Thursday, March 28, 2013

Jamal menjiwai P. Ramlee


JAMAL dan Mohamed Juhari (tiga dari kiri) pada sidang akhbar Konsert Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya dari 30 Mei hingga 2 Jun ini.


KEMANTAPAN vokal Raja Pop Malaya, Jamal Abdillah memang tidak dapat disangkal lagi. Kemunculannya, tidak kiralah di mana-mana acara sekalipun, pasti ramai yang teruja ingin bertemu lelaki tinggi lampai ini.
Di Malaysia, sebut sahaja nama Jamal Abdillah, siapa yang tidak kenal dan pentas berprestij Istana Budaya pula bukanlah satu lokasi persembahan yang asing buatnya.
Terkini, dia bakal tampil buat kali keempat di Istana Budaya dalam sebuah persembahan yang cukup berbeza daripada sebelum ini.
Jamal kali ini tampil dengan idea untuk memberi penghargaan buat seniman teragung Malaysia, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Konsert yang diberi nama Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan itu bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini.
“Saya merupakan peminat P. Ramlee dan amat mengagumi karyanya. Bagi konsert ini kelak, saya mahu penonton yang hadir merasai jiwa seni seniman itu menerusi lagu-lagu popularnya.
“Selain itu, saya juga ingin menyambung jiwa seni P. Ramlee melalui konsert ini. Ia memang tidak pernah dilakukan dan ia lain daripada yang lain kerana saya akan masukkan visual babak-babak jenaka lakonan seniman itu bagi mengimbau kembali kegemilangannya,” jelas Jamal pada sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini.
Walaupun tiada sebarang penaja bagi konsert ini, Jamal tetap akan meneruskan hasratnya mengadakan konsert ini.
“Saya tidak kisah untuk mengeluarkan bajet sendiri untuk menjayakan konsert ini. Biarlah walau apapun yang terjadi, konsert ini akan diteruskan. Namun, jika ada syarikat korporat yang ingin membeli tiket, ia amatlah dialu-alukan.
“Mengenai lagu, saya akan mendendangkan sebanyak 30 buah lagu popular nyanyian Tan Sri P. Ramlee. Saya juga akan membawa anak-anak dari rumah anak yatim Rawang untuk sama-sama saya di atas pentas bagi menyampaikan lagu Tolong Kami, Bantu Kami,” bicara Jamal yang mengeluarkan bajet sebanyak RM500,000 khusus untuk konsert ini.
Konsert tersebut akan dibahagikan kepada lapan segmen dan beberapa orang artis juga akan ditampilkan untuk menyerikan lagi segmen-segmen tersebut. Antaranya ialah Isma Aliff, Musly Ramli, Azlina Aziz serta Nas Adila.
Selain itu, persembahan Jamal bakal diiringi oleh pemuzik orkestra yang terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dan Leonard Yeap sebagai pengarah muzik.
Namun, ujar Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, konsert solo ketiga Jamal Abdillah sebelum ini, adalah antara konsert yang paling berjaya.
Konsert tersebut juga berjaya mendapat kutipan paling tinggi tahun 2011 di Istana Budaya iaitu mencecah hampir RM800,000.
Tambahnya, Jamal sering hadir dengan membawa persembahan yang berbeza setiap kali muncul di atas pentas Istana Budaya. Ini juga merupakan konsert bagi mengisi slot Hari Seniman, dan konsert ini merupakan yang pertama kali mengikut konsep yang dijalankan di pentas berprestij tersebut.
Untuk sebarang pembelian tiket, boleh layari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03- 4147 8600. Selain itu, boleh juga hubungi talian di Istana Budaya Box Office, 03- 2161 8134. Tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: