|
PERTEMBUNGAN dua figura seni halus dari Malaysia dan Indonesia yang mengangkat tema alam semula jadi dalam satu ruang membuka dimensi baharu kepada pencinta seni untuk melihat keunikan metafora melalui lukisan.
Ruang pameran Galeri G13 yang terletak di Kelana Jaya, Selangor dihiasi dengan 24 karya pelukis veteran tempatan, Hamdan Shaarani dan pelukis Indonesia, Nyoman Sujana Kenyem.
Menariknya, kedua-dua pelukis tersebut menggunakan daun sebagai lambang bagi menceritakan tentang jati diri dan kebebasan.
Hamdan menghasilkan 12 karya berkonsepkan refleksi jernih daun di atas air sungai yang mengalir sebagai metafora kepada jati diri seseorang.
“Jika kita lihat, daun yang jatuh di atas permukaan air menunjukkan refleksi tersendiri yang menggambarkan seolah-olah ia hanya mengikut ke mana arah air membawanya pergi.
“Saya cuba menyampaikan tentang keperluan seseorang itu memiliki jati diri untuk hidup dalam acuannya sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk orang lain,” katanya yang mengagumi pelukis terkemuka negara, Amron Omar.
Hamdan yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak memberitahu, karyanya tertumpu kepada ilustrasi biasan air kerana sifat air yang tidak kekal dan menggambarkan sikap manusia yang berubah-ubah mengikut keadaan.
Tambahnya, masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan satu-satu karya adalah lima jam sehari dan bergantung kepada mood pada hari tersebut.
“Secara keseluruhannya ia memakan masa hingga tiga atau empat bulan untuk siap sepenuhnya,” jelas Hamdan.
Sementara itu, bagi pelukis seberang yang terkenal dengan panggilan Kenyem, dia banyak menggunakan elemen daun sebagai simbol kepada kebebasan.
Karya Kenyem banyak bermain dengan penggunaan warna-warna ceria bagi mencerminkan penyusunan komposisi elemen dalam setiap lukisannya itu dipengaruhi oleh keindahan keadaan persekitaran.
Pelukis yang berasal dari Bali itu cuba menonjolkan permainan warna peralihan waktu siang ke malam dan perubahan satu musim ke musim yang lain.
Menurut Pengarah Galeri G13, Kenny Tan, Kenyem turut menyelitkan figura manusia kerdil dalam setiap karyanya sebagai manifestasi kelahiran semangat baharu dalam persekitaran alam semula jadi.
“Kenyem cuba menerapkan nilai-nilai keseimbangan dalam kehidupan melalui lukisannya yang banyak bercirikan suasana perkampungan.
“Ciri tersebut dilihat lebih dekat dengan ketenangan yang dicari oleh seorang pencinta seni,” ujar Kenny.
Gaya pelukis ekspresi karya
Seorang pengunjung, Nur Liyana Mohamad Munir, 23, berkongsi perasaan bertuah kerana berpeluang melihat sendiri koleksi pameran solo pelukis terkenal dari Malaysia dan Indonesia secara serentak.
“Kedua-dua pelukis memiliki gaya tersendiri untuk menterjemahkan tema alam semula jadi dalam karya mereka.
“Kenyem lebih suka bermain dengan komposisi warna, manakala karya Hamdan bersifat realistik dan dilihat seperti gambar sebenar,” katanya.
Menurutnya, setiap pengunjung yang datang ke Galeri G13 pasti mempunyai perspektif berbeza tentang maksud sebenar di sebalik lukisan yang dihasilkan mereka.
Pameran tersebut bermula sejak 1 Mac lalu akan berlangsung sehingga 31 Mac dengan galeri dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 5 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: