Wednesday, March 27, 2013

Sam miliki kriteria lelaki idaman Syatilla



PEMBABITAN Siti Nur Syatilla Amirol Melvin atau sinonim dengan panggilan Syatilla Melvin dalam bidang lakonan boleh dianggap masih setahun jagung, namun dia dilihat antara segelintir pelakon wanita yang agak pantas menempa populariti dalam industri hiburan tempatan.
Bagaimanapun, ia bukan disebabkan lakonannya yang telah memberikan impak kepada penonton, sebaliknya kisah peribadi pelakon yang dikenali menerusi drama Julia itu lebih menjadi tumpuan ramai setelah timbul gosip mengenai hubungan cintanya dengan Shaheizy Sam.
Gosip mengenai hubungan mereka berdua mula timbul setelah Sam dikatakan menghadiri majlis perkahwinan kakak Syatilla di Parit Buntar pada tahun lalu sehingga menimbulkan pertanyaan ramai peminat.
Biarpun Syatilla dan Sam masing-masing telah membuat penjelasan dan penafian hubungan cinta yang terjalin antara mereka berdua, namun masih ada lagi segelintir pihak yang kurang yakin dan menganggap kedua-duanya memang benar-benar bercinta.
Berkesempatan menemui Syatilla di lokasi penggambaran drama telefilem Wasilah Cinta di Kampung Paya Jaras Dalam, Sungai Buloh, Selangor minggu lalu, pelakon itu menyatakan dia sudah mula bosan apabila diajukan pertanyaan yang sama.
“Seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini, saya dan Sam tidak menjalinkan sebarang hubungan cinta kerana hubungan kami tidak lebih daripada sekadar teman biasa sahaja.
“Kami sudah berkawan selama tiga tahun dan setakat ini saya selesa berkawan dengan Sam. Ini kerana dia merupakan seorang teman yang baik dan saya turut kagum dengan kejayaan yang diraihnya sepanjang bergelar pelakon,” jelasnya mengenai hubungan dengan Sam.
Ketika ditanya mengenai perasaannya terhadap Sam sepanjang tiga tahun mengenali anak kepada pelakon Khaty Fauziah itu, Syatilla mengakui dia begitu menyayangi Sam.
Namun begitu, sayangnya terhadap Sam tidak lebih daripada sayang terhadap seorang teman dan dia tidak mahu sebarang gosip yang timbul itu akan menjejaskan hubungan mereka berdua.
“Sam merupakan seorang lelaki yang sangat kelakar serta begitu mengambil berat terhadap orang di sekelilingnya dan itu merupakan antara kriteria lelaki idaman saya.
“Kalau ditanya tentang jodoh pula semuanya saya serahkan kepada Allah dan buat masa ini, saya mahu lebih fokus kepada kerjaya terlebih dahulu memandangkan usia saya masih lagi muda,” ujar pelakon yang baru mencecah usia 22 tahun itu.
Menurut Syatilla, dengan penjelasannya itu dia berharap agar tiada lagi yang mengungkit tentang gosip percintaannya dengan Sam kerana sudah banyak penjelasan yang dibuat dan dia mula berasa rimas sekiranya terus ditanya perkara yang sama.
Ujarnya, dia lebih selesa sekiranya orang ramai memperkatakan tentang kerjaya lakonannya berbanding kisah peribadi memandangkan kini dia sedang berusaha untuk mencipta nama agar mampu berdiri sebaris dengan pelakon sedia ada.
“Mengenai kisah peribadi saya, biarlah diri saya sendiri yang tahu dan tidak semuanya yang boleh dikongsikan. Saya tidak mahu dikenali ramai kerana cerita-cerita sensasi,” ujarnya.

SAM


Tidak tumpang populariti
Berkenaan dengan gosip percintaan dengan Sam, ada segelintir pihak yang menganggap Syatilla tidak lebih sekadar mahu menumpang populariti pelakon itu, memandangkan dia baru sahaja mula menapak dalam bidang lakonan.
Syatilla bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tohmahan tersebut, memandangkan selama ini dia berusaha keras untuk mencipta nama sebagai pelakon dan membantu keluarga di kampung.
“Saya sudah lama mengenali Sam dan kalau mahu berbuat demikian sudah lama saya lakukan, namun saya lebih suka sekiranya apa yang diperoleh itu adalah hasil usaha sendiri.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus merantau ke Kuala Lumpur dan sudah melakukan pelbagai kerja sehinggalah mendapat peluang berlakon pada tahun lalu.
“Dengan peluang yang diperoleh sudah tentu saya tidak akan sia-siakan sama sekali,” jelasnya.
Ujar Syatilla, dia kini sangat bersyukur memandangkan kerjaya lakonannya yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran lakonan, meskipun masih lagi baru berkecimpung dalam bidang seni.
“Setakat ini saya berasa cukup bertuah dengan rezeki lakonan yang tidak putus-putus dan gembira kerana kebanyakan pengarah sudah mula nampak kemampuan dan bakat lakonan saya.

SYATILLA (tengah) semasa penggambaran telefilem, Wasilah Cinta baru-baru ini.


“Meskipun pernah hampir berputus asa menjadi seorang pelakon, akhirnya bidang lakonan sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan mahu terus berusaha untuk mencipta kejayaan,” ujarnya.
Mengenai perkembangan kerjaya lakonannya pula, Syatilla menyatakan, dia bakal melangkah setapak lagi apabila bakal muncul di layar perak menerusi filem sulungnya berjudul Romeo Kota arahan Ahmad Idham.
Kasar
Di sebalik wajah lembut yang dimiliki oleh Syatilla, mungkin ramai yang tidak menyangka pelakon itu sebenarnya berperwatakan kasar dan gemarkan aktiviti lasak.
Pada masa yang sama, dia mengakui ramai pihak yang akan menganggapnya sebagai seorang gadis yang sombong sekiranya tidak mengenali diri dan sikapnya yang sebenar.
“Salah satu sebab saya memiliki perwatakan kasar kerana adik-beradik saya semuanya perempuan. Selain itu, saya juga gemar mengikut ayah konvoi bersama-sama rakannya menaiki motor besar.
“Semasa bersekolah pula saya memiliki ramai kawan-kawan lelaki serta aktif bersukan seperti lumba lari, lompat tinggi dan bola baling,” ujar anak kedua daripada lima orang beradik itu.
Menurut Syatilla, sikap kasarnya itu tidak menjadi satu masalah yang besar buat dirinya dan kini dia beransur-ansur mengikis sikap sedemikian agar dilihat sebagai seorang gadis yang lebih sopan dan matang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: