Sunday, March 31, 2013

Esiah baca karakter melalui bunga


ESIAH menunjukkan cara menghasilkan kraf bunga tekap menggunakan bahan semula jadi di sekeliling rumahnya.


SEDIH hati Esiah Kaimun melihat satu persatu kelopak bunga jatuh berguguran memenuhi halaman di rumahnya.
Mungkin terlalu sayangkan bunga-bunga kering itu terbuang begitu sahaja, wanita berumur 61 tahun itu mendapat ilham untuk mengusahakan kraf bunga tekap pada 1999.
Ketika itu, Esiah baru sahaja kembali ke kampung halamannya di Kampung Lang Tengah, Banting, Selangor setelah berpisah dengan bekas suaminya.
Kesedihan akibat jodoh yang tidak panjang bersama bekas suaminya tidak membuatkan Esiah hanya berpeluk tubuh merenung nasib tetapi sebaliknya dia menggunakan masa lapangnya dengan berbakti kepada tanah dan menanam aneka pokok bunga pelbagai warna.
“Rasa sayang pula apabila melihat bunga-bunga dan daun-daun kering bertaburan di halaman rumah. Hendak menjaga pokok bunga bukan mudah tetapi apabila ia layu dan kering, terpaksa dibuang begitu sahaja. Ketika itulah terdetik di hati saya untuk mengeringkan bunga-bunga itu kerana saya percaya pasti ada pulangannya nanti.
“Saya ambil kesemua bunga yang gugur itu dan mengeringkannya di dalam buku sebagaimana yang pernah dilakukan semasa alam persekolahan dahulu. Tetapi seiring dengan teknologi, kini bunga-bunga itu boleh dikeringkan menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk mempercepatkan proses pengeringan.
“Setelah kering, saya menggunakan kreativiti sendiri dengan menyusun bunga-bunga dan daun-daun pokok sehingga terhasilnya kraf bunga tekap,” ujarnya yang menyertai satu pameran anjuran Tourism Selangor di Beijing, China pada tahun lalu.
Ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, awalnya, hasil bunga tekapnya itu dihantar ke Jabatan Pertanian Daerah Kuala Langat. Melihatkan kepada hasil kraf ciptaannya yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, Esiah kemudiannya dihantar menjalani kursus di Kalumpang, Tanjung Malim, Perak bagi memperkukuhkan lagi kemahirannya.
Daya imaginasi
Bermula dari situlah hidup Esiah kembali bersinar apabila hasil rekaan bunga tekapnya semakin berkembang malah produknya itu pernah dipasarkan ke luar negara.
“Menghasilkan bunga tekap sebagai kerja kraf memerlukan kesabaran, komitmen, kemahiran dan minat yang mendalam.
“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana banyak menggunakan kreativiti dan imaginasi yang tinggi. Oleh itu, saya mengamalkan beberapa petua untuk menggerakkan daya imaginasi dengan menjaga pemakanan contohnya tidak memakan daging, ayam dan makanan laut.
“Saya hanya menggunakan bunga-bunga dan daun seperti orkid, padi, rumput, bunga kertas, bunga raya, bunga ixora dan ranting kayu yang diperoleh di sekitar rumah. Sebenarnya sebelum mulai serius menghasilkan bunga tekap ini, saya terlebih dahulu membuat beberapa kajian mengenai bunga,” jelasnya yang menjalankan penyelidikan selama dua tahun.
Tambah Esiah, dia juga melakukan terapi minda melalui bunga untuk membaca karakter seseorang.
“Jika mereka berada di dalam tekanan, saya akan menyarankan mereka untuk menghasilkan sendiri bunga tekap dan dari situ, saya dapat membaca karakter sebenar mereka.
“Selain itu, pelanggan juga boleh memilih pilihan bunga tekap sedia ada yang paling diminatinya untuk saya melakukan terapi minda ke atas mereka,” beritahunya yang menggunakan bunga yang dikeringkan, gam polisterin dan kertas sebagai bahan untuk menghasilkan kraf bunga tekap.
Hasil kreativitinya pernah mendapat pengiktirafan apabila Esiah pernah muncul johan dalam pertandingan bunga tekap di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Melaka.
Selain itu, kraf bunga tekapnya turut dipilih sebagai cenderamata terbaik pada Himpunan Sejuta Belia 2012 di Putrajaya.
Tuturnya, bagi menghasilkan satu rekaan bunga tekap, seseorang itu perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit bagaimanapun ada juga rekaan mengambil masa sehingga berhari-hari untuk disiapkan.
“Selalunya saya memperoleh idea untuk menghasilkan rekaan bunga tekap ketika sedang berkebun dan idea itu akan dicurahkan terus di atas kertas.
Hasil produk kraf Esiah yang terdiri daripada penanda buku dan bingkai gambar dijual daripada harga serendah RM3 sehingga mencecah puluhan ribu ringgit mengikut kesukaran untuk menyiapkannya.
“Kini saya semakin sibuk dengan jualan bunga tekap dalam ekspo-ekspo jualan selain menjadi tenaga pengajar kemahiran kraf bunga tekap kepada asnaf zakat di Pusat Zakat Selangor dan Kolej Komuniti Kuala Langat,” tambahnya sambil memberitahu kelopak bunga yang digunakan mestilah betul-betul kering untuk mengelakkannya ditumbuhi kulat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: