|
EMPAT pahlawan muzik sedang bersiap sedia dengan senjata masing-masing bagi memasuki gelanggang yang pernah mereka lawati dulu. Sebuah 'istana' yang bakal bergendang, berpalu lagu Wings merupakan singgahan kedua grup tersohor ini.
Sudah tentu, ini bukan ruang untuk meningkatkan mutu persembahan yang pernah kali pertama mereka laksanakan pada dua tahun lalu.
Sudah tentunya juga ini merupakan ruang dan peluang buat pahlawan dengan nama Awie, Joe, Eddie dan Black menempa impak dan momen baharu buat para penggemar tegar mereka. Kelainan yang mereka persembahkan maka perbezaan rasa dan momenlah akan ditempa oleh pencinta mereka.
Acara pencak muzik dengan nama Konsert Rockestra Wings adalah sebuah pengabadian sejarah.
Sudah banyak yang dilakarkan oleh grup yang ditubuhkan pada tahun 1986 ini dan ini salah satunya sejarah yang tertulis dalam portfolio mereka setelah diangkat sebagai persembahan artis solo atau berkumpulan yang mendapat kutipan tertinggi di pentas istana tersebut.
Atas nama klasikal
Ini hentakan kedua mereka yang buat Joe Wings selaku Pengarah Muzik berkonsep lebih klasikal.
Menjadikan konsert anjuran Anggerik Event ini sebagai sebuah atmosfera yang lebih segar untuk tatapan mata dan rasa penggemar Wings.
"Dulu kita hanya menggunakan separuh orkestra tetapi kini kita banyakkan untuk rasa mood orkestra tersebut. Kita menggunakan tenaga dan kepakaran 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer.
"Dengan melebihkan string seperti violon, cello dan double bass, kita akan rasa lebih rock dan orkestra. Lebih berat di atas pentas," jelasnya panjang lebar tentang persediaan konsert yang bakal berlangsung pada 26, 27, 28 dan 30 April kelak.
Keluar sedikit daripada aspek teknikal dan bunyi, sentuhan rasa yang mahu dipunyai oleh para peminat Wings juga dititikberatkan.
Kelainan yang diberikan sudah tentu melibatkan repoitaire lagu-lagu yang menjadi congakan umum.
Pertanyaan dan ungkai soal terjawab. Menurut Joe, 80 peratus lagu yang akan dipersembahkan adalah yang jarang malah ada yang tidak pernah mereka mainkan seperti Harapan, Aku Pun Tahu, Dalam Kehadiran Sofiah dan Amok.
|
Pastinya barisan lagu-lagu unik dan pelik untuk pementasan ini sudah lama dinantikan oleh khalayak golongan penggemar tegar.
Bukan mudah untuk Wings sendiri membahagikan rasa dan timbangan untuk membariskan lagu-lagu yang mereka mainkan kelak.
Joe mengambil masa durasi dua bulan untuk memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan sebelum ditapis lagi bersama Awie, Eddie dan Black dalam tempoh dua minggu.
Usai saringan dan tapisan, baru mereka memilih lagu yang betul-betul sesuai yang disenarai pendek sebanyak 20 buah.
"Lagu-lagu dipilih berdasarkan banyak faktor seperti permintaan peminat iaitu Sayap Wings selain daripada rakan-rakan, saudara-mara dan juga anggota Wings sendiri. Tetapi lagu-lagu wajib seperti Sejati dan Taman Rashidah Utama tidak boleh kami lupakan kerana ia menjadi permintaan ramai," kata Awie.
"Ada juga ikut rasa Wings tetapi kami bagi apa yang umum mahukan. Namun apa yang boleh diberikan bayangan bahawa konsert ini akan dipenuhi dengan lagu-lagu yang di luar jangkaan," tambah Joe.
Bakal mendendangkan lagu-lagu baharu daripada album yang sedang dalam proses pembikinan dengan judul Menakluk Kosmos, Wings sendiri sedar bahawa peminat lebih terarah kepada lagu-lagu lama mereka.
"Sudah 11 tahun kami tidak merakam album baharu selepas Naga Kramat pada tahun 2002. Namun begitu, tawaran persembahan tidak putus. Peminat masih mahukan lagu-lagu daripada album lama seperti Belenggu Irama, Hukum Karma, Teori Domino, Jerangkung Dalam Almari dan Bazooka Penaka yang dirakam antara 20 hingga 27 tahun lalu. Itulah yang indah mengenai Wings," kata Black atau nama sebenarnya Azmi Hashim.
Sudah tawan istana
Istana Budaya merupakan sebuah lokasi idaman. Bukan calang-calang dapat beraksi menunjuk megahnya produk atau bakat mereka.
Namun bagi Wings, peluang kali kedua ini adalah sebuah pembuktian. Bahawa anak dengan jiwa rock juga boleh beraksi di mana-mana dan begitu juga kehadiran para peminat mereka.
Biarpun ada protokol serta disiplin yang perlu dilalui namun itu bukan satu halangan. Malah ujar Eddie, itulah cabaran buat mereka.
"Ruang yang lebih selesa berdinding dan berbumbungkan penghawa dingin masih memberikan mereka rasa enjoy walau berbeza lokasi daripada biasa.
"Impaknya lain, lebih intimasi. Sebenarnya kami ada pelbagai rasa. Kasihan ada, suka pun ada. Kasihan bila melihat para peminat seakan-akan tidak puas di tempat duduk.
"Bergoyang ditahan-tahan dan waktu itu kami acah. Seronok melihat dari atas pentas gelagat mereka," ketawa Awie yang merupakan anggota Wings paling sibuk dengan aktiviti seninya.
"Bila ada protokol dan disiplin yang tinggi, tidak kiralah kerana lokasi dan juga berkolaborasi dengan orkestra, itulah rasa seronok buat Wings. Rasa teruja dan kami juga dapat muncul dengan busana yang lebih kemas dan berlainan daripada biasa," ujar Eddie, si pemain bass.
|
Tambah Black pula, dia menganggap cabaran besar kelak adalah penyatuan ego dan undang-undang orkestra dengan keselambaan jiwa rock mereka.
Buat Wings, ruang dan peluang di Istana Budaya telah mereka tawan. Tiada masalah dalam pemikiran mereka. Juga tiada rungutan daripada pihak Istana Budaya sendiri.
Jiwa rock yang kental dalam naluri mereka membenarkan mereka beraksi di mana sahaja menghiburkan hati mereka dan khalayak dengan lagu-lagu yang sudah sebati dalam jiwa dan sanubari.
Lebih penting, disimpan kemas dalam ingatan peminat bahawa konsert yang akan berlangsung pada pukul 8.45 malam ini secara eksklusif hanya dapat disaksikan di Istana Budaya
Grup ini tidak bercadang untuk merakamkan konsert berkenaan dalam bentuk cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) atau cakera padat (CD) kerana merasakan ia tidak boleh mendatangkan keuntungan berikutan pasaran yang kecil.
"Kos untuk membuat rakaman adalah tinggi tetapi keuntungan yang diperoleh dengan penjualan DVD, VCD atau CD tidaklah besar mana.
"Selain itu, konsert ini juga akan jadi lebih eksklusif. Jika mahu menontonnya, datang ke Istana Budaya. Jika terlepas, hanya akan mendengar cerita orang sahaja," kata Joe.
Pelbagai peristiwa dan momen terus menghampiri grup kental ini. Mereka betah bertahan.
Mencecah usia 27 tahun dan terus dihitung adalah bukti survival Wings dan lagu-lagu mereka adalah sejarah yang sebati dalam industri muzik tanah air.
Wings, sebuah grup Malaysia yang bukan hanya pandai menjaga karier mereka dengan sikap dan pengurusan tetapi juga lagu-lagu yang sentiasa jaguh di hati umum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: