menghabiskan masa untuk pergi ke spa atau salun kecantikan," ujarnya.
Menurut Jihan, memandangkan rezekinya dalam bidang seni sekarang yang semakin murah, dia juga tidak lokek untuk berbelanja membeli pakaian yang sesuai untuk kelihatan bergaya.
"Saya tidak mahu penonton beranggapan seseorang pelawak itu mesti nampak selekeh bagi membuat orang ketawa. Sesuatu persembahan komedi itu tidak dinilai berdasarkan penampilan, tetapi ia lebih kepada isi kandungan persembahan," jelasnya.
Berhenti kerja
Sebelum bergiat aktif dalam dunia lakonan, ramai yang sudah mengetahui bahawa Jihan pernah menjawat jawatan Penguat Kuasa Bangunan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama empat tahun.
Memandangkan kerjaya seninya yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang diperoleh, akhirnya dia meletakkan jawatan tersebut pada tahun 2011.
FIGURA ini mengakui aksi lawaknya agak terbatas kerana dirinya seorang wanita.


"Selepas bertanding dalam Raja Lawak 3, saya masih meneruskan kerjaya saya di MBSA. Ketika itu banyak juga tawaran yang terpaksa saya tolak kerana perlu memberi komitmen terhadap kerjaya.
"Selepas dua tahun akhirnya saya mengambil keputusan nekad untuk berhenti kerja kerana mahu lebih serius dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang seni," ujarnya.
Menurut Jihan, dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk meletakkan jawatan kerana tidak begitu yakin karier seninya itu mampu pergi dengan lebih jauh.
"Secara jujurnya, saya tidak berani kerana risau sekiranya tersilap langkah. Bagaimanapun, selepas berhenti kerja, tiba-tiba saya rasa menyesal pula kerana tidak membuat keputusan terlalu awal," ujarnya.
Mengenai perkembangan kerjayanya pula, Jihan meluahkan rasa gembira kerana kehadirannya dalam industri semakin diterima ramai dengan pelbagai tawaran yang diraihnya.
Tambahnya, namanya juga kini menjadi sebutan apabila aksi parodi yang dilakukannya menerusi rancangan MeleTOP mendapat sambutan baik dan begitu diminati penonton.
"Setakat ini saya mendapat tahu memang ramai yang suka aksi parodi (lakonan semula secara sinis) saya itu. Begitu juga dengan artis-artis yang saya tiru itu, mereka turut memberi maklum balas yang sangat positif," jelasnya.
Berkenaan jadual lakonannya pula, Jihan menyatakan dia baru sahaja selesai penggambaran drama berjudul Diandra dan kini dia berlakon dalam drama Fira Ayuni untuk slot Samarinda di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: