|
PENGEDAR kenderaan jenama Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila menawarkan pasaran tempatan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Mitsubishi i-MiEV (Mitsubishi Innovative Electric Vehicle).
Pelancaran rasmi kenderaan tersebut diadakan di pusat EV pertama MMM, SAG Star yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Cheras Kuala Lumpur. i-MiEV ditawarkan pada harga RM136,118 seunit (di atas jalan, tidak termasuk insurans) dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu putih dan dua tona putih merah.
Untuk makluman, projek EV Mitsubishi Motors Corporation (MMC) bermula seawal tahun 1969 menerusi model MINICAB EV. MMC kemudian meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) model EV dengan memberi perhatian khusus kepada aspek motor dan bateri.
Pada tahun 2006, MMC membangunkan i-MiEV.
Sebenarnya, i-MiEV bukanlah model yang terlalu asing. Dibina berasaskan kepada model kompak (dipanggil kei kar di Jepun) Mitsubishi i, MMC giat menguar-uarkan tentang jentera tersebut sejak empat tahun lalu.
i-MiEV dilancarkan pada Julai 2009 buat pertama kalinya di Jepun. Sejak itu, kereta comel tersebut mula mendapat perhatian dunia. Dalam tempoh beberapa tahun itu juga i-MiEV mengalami perkembangan yang memberangsangkan, sebelum ia diperkenalkan di pasaran Eropah pada akhir 2010 dan ke Amerika Utara setahun kemudian.
Di pasaran Eropah, i-MiEV tampil sebagai Peugeot iOn serta Citroen C-Zero, hasil kolaborasi antara MMC dan PSA Peugeot Citroen. i-MiEV yang khas untuk pasaran Amerika Utara, dikenali sebagai Mitsubishi i dikatakan bersaiz lebih besar dan memiliki banyak ciri berbanding i-MiEV standard.
i-MiEV terus mencatat pencapaian signifikan apabila Mitsubishi i berada di ranking pertama dalam senarai Garis Panduan Bahan Api Tahunan yang dikeluarkan oleh pihak Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat pada tahun 2011.
Mitsubishi i menjadi kenderaan paling cekap bahan api yang pernah dinilai oleh EPA, sebelum ia dikalahkan oleh model Honda Fit EV pada Jun 2012.
Sumber kuasa i-MiEV datang daripada pek bateri lithium-ion yang menggerakkan satu unit motor elektrik. Bateri berkapasiti 330V itu diletakkan di dek bawah lantai. Sementara motor elektrik diletakkan di bahagian bawah ruang kargo.
Motor elektrik berkenaan mampu menghasilkan kuasa mencecah 49kW dan tork 180Nm. Kelajuan maksimumnya ialah 130 kilometer sejam. Boleh tahan juga lajunya.
Meninjau bahagian kabin, i-MiEV dilengkap sistem hiburan double DIN dengan skrin sentuh bersama navigasi GPS.
Penjimatan Signifikan
Sehinga kini, MMC telah menghasilkan kira-kira 33,000 unit EV, selain membentuk kerjasama dengan 107 syarikat swasta dan awam di seluruh dunia. Kerjasama itu melibatkan pelbagai inisiatif seperti ujian bersama dan aktiviti pendidikan mengenai keperluan infrastruktur EV.
Kenapa anda perlu membeli i-MiEV? Alasan utama adalah penjimatan. Pertamanya dari segi kos minyak yang dapat dikurangkan dengan signifikan. Sebabnya, untuk mengecas penuh i-MiEV, caj yang dikenakan cuma RM3.50 berdasarkan kepada tarif elektrik semasa.
Dengan RM3.50 jarak yang boleh dicapai adalah sejauh 150 kilometer. Jadi, kosnya hanya 3 sen bagi setiap kilometer. Tidak cukup? Baiklah, cukai jalan untuk i-MIEV hanya RM10 setahun. Jumlah itu diperoleh selepas perbincangan dibuat antara MMM dan bahagian teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
MMM juga menyatakan bahawa syarikat insurans tidak ada masalah untuk menawarkan perlindungan insurans buat i-MIEV. Hasilnya, ia hanya dikenakan caj seperti kenderaan bersesaran 660cc. Memang murah!
Bagi memberi ketenangan fikiran buat pemiliknya, i-MiEV hadir dengan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Selain jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan sehingga 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).
“Penyelenggaraan akan dilakukan pada setiap 20,000 kilometer dan apa yang ditukar cuma penapis pendingin hawa dan minyak brek. Itu sahaja. Selebihnya melibatkan pemeriksaan diagnostik bagi memastikan semua komponen elektronik dapat beroperasi dengan baik,” kata Perunding Teknikal MMM, Francis Tan.
Selain pembeli individu, MMM menyasarkan i-MiEV kepada syarikat korporat yang menggunakan kenderaan dalam jarak yang pendek dan peka terhadap alam sekitar.
Menyentuh tentang insentif cukai terhadap kenderaan hibrid dan elektrik yang akan tamat pada Disember 2013, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tetsuya Oda yakin bahawa kerajan faham bahawa EV bukan lagi kenderaan untuk tujuan ujian. Tetapi sudah boleh ditawarkan kepada orang ramai secara meluas. Justeru, kerajaan pasti akan menimbang untuk meneruskan insentif tersebut.
Harus tahu juga bahawa harga yang ditawarkan untuk memiliki sebuah i-MiEV juga termasuk dengan pemasangan poin pengecasan.
“Kami bukan sekadar menjual kereta tetapi turut perlu memastikan poin pengecasan yang selamat. Jadi, setakat ini, lokasi pengecasan terbaik adalah di pusat EV.
“Bagi proses mengecas di rumah pula, ia mungkin agak sukar untuk mereka yang tinggal di kondominium atau atau pangsapuri. Melainkan anda mendapat persetujuan daripada pihak pengurusan kondo untuk menyediakan satu tempat mengecas khas,” kata Ketua Pemasaran dan Produk MMM, Shoen Saito.
Saito juga memberitahu, perancangan untuk mewujudkan stesen pengecasan pantas memang ada. Malah pihaknya sudah berbincang dengan beberapa pihak di Malaysia.
Sebagai permulaan, SAG Star menjadi pusat EV yang pertama dan menawarkan kemudahan mengecas secara percuma untuk semua pemilik EV dengan keutamaan diberikan kepada pemilik i-MiEV.
MMM merancang untuk menambah pusat EV kepada lima dalam tahun kewangan tahun ini. Dengan kos RM250,000 setiap satu, lokasi pusat EV itu bakal tertumpu di kawasan Lembah Kelang.
Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk mengadaptasi teknologi ini sepenuhnya? Sama-sama kita nantikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: