Melihatkan kelebihan itu, tidak hairanlah ramai di kalangan masyarakat di negara ini mula menceburi bidang perniagaan bagi meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.
Golongan artis juga tidak ketinggalan terlibat menjalani bidang perniagaan seperti pakaian, makanan, produk kesihatan dan sebagainya.
Bermula dengan minat yang mendalam terhadap fesyen pakaian wanita terkini, tiga selebriti Daphne Iking, Atilia dan Yasmin Hani kini mulai serius memperkenalkan perniagaan online mereka dengan mempertaruhkan jenama tersendiri iaitu 'Baajookoo'.
Berkesempatan menemui tiga selebriti yang menggelari diri mereka sebagai Geng Celepets (CLPT) di satu majlis minum petang yang diadakan di Restoran Serai, Kl Live Khamis lalu, Sinar Harian sempat menemu bual mengenai perkembangan perniagaan dan perjalanan karier mereka.
Menurut Atilia, Baajookoo mula ditubuhkan sejak September tahun lalu dan perniagaan ini terhasil daripada hubungan rapat mereka.
"Sebenarnya kami memang rapat dan selalu meluangkan masa bersama dan perniagaan ini mula ditubuhkan atas persahabatan kami.
"Alhamdulillah sejak perniagaan ini dijalankan, sambutan dan sokongan yang saya terima daripada orang ramai amatlah memberangsangkan," katanya.
Jelas Atilia, setakat ini Baajookoo memiliki lebih daripada 10 koleksi rekaan pakaian dan aksesori dengan gaya moden, kasual dan santai.
"Setiap rekaan produk yang kami tawarkan adalah datang daripada idea kami sendiri dan sesuai untuk digayakan semua wanita yang sukakan gaya yang lebih santai dan sederhana.
"Selain daripada itu, harga yang kami tawarkan juga amat berpatutan dan mampu dibeli iaitu di antara RM35 hingga RM140," jelasnya.
Tambah Daphne, sejak enam bulan beroperasi, Baajookoo turut membuat jualan di beberapa buah bazar di sekitar Kuala Lumpur.
"Kami juga bakal berkolaborasi dengan sebuah jenama fesyen terkenal antarabangsa. Bagaimanapun buat masa ini kami tidak boleh mengulas lanjut mengenainya dan semua itu akan dimaklumkan pada majlis pelancaran yang dijangka akan di jalankan pada 18 April depan," ujarnya.
Menyentuh mengenai pembukaan butik, Hani memberitahu setakat ini mereka selesa menjalankan perniagaan tersebut menerusi online.
"Dalam masa yang terdekat ini kami belum ada sebarang perancangan untuk membuka butik. Maklumlah usia Baajookoo masih lagi muda.
"Biarlah kami stabilkan terlebih dahulu kedudukan perniagaan ini. Jika semuanya sudah kukuh barulah kami akan memikirkan soal ini," katanya.
Koleksi “Baajookoo” boleh didapati di laman web rasmi www.baajookoo.com.my juga di laman web Fashion Valley dan mudah.my.
Tak mahu berlakon sampai tua: Hani
Lumrah buat semua anak seni, pasti merasai naik turun menjalani karier dalam industri. Sebagai persediaan untuk menempuhi cabaran itu, Hani memberitahu dia kini mula berjinak-jinak melibatkan diri sebagai penerbit.
"Pada awalnya saya memang tidak terfikir tapi selepas ditanya suami sama ada di usia tua nanti saya mahu melakonkan watak orang tua, barulah saya sedar mengenainya.
"Lainlah di Hollywood, bagi mereka usia bukanlah satu masalah besar buat pelakon di sana," katanya.
Akui sebelum ini kurang berminat untuk bekerja di belakang tabir, pelakon dan model ini berkata minatnya semakin bercambah bila menimba ilmu bersama suaminya.
"Sekarang saya mula belajar dengan syarikat produksi miliki suami saya iaitu Blue Black Production. Saya akui tidak mudah untuk lakukannya tapi ia sebagai persediaan awal untuk masa depan saya," katanya yang kini sedang mengacarakan program' Dumex Chef Cilik 5 Power Nutri' di saluran Astro Ria bersama Datuk Fazley Yaakob.
Atilia tumpang tuah Shiela Majid
Teruja dengan sambutan yang diterima menerusi pelancaran album Indah yang dijalankan di Indonesia baru-baru ini, Atilia memberitahu akan memberi fokus terhadap kariernya di sana.
Atilia berkata, respons positif daripada peminat muzik Jazz di sebarang terhadap albumnya itu sedikit sebanyak dapat memberi semangat baru buat dirinya untuk terus memperjuangkan bakat yang ada.
"Alhamdulillah, walaupun rezeki saya kurang di negara sendiri, di sana karier saya berjaya meraih perhatian masyarakat di sana.
"Tak sangka ramai yang datang ketika pelancaran album saya di sana. Malah dua lagu duet bersama Maliq & D’Essentials dan kumpulan Sore membantu menarik minat mereka," katanya.
Lebih membanggakan, apabila dia digelar 'The Next Sheila Majid' oleh masyarakat di sana.
"Saya anggap gelaran ini satu penghormatan yang besar buat karier saya memandangkan Datuk Sheila Majid bukanlah penyanyi calang-calang malah bakatnya tiada tandingan," ujarnya yang bakal tampil dengan album ketiga.
Daphne dikritik dek Harlem Shake
Nama Daphne Iking mula menjadi perhatian gara-gara video parodi Harlem Shake yang dimuat naik di Youtube.
Bermula sekadar suka-suka, Daphne tidak menyangka video tersebut mengundang kritikan negatif daripada segelintir pihak.
"Video itu terhasil adalah daripada idea suami saya dan kami lakukannya sekadar suka-suka kerana suami saya mahu menguji kamera yang baru dibelinya.
"Tidak sangka pula video ini mendatangkan kritikan yang tidak menyenangkan terhadap keluarga saya," katanya.
Bagaimanapun Daphne akui dia dan suaminya tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.
“Tak semua komen yang kami terima negatif. Sebaliknya saya pernah mendapat pujian dari Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya dalam satu pertemuan baru-baru ini," katanya sambil ketawa kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: