Wednesday, March 27, 2013
Dunia bola anak muda
RASA cinta Muhammad Solehin Md. Nasir, 18, pada sukan bola sepak mula bercambah seawal usia 10 tahun ketika mengikuti rakan-rakan menyertai pasukan bola sepak sekolah.
Siapa sangka, dia yang belajar di Sekolah Kebangsaan Jalan Peel, Cheras, Kuala Lumpur (KL) itu berjaya melepasi saringan sehingga menjadi wakil KL.
Daripada situ, minatnya dalam sukan bola sepak mendalam, malah tatkala ditanya mengenai cita-cita, lantas pemuda berusia 18 tahun itu menjawab, mahu menjadi pemain bola profesional.
“Saya percaya bidang sukan bola sepak mampu pergi lebih jauh untuk menjadi satu kerjaya profesional,” katanya ketika ditemui di Bandar Utama, Selangor.
Sebaik tamat sekolah rendah, Muhammad Solehin belajar di sekolah sukan, Sekolah Raja Abdullah, Kepong dan pernah mewakili pasukan bawah 14 tahun dalam Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Menetap di Jalan Cochrane, pemuda yang menggemari lauk sambal ayam itu berpindah ke Sekolah Kebangsaan Cochrane Perkasa, Cheras ketika tingkatan tiga.
Muhammad Solehin kemudian menyertai rancangan realiti, Soccer Kids musim pertama pada tahun 2007 untuk mengembangkan lagi minatnya dalam sukan bola sepak.
Selepas lima tahun kini, dia beraksi semula pada musim baharu, Soccer Kids All Stars yang menghimpunkan semua peserta terpilih daripada musim sebelumnya.
Muhammad Solehin ditemui pada majlis pelancaran kempen Lagi-lagi Bola di Bananana yang menampilkan empat program khas iaitu Bola Kampung, Bola Kampung X dan BoboiBoy (episod khas bola) serta Soccer Kids All Stars.
Semua program tersebut kini sedang bersiaran di TV3.
Para peserta Soccer Kids All Stars kali ini mendapat pendedahan yang lebih banyak apabila dapat menyertai beberapa siri perlawanan persahabatan di dalam negara dan sekitar Asia Tenggara.
Lebih manis apabila siri perlawanan tersebut merupakan antara persediaan mereka ke London untuk siri Road To London bagi menentang pasukan Queens Park Rangers Bawah 16 dan Tottenham Hotspur Bawah 17.
Pada acara yang sama, dia bersama-sama 17 peserta Soccer Kids yang lain menerima trofi dan sijil graduasi yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: