Laporan terbabit dibuat Noryati Usop@ Yusof, 35, Norhashidah Abdullah, 29, Saratul Hajar Mohd Zambri, 25, dan Normaliza Mohamad, 25, di Balai Polis Kerteh pada jam 3.59 petang, Ahad lalu.
Mereka membuat laporan polis bagi mempertahankan kebenaran.
Noryati yang mula berkhidmat di taska terbabit sejak 14 tahun lalu berkata, dia dan tiga guru yang lain kesal atas dakwaan berkenaan kerana penjelasan telah dibuat terhadap ibu bapa bayi yang didakwa didera, Asna Hafy Ashraf.
“Pada Khamis lalu jam 9.08 malam, saya menghubungi ibu bayi berkenaan dan menjelaskan mengenai kesan pada badan anaknya adalah kesan gigitan rakan ketika mereka bermain beramai-ramai dan saya sempat meminta maaf.
“Pada hari berkenaan, saya sibuk bersihkan taska kerana seorang kanak-kanak cirit-birit dan kami pada awalnya juga tidak menyedari badan Asna Hafy ada kesan lebam sebab dia memakai baju kecuali kami hanya nampak lebam pada lengannya sahaja,” katanya.
Sementara itu, Saratul Hajar berkata, kes berkenaan seperti diputar belitkan dan dakwaan bercanggah dengan apa yang berlaku.
“Asna Hafy sangat manja dengan cikgu-cikgu di sini dan tidak boleh berenggang. Jika boleh dia mahu cikgu beri tumpuan padanya sahaja.
“Bagi mencari kebenaran, kami juga pergi ke klinik swasta yang didakwa telah memeriksa bayi terbabit dan mengesahkan dia didera tetapi doktor beritahu yang dia tidak menyentuhnya Asna Hafy, sebaliknya ibu Asna Hafy waktu itu datang ke klinik dan beritahu anaknya didera. Sebab itu doktor cadangkan buat laporan polis,” katanya sebagai menjawab dakwaan kes dera yang disiarkan dalam Sinar Harian pada Ahad lalu.
Berani kerana benar
Sementara itu, pengerusi taska terbabit, Shukri Mohamad berkata, guru berkenaan berani kerana benar disebabkan kes dera yang didakwa tidak berlaku sehingga guru juga sanggup pergi berjumpa dengan doktor.
“Kita menyediakan perkhidmatan terbaik, organisasi yang terurus dan jadual tersusun, malah hubungan antara guru dan ibu bapa di sini juga erat dan tiada masalah.
"Jadi diharapkan selepas ini sekiranya terdapat sebarang masalah yang timbul, ibu bapa yang menghantar anak di sini dapat menyalurkan dahulu masalah berkenaan kepada pihak bertanggungjawab (Kemas),” katanya.
Dalam pada itu, seorang ibu yang menghantar dua anaknya di bawah didikan taska itu, Nurul Ain Mohd Din, 29, berkata, sepanjang menggunakan perkhidmatan taska itu sejak tiga tahun lalu tiada sebarang masalah yang timbul.
“Daripada anak sulung hingga anak ketiga, saya hantar mereka belajar di sini dan anak-anak juga nampak gembira dan tidak menangis setiap kali mahu dihantar ke taska,” katanya.
Ibu bapa puas hati dengan perkhidmatan disediakan
Mohd Zulhairi Maideen, 28, pula berkata, dia berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di taska itu, selain semua guru sangat mesra.
“Saya tinggalkan anak, Hani Damia, 21 bulan, dalam keadaan tidak risau sebab sebelum anak dihantar ke sini, saya hantar ke taska lain.
"Dahulu, anak dalam tempoh dua bulan tiga kali masuk wad tetapi bila hantar ke sini, anak dijaga dengan baik sebab itu bila dengar berlaku kes dera di sini, saya pun terkejut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, doktor di Hospital Kemaman yang memeriksa bayi berkenaan mengesahkan bayi itu digigit oleh rakannya yang lain.
Katanya, tidak berlaku penderaan bagi kes tersebut dan dikenal pasti tidak berlaku sebarang unsur jenayah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: