Tuesday, March 26, 2013

Mencari pelapis sumo Jepun


KEJOHANAN gusti sumo yang diadakan dua bulan sekali di Osaka, Jepun bertujuan untuk mencari pelapis dalam sukan tersebut.


SEWAKTU matahari mula memancarkan sinarnya di Tokyo, enam lelaki yang hanya bercawat dengan rambut bertoncit berdiri tegak di atas pasir. Mereka menghentakkan kaki berulang-ulang.
Keenam-enam paha yang berukuran seperti batang kayu besar itu dihela ke udara dan berhenti seketika sebelum dihempaskan ke lantai dengan impak yang amat kuat.
Ia mungkin membosankan. Tetapi, tiada sesiapa pernah menyatakan bahawa latihan untuk menjadi seorang ahli sumo sepatutnya menyeronokkan.
"Anjakkan berat anda. Jangan naikkan pinggul terlalu cepat," jerit seorang ahli gusti sumo yang sudah bersara dan kini bekerja sebagai jurulatih.
Rutin yang dipanggil shiko itu bertujuan untuk membina kekuatan dan membentuk bahagian bawah badan serta bertahan selama setengah jam di gimnasium tanah liat yang terletak di pusat bandar Tokyo.
Tiga jam latihan termasuk rutin pecahan dan seretan kaki, kemuncaknya pertarungan satu lawan satu di dalam gelanggang, satu bentuk latihan tradisi yang telah diamalkan sejak ratusan tahun lalu.
Masing-masing bergelut antara satu sama lain, cuba untuk menjatuhkan atau memaksa lawan keluar dari gelanggang. Sementara itu, master Tadahiro Otake duduk bersila di luar gelanggang memerhatikan latihan anak-anak didiknya.
Pasir diratakan dengan penyapu buluh, disembur dengan air dan ditabur garam untuk pembersihan manakala para penggusti sumo mengesat peluh keluar dari badan sasa mereka.
Beberapa minggu sebelum ini, para penggusti sumo telah menjalani senaman harian di hadapan mayat pengasas gelanggang tersebut, Koki Naya yang turut dikenali sebagai Taiho (Great Phoenix) selepas meninggal dunia pada 19 Januari lalu.
Bekas juara utama atau yokozuna itu telah menubuhkan gelanggang tersebut pada tahun 1974 berikutan persaraannya daripada dunia gusti sumo.
Satu rejim latihan pagi telah diadakan di 43 gelanggang sumo profesional Jepun sebagai persediaan menghadapi kejohanan dwibulanan di Osaka bermula 10 Mac lalu.
Skandal sumo
Jurulatih penjaga, Masataka Yuho berkata, amalan itu tidak berubah dalam tempoh empat dekad sejak dia menyertai gelanggang berkenaan. Malah, mereka terpaksa berhempas-pulas menghadapi beberapa skandal yang terpalit dalam sukan sumo beberapa tahun kebelakangan ini termasuk penggunaan dadah marijuana dan pertaruhan haram.
"Suasana kini amat berbeza. Dahulu kami dilarang daripada memiliki sesuatu walaupun radio transistor ketika saya mula-mula berada di sini," ujar Yuho, 56, sambil menjelaskan mengenai perubahan peraturan yang kini membenarkan ahli gusti memiliki gajet elektronik sendiri.

AHLI gusti sumo Mongolia, Harumafuji meraih gelaran juara utama atau yokozuna pada September tahun lalu.


Kebanyakan 610 ahli gusti yang datang di bawah naungan Persatuan Sumo Jepun akan tinggal di gelanggang. Mereka hidup, makan dan tidur bersama-sama dalam kemudahan yang membenarkan sedikit ruang peribadi.
Hanya 70 ahli gusti dalam senarai dua divisyen utama dibenarkan hidup sendirian. Kadar kelahiran di Jepun yang semakin menurun dan populariti yang semakin meningkat terhadap sukan lain seperti besbol membuatkan usaha merekrut ahli gusti sumo menjadi sukar.
Hanya sedikit anak muda Jepun mahu bertahan dengan cara hidup privasi untuk memperoleh 150,000 yen (RM4,858) setiap bulan, separuh daripada nilai yang mampu diperoleh graduan sekolah tinggi.
Ia berbeza bagi mereka yang berada di puncak sukan yang sering didominasi orang luar itu. Juara Mongolia misalnya, Hakuko dianggarkan menerima lebih daripada 150 juta yen (RM4.9 juta) tahun lalu dalam bentuk gaji bulanan, elaun khas, hadiah tajaan kemenangan dan sokongan.
"Setiap fasa kehidupan yang dilalui ahli sumo sangat sukar," kata Abdelrahman Ahmed Shaalan, 21, dari Mesir yang menduduki kedudukan tertinggi dalam kalangan lapan penggusti Otake, yang perlu mendaki 23 kedudukan lagi untuk ke masuk ke divisyen kedua.
Abdelrahman yang mempunyai ketinggian 189 sentimeter dengan berat 145 kilogram merupakan ahli gusti sumo profesional pertama dari Arab. Digelar sebagai Osunaarashi (Great Sandstorm), Abdelrahman hanya tewas dalam lima daripada 35 perlawanan sejak membuat kemunculan sulung pada Mac 2012.
Hormati senior
Selepas menjalani latihan pagi, ahli gusti sumo akan mandi dan menikmati menu pertama mereka. Dalam hal ini, ahli gusti muda perlu menunggu ahli gusti yang berusia sebagai tanda hormat.
Kesemua mereka berusia antara 19 hingga 32 tahun dengan tempoh karier bermula kurang daripada 12 bulan hingga 17 tahun, akan dihidang dengan stu chankonabe. Masakan itu dicampur daging ayam, sayur dan tofu goreng.
"Kami menggunakan lebih banyak ayam sejak Osunaarashi menyertai gelanggang ini kerana sebagai seorang Muslim, Abdelrahman tidak boleh makan daging babi dan minuman keras," jelas Yuho lagi.
Sementara itu, Otake yang merupakan salah seorang daripada murid Taiho telah dilantik sebagai master ketiga di gelanggang tersebut.
"Saya telah mengembara ke seluruh negara untuk memohon maaf di atas salah laku pada masa lalu," ungkapnya dalam nada sayu.
Dia mempunyai tanggungjawab besar terhadap sukan yang dianggap telah kehilangan maruahnya. Namun, tegas Otake, sumo mempunyai kuasa untuk mengatasi cabaran tersebut kerana ia bukan sekadar sukan, tetapi satu cara hidup.
"Ahli gusti sumo melatih diri hanya untuk menjadi kuat. Tetapi, saya memberitahu mereka untuk menjadi contoh kepada orang lain," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: