Tuesday, March 26, 2013
Tanya Julia Perez sendiri - Murali
KREDIBILITI Murali Abdullah sebagai seorang pengarah sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi berdasarkan pengalaman yang diraihnya sepanjang 20 tahun mengarah pelbagai drama, telefilem dan filem.
Sementelah, dia pernah lima kali dinobatkan sebagai pengarah Terbaik Anugerah Skrin.
Bagaimanapun, Murali baru-baru ini telah meluahkan rasa kesalnya terhadap situasi yang berlaku dalam industri hiburan sekarang.
Beliau juga turut mengulas tentang isu aktres sensasi dan seksi Indonesia, Julia Perez yang sebelum ini pernah terbabit dalam perang Twitter dengan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan aktor, Zed Zaidi gara-gara komennya dalam Twitter, mengutuk mutu drama Malaysia yang didakwanya ketinggalan berbanding produksi sinetron (drama) Indonesia.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Murali yang ditemui di lokasi penggambaran drama terbaharu arahannya, Wasilah Cinta di Kampung Paya Jaras Dalam, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Murali sebelum ini pernah mengarah sebuah filem yang diterbitkan berjudul Sentuhan Malam Pertama yang menampilkan pelakon sensasi, seksi dan kontroversi Indonesia. Boleh komen tentang pengalaman anda mengarah Julia yang pernah terbabit dalam perang Twitter dengan Zed Zaidi suatu ketika dahulu?
MURALI: Buat masa ini, saya enggan memberikan komen tentang perkara tersebut. Pada majlis pelancaran filem Sentuhan Malam Pertama nanti yang akan diberitahu tarikhnya kemudian, bakal diadakan suatu sidang akhbar dan ketika itu wartawan boleh bertanyakan tentang isu tersebut kepada Julia Perez sendiri. Saya juga akan menjemput Zed Zaidi untuk menghadiri sidang akhbar tersebut.
Khabarnya juga Murali tidak mahu lagi mengarah drama bersiri? Andai benar, kenapakah anda mengambil tindakan tersebut?
Pertama sekali, saya melihat pembikinan sesebuah drama ketika saya mula-mula mengarah dahulu dan sekarang ini sudah sangat jauh berbeza. Salah satunya berkenaan dengan masa yang diberikan oleh penerbit agak singkat kerana mahu menjimatkan kos semata-mata inginkan keuntungan yang besar sehinggakan para pelakon dan kru produksi seolah-olah seperti kerja kilang.
Apakah impak yang akan terjadi apabila perkara ini berlaku?
Sebagai seorang pengarah sudah tentu saya agak sukar untuk menghasilkan sebuah produk yang bermutu. Bagaimanapun, ada segelintir penerbit yang langsung tidak mengambil kira tentang perkara ini.
Selain itu ada juga penerbit yang suka masuk campur ketika penggambaran sedang dilakukan sehingga mengganggu kerja-kerja seseorang pengarah, sedangkan mereka langsung tidak tahu apa-apa mengenai pembikinan sesebuah drama itu.
Namun begitu, tidak semua penerbit yang bersikap sedemikian kerana masih ada yang memberikan kerjasama yang baik. Misalnya, saya selesa bekerja dengan Suhan Movies kerana Rosyam Nor selaku penerbit memberikan kebebasan kepada saya untuk pembikinan telefilem Wasilah Cinta.
Rosyam ada memberitahu saya bahawa dia mahu kembalikan cara kerja lama yang tidak terlampau mengejar masa sangat dan ia merupakan langkah yang tepat untuk memberikan kebaikan kepada semua pihak. Dengan cara ini sudah tentu tidak ada lagi pelakon atau kru produksi yang merungut kerana terpaksa bekerja sehingga lewat pagi.
Jadi, apakah yang ingin Murali lakukan sekarang?
Saya akui sekarang ini saya sudah serik mahu mengarah drama. Kini, saya mahu memberikan lebih tumpuan kepada mengarah telefilem dan filem. Namun begitu, ia tidak bermakna saya akan terus bersara mengarah drama dan bersedia menimbangkan sebarang tawaran sekiranya ada penerbit yang tidak bersikap mementingkan keuntungan semata-mata.
Adakah Murali tidak kisah sekiranya akan disenarai hitamkan oleh segelintir penerbit selepas ini?
Rasanya saya tidak perlu bimbang jika ada penerbit yang enggan mengambil saya mengarah lagi, malah saya sendiri sudah senaraihitamkan beberapa orang penerbit dan tidak akan bekerjasama dengan mereka.
Apakah projek terbaharu Murali selepas Wasilah Cinta?
Selain filem Sentuhan Malam Pertama yang belum ditayangkan, saya juga sudah menyiapkan produksi Wasilah Cinta. Selepas ini akan berehat selama beberapa minggu dan kemudian saya akan mengarah sebuah filem terbaharu terbitan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. pada bulan April ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: