Sunday, March 31, 2013

Jins Shamsudin lupa, SM Salim menangis


WAKIL Yayasan Artis 1 Malaysia melawat dan menghulurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada insan seni ini.


TATKALA umur sudah mencecah angka emas, ingatan adalah segala-galanya. Bukan wang ringgit yang mereka cari sebaliknya perhatian sebagai tanda ingatan.
Itu yang ketara kelihatan di wajah dua Tan Sri yang sudah menabur jasa dan keringat dalam dunia seni masing-masing. Tan Sri Jins Shamsudin ialah anak kelahiran Perak yang sebati dalam dunia lakonan.
Begitu juga dengan Tan Sri SM Salim yang sehingga kini menjadi penghibur jiwa dengan suaranya yang tersendiri. Kini mereka sedang meniti hari tua bersama keluarga dengan keadaan kesihatan yang seiring usia.
Jins hilang memori
Jins masih berdiri tegap manakala pakaiannya kemas melekat pada tubuhnya. Berkemeja dan berseluar panjang, lelaki yang berumur 78 tahun itu tersenyum tatkala disapa tetamu yang hadir ke rumah.
Dahulu, riuh rumah Jins dengan suaranya mengalu-alukan kedatangan tetamu namun kini hanya tetamu menyapa namanya. Tiada balasan selain senyuman dan jemputan masuk. Dia jelas sudah hilang memori terhadap nama-nama yang pernah rapat dengan dirinya.
Mewakili Yayasan 1 Malaysia, nama-nama besar seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk DJ Dave, Datuk M. Daud Kilau, Nancie Foo dan Nash, mereka meluangkan waktu bertemu dengan seseorang yang sesuai digelar guru.
Mereka juga menjadi wakil bagi menghulurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada insan seni yang mereka hormati sejajar dengan penubuhan Yayasan itu sejak 11 November 2012.
AIR MATA ini jatuh bukan kerana wang ringgit sebaliknya ingatan rakan-rakan seperjuangan membuatkan SM Salim terharu dan rasa dihargai.


Walaupun nama para tetamunya sudah luput daripada ingatan Jins, mereka tetap bergurau seperti biasa dan mendengar kata-kata yang hanya sekali sekala keluar daripada mulut aktor yang sinonim dengan watak ejen perisik Jefri Zain.
Selebihnya sang isteri, Puan Sri Halijah Abdullah, 54, kini menjadi suara Jins lantaran beliau diserang penyakit Alzheimer. Sekali sekala, anaknya, Hang Nadim menambah fakta sekiranya Jins yang terdiam, memandang dengan pandangan kosong.
"Dia tidak cam walaupun muka sendiri di kaca televisyen. Katanya nama orang yang di dalam televisyen itu lain dengan dirinya. Tempoh hari, Noorkumalasari datang pun dia tidak ingat sedangkan itu kegemaran dia," ujar Halijah tentang suaminya.
Disoal tentang tahap kesihatan Jins, Halijah tersenyum sambil memanjat syukur. Penghulu keluarga mereka itu sedang diuji Allah. Cuma sebulan sekali, Jins dibawa ke Temerloh, Pahang untuk urutan di bahagian tangan.
"Aktivitinya pagi-pagi kami akan berjalan di sekitar kawasan rumah selama 15 minit. Bawa naik bukit dan kena cahaya matahari pagi. Kemudian dia akan tengok televisyen atau berbaring. Jins juga gemar membaca surat khabar dan akan mengambil masa sejam untuk membaca semua berita. Sekali sekala Nadim akan bawa dia menonton wayang. Dia tonton tapi dalam pandangan yang kosong," tambah Halijah.
Kesibukan dan terlampau fokus kepada kerja menjadi penyumbang kepada kehilangan memori Jins kepada peristiwa silam. Yang diingati adalah zaman Jalan Ampas dan Finas, selebihnya memorinya terendam bersama waktu berlalu.
"P. Ramlee itu guru saya," tiba-tiba Jins bersuara sekali gus membuat semua memandangnya. Dia kemudian menyambung renungan entah ke mana.
Jins pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School pada tahun 1970-1972 dan menerima diploma dengan kelas pertama.
Pada tahun 1999, dia menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.
Pada 24 Mac 2010 pula, Jins menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-23.
"Begitulah dia, cakapnya memang sedikit dan memang sejak azali begitu. Dia tidak mahu bercakap kalau bukan hal yang mustahak. Dia lebih gemar membaca. Dulu kalau diajak bercuti pun dia enggan. Saya bersyukur dengan kesihatannya. Melihat pada satu sudut, walaupun diserang Alzheimer tetapi sekurang-kurangnya kami sudah dapat dia kembali. Dulu selalunya dia tiada di rumah," senyum Halijah sebelum tetamu beredar langkah.
Mahu menyanyi
Sedikit berbeza dengan Jins, SM Salim menyambut tetamunya dengan air mata. Air mata SM Salim jatuh tatkala sampul surat berserta cek sampai di tangannya.
SM Salim tidak putus-putus mengucapkan terima kasih atas kunjungan rakan seperjuangannya tatkala dia kini berkerusi roda.
Tidak lama dia menyimpan emosi itu kerana tidak mahu semua yang hadir hanyut dalam tangisan. Dia tersenyum menyambung lawak jenaka. Ujar Datuk DJ Dave, SM Salim tidak pernah gagal membuat semua yang dekat dengan dirinya ketawa dan sikap itulah sebenarnya yang membuatkan penyanyi berusia 84 tahun itu terus sihat dan kelihatan segar.

WALAUPUN uzur, SM Salim tetap gemar membuatkan para tetamunya terhibur dengan jenakanya.


"Saya ni sihat-sihat orang tua. Tangan dan kaki susah sedikit nak digerakkan. Jadi kalau mahu makan, kena pakai sudu," kata Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros yang mencipta tapak dalam dunia seni sebagai penyampai radio.
"Saya sangat berbesar hati dengan rombongan ini. Saya fikir orang tidak ingat dan saya tidak sangka akan dapat duit banyak. Ingatkan semua dah tak peduli," katanya yang terharu dengan rombongan Yayasan Artis 1 Malaysia yang hadir ke rumahnya di Sering Ukay, Ampang, Kuala Lumpur.
Didampingi nama-nama yang sama-sama berjuang atas nama seni, SM Salim sempat meluahkan rasa. Keinginannya untuk menyanyi semula disuarakan.
"Saya sebenarnya gian mahu menyanyi. Magisnya bila menyanyi sahaja keadaan saya terus jadi baik. Aktiviti saya sekarang kalau duduk sendiri, saya akan pasang balik lagu-lagu saya dan dengar di mana salah saya menyanyi dalam rakaman tersebut," luahnya yang ketara kedengaran rindu dengan dunia nyanyian pentas dan rakaman.
Sudah darah anak seni, segala yang terjadi dalam cabang dunianya menjadi perhatian dan tatapan. Dari atas kerusi roda, SM Salim menjadi pemerhati. Ujarnya penuh ikhlas akan kekhilafan yang dilakukan penyanyi sekarang yang jelas di matanya.
"Penyanyi sekarang banyak nyanyi tidak betul. Lirik tidak kena dan begitu juga suara. Kalaulah bukan kerana cetak rompak dulu, sekarang kita sudah kaya raya. Filem pun sama juga pergerakannya," luah hati seorang biduan yang sudah berangkai ratusan lagu-lagunya dalam rakaman.
"Saya kalau menyanyi sambil duduk, nyanyian saya bagus. Tetapi kalau berdiri tidak bagus," jujurnya yang ketara memang mahu menyanyi dan menghibur semula.
Sebelum tetamu berundur pulang, dia memberi hadiah istimewa walau sekejap cuma. Bait-bait lagu Pasir Roboh dinyanyikan seketika. Sesekali dia berhenti sebelum menyambung nyanyian. Jelas dia rindu, serindu pencinta suaranya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: