Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku jam 2 petang, Jumaat lalu apabila mangsa, 62, dan isteri, 60, serta anak lelakinya, 31, memandu ke ladang Felcra Jenalih, kira-kira 17 kilometer dari pekan Lanchang untuk membayar gaji pekerja.
Menurutnya, mangsa sebelum itu membawa RM50,000 dan mengagihkan RM14,000 kepada beberapa pekerjanya sekitar ladang di Lanchang, kemudian membawa RM36,000 untuk diagihkan kepada beberapa pekerja lain pula.
“Ketika mangsa sedang agihkan gaji kepada empat pekerja terbabit di sebuah rumah kongsi, keempat-empat mereka yang baru dua bulan bekerja bertindak menyerang mangsa sekeluarga dengan batang besi dan kayu.
“Mereka juga merampas beg sandang mengandungi RM36,000 daripada anak lelaki mangsa,” katanya pada sidang media semalam.
Abdul Aziz berkata, kesemua suspek berkenaan tidak merancang untuk melakukan samun tetapi mereka ‘kelabu mata’ apabila melihat kontraktor terbabit membawa sejumlah wang yang banyak di hadapan mereka.
Beliau berkata, kontraktor terbabit yang mengalami kecederaan di dahi itu menerima lima jahitan, manakala isterinya patah tangan kanan akibat dipukul dengan batang besi dan kayu tetapi anak kontraktor itu hanya alami lebam-lebam di badan berikutan kejadian berkenaan.
“Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri dengan berjalan kaki mengikut laluan tikus sejauh dua kilometer hingga ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Polis percaya suspek yang terlibat menghubungi rakannya dan melarikan diri melalui lebuh raya dengan menaiki sebuah kenderaan lain,” katanya.
Abdul Aziz berkata, polis percaya bahawa kesemua suspek berkenaan tidak merancang melakukan samun berikutan pasport dan pakaian mereka ditinggalkan dalam rumah kongsi tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: