Friday, March 29, 2013
Aura kehebatan 2NE1
KEMUNCULAN kumpulan wanita popular dari Korea Selatan 2NE1 amat dinanti-nantikan peminat selepas konsert New Evolution yang sepatutnya berlangsung pada Disember tahun lalu di Kuala Lumpur telah dibatalkan.
Kunjungan kali pertama mereka di Malaysia atas undangan persembahan di konsert Twin Tower @Live 2013 pada Sabtu lalu bersama kumpulan Backstreet Boys menerima sambutan hangat apabila lebih 20,000 penonton membanjiri pekarangan KLCC.
Selepas persembahan Caprice, One Nation Emcee dan Mizz Nina, kumpulan 2NE1 yang dianggotai empat gadis, CL, Minzy, Sandara Park dan Park Bom muncul pada pukul 10.20 malam telah membuatkan peminatnya terutama remaja menjerit kegembiraan.
Muncul di atas pentas dengan gaya santai, sesuai dengan cuaca panas di Malaysia, mereka mendendangkan enam buah lagu iaitu Fire, Can’t Nobody, Lonely, Ugly, I Am The Best dan I Love You.
Tidak hanya menyanyi, sesekali mereka juga berinteraksi dengan peminat dan memberitahu kini mereka dalam proses menyiapkan album terbaharu.
“Terima kasih kerana hadir, anda semua peminat yang hebat. Kami tidak dapat berada lama di Malaysia dan sebab itu kami tidak sempat untuk menerokai keindahan Malaysia.
“Kami berharap dapat bertemu dengan peminat dan mengadakan konsert sulung di Malaysia pada masa akan datang. Buat masa sekarang kami sedang sibuk menyiapkan material untuk album terbaharu,” ujar CL.
Bukan itu sahaja, mereka berempat juga mencuit hati peminat apabila cuba mempelajari bahasa Melayu dengan bertutur: “Apa khabar Malaysia dan saya sayang Malaysia.”
Ternyata, 2NE1 yang digelar Big Bang versi wanita telah membuat persembahan yang memuaskan hati penonton terutamanya ketika mendendangkan lagu berhantu mereka I Am The Best dengan cukup bertenaga sekali.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: