Sunday, March 31, 2013

Sekolah tahfiz flat Kampung Baru

KEBANYAKAN pelajar berasal dari Vietnam, Bangladesh, Filipina dan Selatan Thailand.


MUNGKIN ramai tidak menyedari Kampung Baru, Kuala Lumpur kini berusia lebih 100 tahun.
Uniknya kampung yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu merupakan satu-satunya ikon penempatan utama masyarakat Melayu.
Malah, perkampungan ini sarat dengan keunikan tersendiri terutama tradisi memasak dan mengagih bubur lambuk oleh Masjid Jamek, Kampung Baru sepanjang bulan Ramadan.
Mengunjungi kampung ini ibarat anda pulang ke kampung halaman. Walaupun dikelilingi pencakar langit namun pandangan mata pasti hinggap ke rumah tradisional.
Bagi penghuni Blok A, Flat PKNS, Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, Kuala Lumpur, mereka tegar melakukan urusan seperti biasa.
Flat lebih 20 tingkat ini sama seperti flat-flat lain cuma sering kelihatan kelibat kanak-kanak, remaja dan lelaki dewasa memakai jubah putih lengkap berserban.
Alunan suara mereka membaca kitab suci al-Quran di tingkat 4 dan 18 flat tersebut jelas kedengaran memberikan satu persepsi berbeza di kawasan ini.
Sebenarnya terdapat sebuah sekolah pondok tahfiz beroperasi di bangunan itu sejak 1995.
Individu yang menjadi nadi penggeraknya ialah Ustaz Fadzil Ahmad.
Kru Jurnal Khamis lalu berkesempatan menemubual lelaki berjanggut lebat yang yang mahir berbahasa Arab itu.
Mengimbau kembali kisah lama, Fadzil yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah menghabiskan masa lebih 10 tahun merantau demi mendalami ilmu agama.
"Sebaik sahaja habis sekolah menengah saya mendalami ilmu agama Islam di Selatan Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Yemen. Saya tidak ditaja oleh mana-mana pihak.
"Cuma di Yemen saya mendapat tajaan penuh sehingga menamatkan pengajian dalam bidang fiqh. Teringat pesanan guru meminta saya mempraktikkan perkara yang sama di negara sendiri," cerita Fadzil.

TIADA kos pengajian dikenakan kepada pelajar cuma dengan syarat terus menyebarkan syariat Islam.


Niatnya, cuma satu iaitu untuk berdakwah.
Tambahnya, ilmu yang dipelajari sekiranya tidak disebarkan hanya sia-sia.
Menariknya, para pelajar yang belajar di Madrasah Al-Yamani yang diasaskannya di Kampung Baru ini tidak dikenakan sebarang bayaran malah kos penginapan serta makanan semua ditanggungnya.
Penyebaran ilmu
Kebanyakan pelajarnya terdiri daripada golongan miskin, anak yatim dan mangsa peperangan.
Bukan itu sahaja, majoriti pelajar Fadzil berasal dari Bangladesh, Vietnam, Filipina dan Selatan Thailand.
"Memang ramai yang pelik kerana zaman moden kini tiada istilah percuma tetapi syukur rezeki yang Allah SWT berikan saya mampu bertahan.
"Sebenarnya, ramai yang menyumbang wang sama seperti individu persendirian, korporat dan masyarakat sekeliling. Selain itu, kami juga membuat jualan amal untuk mengumpul dana," cerita Fadzil.
Beliau juga ditanya mengapa pusat penyebaran ilmu yang diasaskannya terletak di flat.
Tegasnya, bagi seseorang yang menuntut ilmu, soal lokasi bukan persoalan utama tetapi kesungguhan untuk mempelajarinya dan menyebarkan kepada orang lain.
"Tempat hanya sekadar wasilah tetapi mereka yang harus fokus.
"Jika persekitaran dan teknologi moden serta canggih kesungguhan belajar tidak terlalu ketara kerana dibuai zon selesa," katanya berfalsafah.
Terang Fadzil, beliau bersyukur dengan penerimaan masyarakat sekeliling.
"Kami sering dijemput untuk mengetuai bacaan tahlil, doa selamat selain menjadi imam surau serta masjid sekitar Kampung Baru.
"Pelajar-pelajar juga aktif membantu dalam majlis perkahwinan dan gotong-royong anjuran komuniti flat," ujarnya.
Salah satu perbezaan ketara komuniti flat sejak kewujudan madrasah ini ialah pemakaian penduduk flat yang terdiri daripada golongan wanita tidak begitu menjolok mata selain perkara sumbang tidak dilakukan secara terbuka.
"Kini sudah berkurangan mungkin kerana segan dengan pelajar pondok dan tahfiz," kata Fadzil tersenyum.
Lelaki ini menyewa dua rumah di tingkat 4 untuk 37 orang penuntut tahfiz manakala tiga rumah lagi di tingkat 18 untuk penginapan serta lokasi pelajar dewasa mengikuti pengajian pondok.
Umur para pelajar sekitar tujuh hingga 40 tahun.
Tempoh pengajian bagi pengajian pondok selama tujuh tahun manakala bagi tahfiz pula selama tiga tahun.
Bermain bola
Kebiasaannya, penuntut yang mendapat keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di universiti sekitar Yemen dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.
Lelaki berusia 46 tahun ini bersyukur kerana terdapat enam orang pembantu yang membantunya menyelia madrasah.
"Para pelajar sendiri tidak dibenarkan keluar dari flat walaupun untuk berada di tingkat bawah. Selain itu jadual dipenuhi dengan sesi pengajian bermula selepas sarapan pagi hingga 11.45 malam.
"Malah, mereka tidak dibekalkan dengan komputer atau televisyen selain tidak boleh membawa telefon bimbit. Bukan untuk meminggirkan kepentingan teknologi cuma berharap mereka fokus dengan pelajaran.
"Tetapi, setiap Ahad mereka bercuti dan kesempatan itu boleh digunakan untuk menelefon keluarga. Cuti jangka masa panjang pula pada awal Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri," jelas Fadzil.

MAJORITI pelajar tahfiz berasal daripada keluarga miskin.


Tambahnya, kebanyakan pelajar sekolah pondok dan tahfiz akan bermain bola sepak di padang berhampiran setiap Ahad.
Bagi Ahmad Yusuf, 25, yang berasal dari Ho Chi Minh, Vietnam, dia menuntut di madrasah itu sejak dua tahun lalu.
Ahmad agak mahir berbicara bahasa Melayu walaupun pekat telor Vietnam sehingga tersasul mendakwa umurnya sudah 50 tahun.
"Saya bersyukur kerana dapat belajar di sini kerana di Vietnam kurang pusat pengajian Islam.
"Suasana di sini agak meriah kerana terdapat ramai rakan-rakan dari negara lain seperti Thailand, Kemboja, Bangladesh dan Filipina," terangnya.
Pendapat Ahmad turut dikongsi Abdul Karim Abdul Rahman, 24, yang berasal dari Kepulauan Moro di Filipina.
"Di negara saya sendiri agak kurang sekolah tahfiz dan sekolah pondok secara formal. Kebanyakan kami belajar ilmu agama secara persendirian.
"Madrasah ini lengkap dengan sistem pembelajaran dan pengajian yang sempurna termasuk buku-buku terkini.
"Waktu yang diisi dengan padat membuatkan kami agak sibuk.
"Kesibukan itu sendiri sebenarnya agak baik untuk menghalang kita melakukan perbuatan yang tidak berfaedah," katanya.
Bagi Omar Ashabk, 17, yang berasal dari Kazakhstan, dia bangga negara ini subur dengan pusat-pusat pengajian Islam.
"Di Malaysia terlalu banyak institusi berkaitan pengajian agama Islam termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
"Pentingnya individu itu sendiri yang ingin belajar. Kami di Kazakhstan masih baru untuk mengenal Islam lebih mendalam kerana tekanan semasa penjajahan Soviet dahulu," katanya.
Omar juga ingin membuka pusat tahfiz di negaranya sebaik sahaja tamat pengajian kelak.
Ahmad Uwais Qarni, 16, yang berasal dari Bachok, Kelantan telah empat tahun belajar tahfiz di madrasah ini.
"Seronok kerana persekitarannya cukup berbeza iaitu belajar di dalam flat sehingga sering dipanggil ustaz oleh penduduk sekeliling," katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: