Saturday, March 30, 2013

Ana Rafalli Tidak Kejam Untuk Letakkan Bayaran Tinggi


Ana Raffali (kanan) bersama suaminya Ahmad Aznaim.
PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali tidak pernah bersikap kejam untuk meletakkan bayaran tinggi kepada mana-mana pihak untuk menjayakan sesebuah acara ataupun persembahan pentas.
Ana atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 28, ini berkata, walaupun telah memenangi Anugerah Juara Lagu ke 25 menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, dia masih bertolak ansur soal bayaran bergantung kepada jemputan yang diterima.
“Saya bukan artis yang kejam. Saya masih boleh bertolak ansur lagi soal bayaran mengadakan persembahan.
“Kalaulah yang jemput saya itu di kalangan pelajar, tentulah bayarannya sekadar ‘token’ (sagu hati) pun saya terima. Tapi kalau untuk acara besar seperti ‘dinner show’, itu kira lainlah,” ujarnya kepada mStar Online ketika ditanya adakah dia boleh bertolak ansur soal bayaran untuk mengadakan persembahan.
Ana memberitahu, sebagai artis yang membesar dalam persekitaran Malaysia, dia memahami kemampuan sesetengah pihak yang mahu mengundang seseorang untuk menjayakan sesebuah acara yang diatur.
Malah dengan sifat yang tidak berkira itu kata Ana, rezekinya akan menjadi lebih murah apabila menerima banyak acara yang memerlukan khidmatnya.
“Kalau pihak penganjur tak ada duit sangat, bayarlah setakat mana yang mampu. Tapi biarlah kita bincang dan berunding dulu... tak ada masalah,” katanya.
Dalam pada itu suami yang juga pengurusnya iaitu Ahmad Aznaim Abdullah, 31, berkata, bekerja dengan isteri sendiri yang menjadi bos bukanlah perkara mudah jika seseorang itu tidak mempunyai sikap profesional dalam berurusan.
Kata Ahmad Aznaim, kadangkala isteri akan merajuk jika tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara mereka haruslah mempunyai sikap untuk tidak memanjangkan hal berkenaan sebaliknya mengatasinya dengan sebaik mungkin.
“Saya tak nafikan, kadang-kala ada juga kami berselisih pendapatan. Bila hal itu terjadi, masing-masing akan ada perasaan tidak puas hati.
“Apa-apa pun kita perlulah profesional. Sebagai suami, saya kenalah memujuk isteri saya walaupun dia adalah bos. Biasanya kami menekankan sikap saling pujuk memujuk dan alhamdulillahlah... kami tiada masalah untuk bekerja dan juga bergelar pasangan suami isteri,” katanya.
Sementara itu bercerita mengenai perkembangan terbaharu pula Ana berkata, dia sudah menghasilkan ‘single’ berjudul Jauh Ke Syurga dan lagu itu boleh diikuti menerusi YouTube.
Apa yang menarik ‘single’ itu mencatat jumlah pelayar Internet lebih 80,000 orang yang mana ia adalah satu sambutan yang amat menggalakkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: