Sunday, March 31, 2013

Korban masa Azlan

MENGANGGAP lagu-lagu Azlan & The Typewriter masih sukar diterima umum. Azlan bagaimanapun yakin anak-anak muda sekarang yang masih bersekolah akan kelak membesar dengan lagu-lagu mereka.


KEPUTUSAN untuk seorang anak band membawa imej solo bukan sesuatu mudah. Namun situasi itu sudah ditempuhi pejuang muzik terdahulu.
Penyanyi terkenal termasuk Amy, Awie, Ramli Sarip dan Hattan juga pernah keluar daripada kumpulan masing-masing untuk bergerak solo.
Tidak terkecuali dengan Azlan yang suatu masa dahulu menjadi vokalis Meet Uncle Hussein. Dia kini bergerak sendiri bersama kumpulan The Typewriter.
Bukan mudah membawa hala tuju dan bereksperimen terhadap khalayak yang baharu namun kelainan pasti menghadiahkan kepuasan yang dicari. Mungkin itulah resipi kejayaan yang ditempa Azlan kini. Perlahan-lahan tetapi pasti.
Badi nama
Tidak dapat dipadam dalam sejarah bahawa Azlan pernah menjadi vokalis bagi sebuah grup yang menjuarai Anugerah Juara Lagu 2008 melalui lagu berjudul Lagu Untukmu. Seperti badi yang terbiasa kena pada anak-anak grup, atas nama ketidakserasian, Azlan atau nama sebenarnya Norazlan Roslee keluar daripada grup yang mengajarnya sepak terajang kehidupan seninya. Pada awalnya, perhatian terhadap dirinya sekadar suam kuku, tapi lama-kelamaan dia acap mencuri perhatian.
Dia membina grup pemuzik sendiri, menjadikan tembok baharu bagi dia mendaki istana muzik dengan tentera baharu. Bersama pemuzik yang digelarkan The Typewriter, mereka mengorak langkah mencari ruang baharu dengan muzik yang ternyata berbeza daripada dahulu.
Awalnya jalan sukar itu harus ditempuh Azlan bagi bangkit dengan sebuah penjenamaan baharu. Bukan mudah walau khalayak sudah masak dengan ketinggian dan kualiti vokalnya.
"Mula-mula dulu memang susah. Pendengar lambat terima perubahan muzik. Nak kata lagu yang menaikkan nama Azlan & The Typewriter ialah Idola. Tetapi setelah kemenangan di Anugerah Juara Lagu 27, lagu itu agak meningkat," ujar si pemegang tampuk tempat kedua yang kalah di tangan melodi Yuna dengan lagu Terukir Di Bintang ini.
Namun jalan yang hampir sama pernah dilalui Azlan sewaktu menjadi vokalis band terdahulu. Kira-kira 10 tahun lalu, Azlan berjuang dengan muziknya daripada satu gig ke gig yang lain. Waktu itu, hanya segelintir pengunjung kelab tegar mengenalinya.
Setara dengan kesungguhan dan ketahanan yang dibawa dalam jati dirinya, nama Azlan sudah jadi salah satu sebutan bagi vokalis lelaki dengan suara yang cukup mengagumkan. Walaupun namanya semakin bersinar namun Azlan masih seperti dirinya yang tunduk ke bumi dan menghormati khalayak.
AZLAN & The Typewriter akan keluar dengan sebuah single baharu yang diberi suntikan komersial.


Muzik pintar
"Kalau sebut penerimaan umum, kita sebenarnya ada perancangan pemasaran. Mungkin Azlan & The Typewriter nampak perlahan di kaca televisyen tetapi kita banyak juga dapat tawaran persembahan di luar. Jujurnya sukar juga muncul di televisyen sebab selalunya kami akan bikin persembahan dengan cara chaos. Kalau di luar lebih bebas," gelaknya tentang komentar kelibat mereka agak jarang dilihat secara umum.
Selepas memikat para pendengar sekarang dengan lagu Idola dan Tanda Tanya, grup ini bakal keluar dengan single baharu kelak.
Ujar Azlan, lagu kali ini akan diberikan suntikan komersial tapi masih bereksperimen.
"Kita masukkan elemen komersial kerana kita sudah buat penyelidikan tentang single pertama dulu iaitu Kelibat Si Pari-Pari. Lagu itu terlalu jauh untuk pendengar sekarang. Mungkin tahun 2020 baru boleh diterima. Tetapi sebenarnya kami mahu mendidik pendengar terutamanya budak kecil dan muda," pandang jauh Azlan dalam senario muzik diluahkan.
Langkah yang berlainan serta berpandangan jauh sudah tentunya relatif dengan risiko. Azlan sedar bahawa risiko besar menanti masa depan dan perjalanannya dalam menadahkan lagu-lagu yang diberikan nafas advance buat khalayak. Tetapi itulah namanya hidup.
"Kita kena bergerak, tidak boleh duduk sahaja di takuk lama dan jangan takut risiko," katanya.
Lagu-lagu dengan sentuhan eksperimen itu juga memerlukan pengorbanan yang sudah tentunya berkaitan dengan masa.
"Saya boleh katakan bahawa kami sedang berkorban dengan masa. Khalayak tidak perlu terima awal muzik kami kalau mereka tidak boleh terima dan rasakannya. Muzik kami memakan masa tetapi itulah perjuangan Azlan & The Typewriter," senyum ayah kepada seorang puteri itu.
Berlawan dengan masa dan faham akan erti penerimaan khalayak, tegas Azlan, grupnya punya arah tuju yang jelas.
"Jauh lagi jalan kami. Jujurnya kami tidak sasarkan lagu-lagu kami diterima oleh orang yang berusia. Kami lebih tumpukan kepada budak-budak sekolah yang sedang membesar. Nanti mereka akan membesar dan bergerak dengan persembahan muzik kami, itu yang kami mahu," jelasnya tentang revolusi muzik yang sedang mereka jalani.
AZLAN mengaku sedang menyediakan naskhah-naskhah yang sarat nilai eksperimentasi. Ujarnya muzik mampu mencerdikkan otak dan itu adalah perjuangan mereka dalam bermuzik.


"Muzik cerdikkan otak. Muzik sekarang membuatkan khalayak perlu berfikir. Ini disebut muzik pintar dan orang Eropah sudah melakukannya terlebih dahulu," luah Azlan tentang perjalanan muzik dan lagunya yang mungkin masih janggal di telinga umum terutamanya marhaen.
Dengan formasi grup yang terkini, Azlan yakin misi dan visinya dalam bergelar anak band akan terlaksana. Dia kini ditemani Andy (gitaris), Kee (gita kedua), Zack (dram) dan Man (bass) dalam setiap langkah studio dan persembahannya.
"Kami makin fokus dan setiap anggota memberikan input ke dalam naskhah serta persembahan. Hubungan kimia berjalan dengan baik. Kami malah makin matang dalam bermuzik. Apa yang paling penting ialah komunikasi kerana itulah punca untuk mengelak perbalahan," ujarnya yang banyak belajar daripada masa lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: