Wednesday, March 27, 2013

Siapkan 12,000 batang aiskrim



BERNIAGA aiskrim berperisa dalam plastik berbentuk silinder atau lebih dikenali sebagai aiskrim Malaysia bukanlah impian sebenar Raja Rozlinda Raja Abdullah, 48. Sebaliknya, dia membuat aiskrim itu semata-mata memenuhi permintaan anak-anaknya yang amat menyukai aiskrim.
Bermula secara suka-suka tiga tahun lalu, aiskrim Malaysia Raja Rozlinda juga diminati kanak-kanak di sekitar kawasan kediamannya di Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.
“Anak-anaklah yang menjadi tukang promosi. Jadi, kanak-kanak lain pun datang membeli dan saya terpaksa buat dalam kuantiti yang banyak supaya dapat dijual,” kata ibu kepada empat anak itu.
Raja Rozlina menyediakan 11 perisa aiskrim Malaysia. Antaranya termasuklah asam boi, Milo, bandung, strawberi, anggur, oren dan tebu. Namun, anak-anak Raja Rozlinda lebih meminati aiskrim berperisa asam boi dan Milo. Dengan resipi yang ringkas, Rozlinda menggunakan air masak, gula dan perisa bagi menyediakan bancuhan aiskrim Malaysia. Air yang telah diberi perisa dimasukkan ke dalam plastik aiskrim sebelum dibekukan.
Hakikatnya, aiskrim yang pernah popular sekitar tahun 70 dan 80-an itu masih mempunyai penggemarnya hingga kini.
Dibantu keluarga
Selain diminati oleh kanak-kanak di sekitar taman perumahannya, Raja Rozlinda juga mendapat tempahan untuk acara sukan, hari keluarga dan sebagainya.
Sejak dua tahun lalu, beliau mendapat tempahan daripada sebuah syarikat korporat yang memesan sehingga 12,000 batang aiskrim Malaysia untuk acara tahunan mereka.
“Sebagai seorang wanita bekerja, tidak mungkin saya mampu melakukannya bersendirian, jadi saya meminta bantuan ahli keluarga untuk menyiapkan tempahan,” kata pegawai tadbir di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak itu yang menyiapkan tempahan tersebut antara empat hari hingga seminggu.
Anak bongsu Rozlinda, Putera Muhammad Mukhlis Solihin, 8, asyik mencuba setiap aiskrim air tangan ibunya. “Saya suka aiskrim Malaysia. Biasanya saya makan aiskrim ketika cuaca panas,” katanya yang akan menggosok gigi selepas makan aiskrim.
Dia gemar menikmati aiskrim Milo dan berperisa coklat. Kerja-kerja memasukkan bancuhan aiskrim biasanya dibantu oleh anak-anak Raja Rozlinda iaitu Muhammad Irfan Syafiq, 19, Puteri Nur Irdina Syazwani, 16, dan Puteri Nur Liyana Amani, 13.
Menyentuh tentang harga, Rozlinda mengakui dua dekad lalu aiskrim Malaysia dijual sekitar 0.5 sen atau 0.10 sen sebatang, kini harga aiskrim tersebut meningkat sehingga 0.40 sen sebatang, manakala aiskrim perisa Milo dan bandung, 0.50 sen sebatang.
Menjadi pencuci mulut ketika waktu berkualiti bersama keluarga, suami Raja Rozlinda, Ruze Ismail, 49, berkata, menikmati aiskrim Malaysia turut mengimbau memori mereka sekitar tahun 70-an.
Diangkat sebagai makanan paling popular dan diminati oleh penduduk seluruh dunia, aiskrim menjadi pilihan bagi individu atau kumpulan sasaran perniagaan. Kini, majlis-majlis seperti kenduri perkahwinan, hari jadi, ulang tahun sesebuah syarikat, perjumpaan dan sebagainya mula menempah aiskrim sebagai sebahagian daripada menu pencuci mulut.

SAMSUDEEN (tiga dari kanan) dan keluarganya menjadikan aiskrim lembut sebagai menu pada majlis ulang tahun anak mereka.


Ulang tahun
Bagi pasangan Mohamed Samsudeen, 29, dan isteri, Hajarah Ismail, 31, yang tinggal di Putrajaya, mereka mahu menyambut hari ulang tahun kelahiran anak mereka, Muhammad Daniel, 2, secara meriah. Memandangkan majlis itu meraikan kanak-kanak, menu pencuci mulut, aiskrim menjadi menu wajib.
Mereka telah menempah aiskrim lembut dalam kon daripada Suka Aiskrim yang dikendalikan oleh Abd. Hakim Hamzah dari Shah Alam. Kehadiran Hakim bersama adiknya, Mohd. Zakiuddin Hamzah, 25, ke kediaman Samsudeen disambut penuh teruja oleh kanak-kanak yang berada di rumah Samsudeen.
Hakim membawa sebuah mesin berbentuk segi empat di atas troli dan sebuah lagi peti. Sebaik tiba di kediaman Samsudeen, Hakim terus membuka peti yang mengandungi cecair berwarna putih dan coklat lalu dimasukkan ke dalam dua bekas berasingan dalam mesin tersebut.
“Cecair aiskrim ini saya sediakan mengikut tempahan. Saya akan tiba dua jam awal sebelum majlis. Cecair tadi saya akan masuk ke dalam mesin ais untuk diproses menjadi krim. Dalam masa setengah jam, airkrim sedia dihidang kepada tetamu,” kata Hakim.
Lembut dan berkrim, aiskrim perisa vanila dan coklat yang dihidangkan Hakim menjadi rebutan kanak-kanak yang menunggu lama.
Hakim berkecimpung secara sambilan dalam perniagaan aiskrim selepas melihat potensi perniagaan itu daripada rakannya.
“Pada waktu itu saya tiada modal untuk membeli mesin, tetapi sangat berminat. Jadi saya mencari tawaran yang sesuai dengan bajet ketika itu,” katanya.
Tambah Hakim, selepas setahun kini, jadual tempahan aiskrimnya penuh sehingga bulan Julai. Kini, dia memiliki empat buah mesin membuat aiskrim.
“Saya berniaga pada hujung minggu bergantung pada tempahan,” kata pendidik itu.
Menempah 300 aiskrim pada majlis hari jadi anaknya, Samsudeen mengakui Suka AisKrim menawarkan harga yang berpatutan dan rasanya enak.

HAKIM sentiasa memastikan mesin aiskrim bersih dan cermat supaya pengendaliannya lancar.


Selain aiskrim kon yang dijual pada harga RM1 satu, Suka AisKrim juga menyediakan aiskrim roti pada harga RM1.50 satu dan aiskrim cawan, RM2 satu.
Selain aiskrim tempatan, pelbagai jenama aiskrim mewah membanjiri pasaran. Antaranya termasuklah Baskin Robins, Tutti Frutti, New Zeland Natural, Haagen Dazs dan aiskrim separa mewah daripada rangkaian restoran makanan segera seperti McFlurry, Walls dan Nestle.
Stickhouse, aiskrim dari Itali membawa konsep aiskrim yang berbeza. “Ia bukan aiskrim biasa tetapi gelato. Aiskrim gelato dibuat tanpa memberi ruang kepada udara. Tanpa udara menjadikan gelato berdensiti padat, kaya berperisa dan mengekalkan kandungan semula jadinya,” kata Pengarah Urusan Malaysia, Hu Sau Keong, 35.
Aiskrim Stickhouse menggunakan bahan semula jadi tanpa pewarna tiruan, pengawet, mempunyai kandungan seperti inulin dan ekstrak sayuran.
Menurut Sau Keong, dengan penampilan berbeza, ais tersebut dicucuk pada batang. Ia dijual pada harga antara RM4.90 hingga RM8.90 sebatang. Stickhouse menawarkan aiskrim berperisa sorbet, yogurt dan premium. Kios Stickhouse boleh didapati di pusat beli-belah terpilih seperti di Sunway Pyramid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: