Friday, March 29, 2013

Suka duka penerima bantuan kewangan

YOLA kini mampu menarik nafas lega selepas pembukaan premis bakeri milik sendiri yang beroperasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.


PERNAH gagal dalam perniagaan sebanyak tiga kali sedikit pun tidak mematahkan semangat Yola Gusandra Abdul Rahman Saleh, 28, untuk meneruskan cita-cita. Kesukaran hidup menjadi 'guru' kepada anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
"Saya mula bekerja pada umur 16 tahun sebelum bekerja dengan ibu angkat di sebuah restoran makanan segera," ujar Yola mengimbas kisah lampau ketika ditemui Kosmo! di kedai bakeri miliknya, Yola Confectionaries di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Selepas berkhidmat beberapa tahun, dia dilantik sebagai pengurus restoran.
"Semasa bekerja di situ, saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjadi pengedar coklat. Kios tersebut terletak di pusat beli-belah Plaza Metro Kajang, Selangor," kata Yola.
Ke luar negara
Yola kemudiannya merantau ke luar negara untuk mengikuti kursus selama tiga tahun di Akademi Coklat Barry Callebaut, Suzhou, China. Suzhou merupakan sebuah bandar yang sarat dengan bangunan bersejarah dan terletak 90 minit perjalanan dari Shanghai. Sekembalinya ke tanah air, Yola mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pembuat makanan milik Bumiputera.
"Saya telah membuat perjanjian usahasama bagi mengeluarkan produk makanan bersama mereka tetapi gagal," luah Yola.
Ketika semangat Yola goyah kerana usahanya belum membuahkan hasil, perkenalan dengan seorang ahli perniagaan membawa sinar untuknya berniaga.
Melalui kerjasama tersebut, Yola menghasilkan produk coklat berkualiti tinggi setanding keluaran luar negara. Pada masa itu, keuntungan yang diperoleh Yola berlipat kali ganda sehingga produknya dipasarkan ke kios lapangan terbang dan beberapa pusat tumpuan pelancong.
"Sayangnya, dugaan datang kembali apabila syarikat pengeluaran kami mengalami kejatuhan sehingga menjejaskan kelangsungan perniagaan tersebut," jelas Yola.

KETABAHAN Natasha mengharungi pelbagai rintangan untuk berjaya dan setanding dengan pereka fesyen terkemuka.


Selama dua tahun, Yola terperuk tanpa sebarang pekerjaan kerana terikat dengan perjanjian syarikat sebelum ini. Atas takdir Allah, seorang temannya mengajak membuka premis bakeri yang menjual roti dan dihantar ke beberapa buah kantin sekolah serta hospital berdekatan. Namun, ia bertahan selama tiga bulan sahaja kerana teman niaganya menarik diri pada saat-saat akhir.
"Dalam merungkai permasalahan tersebut, saya diberitahu mengenai bantuan perniagaan yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)," ujar Yola.
Selepas menunggu selama sebulan, Yola mendapat khabar gembira apabila menjadi salah seorang penerima Skim Bantuan Kewangan Baitulmal MAIWP. Modal tambahan sebanyak RM4,000 diguna pakai sebaik-baiknya untuk membeli bahan-bahan mentah dan keperluan harian.
"Dana itu sangat membantu kerana selama tiga bulan saya tidak mempunyai modal untuk membeli bahan mentah," luah Yola.
Jika sebelum ini tenaga kerja perniagaannya terdiri daripada ahli keluarga termasuk ibunya sendiri, kini Yola mempunyai dua pekerja tambahan.
Selain bantuan kewangan, MAIWP turut membantu pembelian beberapa mesin dan alatan bakeri selain mendapat peluang berniaga di majlis-majlis keramaian.
Berkongsi cerita hampir sama, Siti Natasha Saparuddin, 32, enggan menoleh ke belakang demi mengejar impiannya.
"Kalau setakat ditipu dan ditindas, saya sudah melaluinya," ujar Natasha ketika ditemui di butiknya, Natasha Al-Samini Mujmal yang terletak di Sri Kembangan, Selangor.
Jual nasi lemak
Wanita kelahiran Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur itu telah didedahkan kepada dunia perniagaan sejak umurnya 10 tahun. Natasha membantu meringankan beban keluarga dengan menjual nasi lemak ibunya selain alat-alat tulis kepada jiran tetangga.
"Selepas tamat sekolah, saya bekerja dalam bidang insurans selama tujuh tahun. Pada masa sama, saya menjual pakaian wanita secara sambilan," tambah Natasha.
Kesungguhan dan minat Natasha dalam dunia fesyen membuatkannya nekad berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan busana muslimah.
"Keadaan berubah ketika saya mula berhijab dan perlahan-lahan menukar konsep jualan kepada pakaian muslimah.
"Tiga bulan pertama, modal keuntungan masih belum diraih tetapi ia tidak mematahkan semangat kerana saya percaya kesabaran dan kekuatan perlu ada dalam diri seorang usahawan," kata Natasha.
Sedikit demi sedikit bisnes Natasha mula mendapat perhatian. Kini dia mempunyai butik sendiri bagi menempatkan semua busana yang dijual.
"Sebelum ini, saya hanya beroperasi melalui laman sosial Facebook dan sesekali mengikuti jualan terbuka di majlis keramaian," tambah Natasha.
Menurutnya, kebanyakan busana yang dijualnya diperoleh daripada peniaga persendirian. Selain itu, beberapa rekaan turut dibeli terus dari Indonesia dan Asia Barat.
"Syukur ke hadrat Ilahi kerana bantuan daripada MAIWP banyak membantu saya dari segi kewangan dan khidmat nasihat.
"Sekurang-kurangnya, MAIWP membantu meringankan beban perniagaan seperti pembelian peralatan butik, barang keperluan semasa pameran dan baju-baju jualan," ujar Natasha.
Sama seperti Natasha, Yola juga mempunyai perancangan untuk memajukan kedai bakerinya dengan mewujudkan menu baharu seperti sandwic.
"Jika cukup dana, saya mahu meluaskan premis dengan kelengkapan sistem pendingin hawa untuk keselesaan para pengunjung," ujar Yola.
HARAPAN Sidirwan untuk memiliki teksi sendiri bakal tertunai apabila menerima bantuan daripada Baitulmal.


Yola sempat menitipkan nasihat kepada usahawan muda untuk terus menguasai bidang kerjaya mereka.
"Rasa tanggungjawab perlu ada dalam diri setiap peniaga untuk mengetahui secara jelas dan mendalam mengenai perniagaan yang bakal dijalankan.
Bagi Natasha, dia banyak membaca buku-buku motivasi dan mendengar ceramah daripada pakar-pakar untuk menguatkan diri.
"Usah takut untuk mengejar impian dan tidak perlu bertangguh-tangguh untuk menunaikan cita-cita," ujar Natasha.
Jika Natasha dan Yola sudah dapat merasai mempunyai premis dan perniagaan sendiri, berbeza pula dengan Sidirwan Osman, 35, yang masih menunggu teksinya yang dijangka dikeluarkan pada bulan depan.
Sidirwan merupakan salah seorang penerima Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf baru-baru ini.
"Saya menerima bantuan sebanyak RM5,000 daripada Baitulmal. Melalui dana yang diberikan, saya hanya perlu menambah sejumlah RM2,000 untuk membayar deposit membeli teksi baharu," ujarnya ketika ditemui Kosmo! ketika sibuk mencari penumpang di sekitar Cheras.
Bagi menambah deposit tersebut, Sidirwan menyewa teksi pada kadar sewaan sebanyak RM35 sehari.
"Saya perlu bekerja keras demi keselesaan pada masa akan datang," luah jejaka berasal dari Semporna, Sabah itu.
Berhijrah ke ibu kota seawal usia 18 tahun, pelbagai pekerjaan dilakukan Sidirwan untuk menampung kehidupan diri dan keluarganya.
"Saya memandu teksi sejak tujuh tahun lalu kerana hasilnya lebih tinggi berbanding berniaga makanan secara kecil-kecilan.
"Walaupun penat bekerja sehingga lewat malam, saya gagahkan diri demi menanggung anak-anak yang bersekolah," ujar Sidirwan yang mempunyai empat orang anak dan salah seorangnya merupakan anak istimewa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: