Saturday, March 2, 2013
Unsur lawak jenaka jadi penarik
KUALA LUMPUR - Unsur jenaka di dalam sesebuah filem pendek merupakan antara pendekatan yang mampu menyalurkan mesej kepada penonton.
Seorang peserta Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Mohd. Zamri Ali Budin, 34, berkata, melalui konsep itu, mesej lebih mudah sampai kepada penonton.
"Cuba kita imbas kembali filem-filem Allahyarham P. Ramlee, boleh dikatakan hampir 90 peratus daripada filem lakonannya ialah filem jenaka.
"Tetapi dalam gelak, kita masih lagi dapat menerima mesej yang ingin disampaikan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, peminat fanatik filem-filem lakonan seniman agung itu menyebabkannya menyertai pertandingan anjuran Aswara menerusi tiga filem pendek yang berjudul Labu Labi 2013, Madu 3 2013 dan Seniman Bujang Lapok 2013.
Sementara itu, setakat semalam, sebanyak 20 penyertaan bagi filem pendek telah diterima pihak Aswara.
Penolong Pengarah Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Aswara, Wan Hazelinda Mohamed berkata, pihaknya menjangka lebih banyak lagi penyertaan diterima hari ini yang juga hari terakhir penyertaan.
"Memang ramai peserta memaklumkan untuk menghantar penyertaan pada hari terakhir," ujarnya.
Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang perfileman kreatif setanding dengan filem-filem lakonan seniman agung negara.
Tarikh tutup penyertaan filem pendek pada 2 Mac itu menawarkan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM20,000 kepada pemenang tempat pertama, RM15,000 bagi pemenang tempat kedua dan RM10,000 bagi tempat ketiga.
Selain daripada tiga hadiah utama, lima hadiah penghargaan yang bernilai RM5,000 turut diberikan kepada peserta.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: