Semuanya, gara-gara keakraban kedua selebriti ini ketika menjayakan pementasan Natrah. Tidak kurang juga ada yang mengatakan kedua pelakon ini kerap berjumpa dan bercuti bersama.
Apatah lagi ketika itu, Maya mengalami pergolakan rumah tangga sehingga ada pihak meletakkan Remy sebagai orang ketiga dalam rumah tangga Maya.
Namun semua gosip itu beredar bagai angin lalu, apatah lagi Remy ketika itu dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan heroinnya dalam drama Nur Kasih, Tiz Zaqyah.
Bagaimanapun, selepas hubungan Remy dan Tiz berakhir tahun lalu, Maya dan Remy dilihat mula akrab kembali apabila gambar percutian mereka di Hutan Simpan Imbak Canyon dan Maliau Basin di Sabah dimuat naik ke internet.
Tidak melatah dengan gosip percintaan yang kembali bertebaran, Maya berkata, ada kalanya dia terasa tercuit hati dan terharu apabila peminat seolah-olah memberi restu 'hubungannya' bersama Remy.
"Bagi saya, orang yang mengatakan saya bercinta dengan Remy adalah orang yang menyayangi saya kerana mereka mahu melihat saya bahagia.
"Malah saya juga tidak berasa marah atau sakit hati apabila perkara ini dibangkitkan, sebaliknya merasa situasi ini agak comel.
"Namun, jawapan saya tetap saya seperti beberapa bulan yang lalu atau tiga tahun yang lalu, bahawa saya dan Remy hanya berkawan baik, sama seperti hubungan saya dengan Bront (Palarae) dan Farid (Kamil)," ujarnya kepada Zass.
Maya berkata, kadang kala timbul juga rasa bosan apabila gosip cintanya dengan Remy bagaikan tiada kesudahan. Meskipun ada antara selebriti yang awalnya tidak mengaku bercinta dan akhirnya terkantoi, kes dia dan Remy pula berlainan.
Akui terkilan
Menyentuh pula mengenai ketidakhadirannya pada malam anugerah Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2 Mac lalu, Maya berkata, dia mengakui berasa terkilan.
"Saya sebenarnya amat bersyukur atas kemenangan trofi Pelakon Wanita Terbaik itu dan kali kedua menerima anugerah tersebut daripada penganjuran FFM, saya tidak dapat hadir. Sama seperti kali pertama menerima anugerah tersebut pada FFM21.
"Biasanya jika tidak ada urusan, saya tak pernah ketinggalan menjayakan majlis anugerah. Memang agak terkilan tapi nak buat macam mana kerana saya telah buat perancangan untuk bercuti semenjak November lagi dan segala urusan termasuk tiket penerbangan telah di buat dari awal," katanya yang ke London untuk berjumpa adiknya dan kemudian ke Berlin untuk berjumpa mak ciknya ketika FFM berlangsung.
Maya berkata, baginya kemenangannya itu adalah 'kemenangan istimewa berganda' kerana ketika awal diumumkan akan membawakan watak Izzah, ramai yang tidak bersetuju dan mempertikaikan kebolehannya.
"Ucapan terima kasih teristimewa saya tujukan kepada penerbit, Sharad Sharan dan pengarah, Osman Ali yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawakan watak Izzah dan anugerah itu membuktikan saya berjaya mengatasi cabaran daripada pihak yang menentang sebelum ini," jelasnya.
Masih selektif
Berkongsi mengenai perkembangan seninya, Maya berkata, sebelum bercuti dia sempat menyudahkan penggambaran filem Misi Sejoli dan dua minggu lagi, dia akan terbang ke Sarawak untuk memulakan penggambaran Nota.
"Misi Sejoli adalah naskhah komedi dan Nota adalah filem seram yang diarahkan oleh pengarah dari Jepun. Ia merupakan filem usaha sama produksi dari Malaysia dan Jepun," katanya.
Maya berkata, sehingga kini dia masih selektif memilih tawaran dan biasanya lebih suka memilih filem yang mempunyai nilai artistik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: