Tuesday, March 26, 2013

Sup power Port Dickson


RESTORAN Sup Power Port Dickson yang terletak di Kampung Baru Sri Rusa sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.


PORT DICKSON cukup terkenal dengan pantainya untuk aktiviti mandi-manda. Justeru, tidak hairanlah, pada hujung minggu atau cuti umum, pantainya sesak dengan orang ramai.
Ketika ini, kawasan pantainya telah dinaik taraf dan selesa untuk anda sekeluarga berkelah atau sekadar bersantai. Jika tidak mahu mandi laut, kemudahan kawasan permainan kanak-kanak turut disediakan. Apa yang penting, anda dapat membawa seisi keluarga bercuti sekali gus merapatkan hubungan kekeluargaan.
Jika anda tidak membawa sebarang bekalan makanan, apa kata singgah menjamu selera di Restoran Sup Power Port Dickson yang terletak di Kampung Baru Sri Rusa.
Restoran yang diusahakan pasangan suami isteri, Ismail Mohd., 36, dan Suhaili Ahmad, 35, itu menyajikan pelbagai jenis hidangan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan ala carte.
Dibuka secara kecil-kecilan sejak enam tahun lalu, kedai makan yang terkenal dengan hidangan sup lembu power itu terus meningkat menjadi sebuah restoran.
Resipi utara
“Pada peringkat awal perniagaan, kami hanya membuka gerai menjual sup lembu power di depan rumah. Tidak sangka sambutan sangat menggalakkan dan kini perniagaan semakin berkembang dan kami menawarkan pelbagai jenis hidangan.
“Sup lembu (gear box) yang kami tawarkan menggunakan resipi utara. Ia dijual RM25 semangkuk untuk hidangan empat orang,” kata Suhaili ketika ditemui baru-baru ini. Pada hari biasa antara 15 hingga 20 mangkuk sup power boleh dijual.
Suhaili yang menjadi guru selama 12 tahun nekad berhenti kerja setahun lalu bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan tersebut.
Sementara itu, Ismail yang sebelum itu bekerja di sebuah hotel di Port Dickson berhenti kerja tiga tahun lebih awal daripada isterinya.
Melangkah masuk ke restoran tersebut terutama pada waktu tengah hari, anda pasti rambang mata memilih kira-kira 40 jenis lauk pauk. Antaranya, pelbagai jenis ikan bakar, masak lemak ayam dan ikan, asam pedas, ulam-ulaman dan sayur-sayuran.
Harga makanan di restoran ini juga berpatutan. Restoran itu bukan sahaja menjadi tumpuan pada hujung minggu malah pada hari-hari biasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: