Thursday, March 28, 2013

Gegaran Guns N' Roses

PADA usia 51 tahun, Axl Rose sebagai satu-satunya anggota asal band Guns N' Roses masih kelihatan mantap mengalunkan lagu-lagu hit band tersebut.


TEPAT pukul 8 malam selepas Sebastian Vettel daripada pasukan Red Bull muncul juara dalam perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, kawasan Helipad pula bergema dengan ketukan drum daripada Frank Ferrer menandakan bermulanya konsert band rock terkenal Guns N’ Roses.
Apabila logo kumpulan itu tertera pada skrin besar di kiri dan kanan pentas, peminat mula menjerit kegirangan. Band yang cukup terkenal di seluruh dunia itu menghiburkan peminat di Malaysia buat pertama kalinya sejak ditubuhkan pada tahun 1987.
Meskipun ahli asal band tersebut yang tinggal hanyalah vokalisnya, Axl Rose tanpa ahli asal seperti Slash (gitar), Izzy Stradlin (gitar), Duff McKagan (bass), Gilby Clarke (gitar) dan Steven Adler (drum) yang telah meninggalkan band itu, persembahan Guns N’ Roses tetap hebat.
Kualiti persembahan daripada ahli baharu seperti Ron Bumblefoot Thal (gitar), DJ Ashba (gitar), Richard Fortus (gitar), Tommy Stinson (bass), Frank Ferrer (drum) dan Chris Pitman (keyboard) berjaya memukau 10,000 peminat yang membanjiri tapak konsert.
Sudah pasti ramai yang membandingkan antara pemain gitar terdahulu band Guns N’ Roses dengan ahli baharu mereka.
Bagaimanapun gorengan gitar daripada DJ Ashba, Bumblefoot dan Fortus cukup memukau dan membuatkan penonton terlupa sebentar mereka bukannya ahli asal band itu. Keserasian antara mereka jelas kelihatan.
Suasana bertambah hangat apabila ketiga-tiga pemain gitar mula beraksi secara solo. Peminat menjerit penuh bangga apabila Bumblefoot mengalunkan lagu Negaraku dengan gitarnya. Difahamkan mengalunkan lagu sesebuah negara di mana konsert berlangsung sudah menjadi identiti buat Bumblefoot.
Axl memulakan persembahan dengan lagu Chinese Democracy dan sesekali berinteraksi dengan peminat. Aura pentas Axl tidak pernah luput, bagaimanapun vokalnya tidak seperti dahulu.
Jeritannya tidak sama seperti zaman kegemilangan band Guns N’ Roses. Mungkin faktor usia yang sudah masuk ke angka 51 tahun menyebabkan prestasi vokal Axl sedikit menurun.
Ketepikan tahap vokal Axl kerana peminat tetap terhibur dengan persembahan band yang album mereka telah terjual sebanyak 100 juta unit di seluruh dunia itu.
Selama dua jam setengah, sebanyak 22 buah lagu telah dipersembahkan seperti Welcome To The Jungle, It’s So Easy, Mr. Brownstone, Estranged, Better, Rock Queen, Live & Let Die, This I Love, Catcher, You Could Be Mine,Sweet Child O’ Mine dan November Rain.
Mereka juga mendendangkan lagu Don’t Cry, Used To Love Her, Knockin’ On Heavens Door, Night Train, Patience, The Seeker dan Paradise City.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: