Saturday, March 30, 2013

Pemanas daripada ramuan herba

ANDAK SPA menyediakan perkhidmatan terapi spa kampung khusus buat kaum Adam.


KETIKA menyertai Latihan Pembentukan Usahawan di Melaka sedekad lalu, Raja Andak Raja Hussin, 53, menyedari tidak ada usahawan yang berminat untuk menjalankan bisnes spa.
Pada masa yang sama, beliau mengakui permintaan untuk mendapatkan khidmat spa ketika itu agak tinggi terutama daripada golongan lelaki.
"Rata-rata permintaan untuk mendapatkan khidmat spa pada masa itu datangnya daripada pelancong dari Singapura, Thailand dan Singapura," kata bapa kepada seorang anak lelaki yang berumur 21 tahun itu.
Menurut Raja Andak, lazimnya para pelancong yang mahukan perkhidmatan spa itu kerana mereka sudah biasa memanjakan diri di spa-spa di negara masing-masing. Jadi, apabila melancong ke Malaysia, mereka mahukan khidmat spa yang sama seperti yang mereka nikmati di negara sendiri. Atas kesedaran itu, Raja Andak menjalankan bisnes spa dengan memberi khidmat mengurut atas sampan dan mandi tempayan.
"Urut atas sampan sekadar nama komersial, sampan itu sekadar melambangkan identiti nelayan kerana lazimnya kita mengurut di atas lantai," ungkapnya panjang lebar. Daripada mengurut, khidmatnya kemudian dikembangkan kepada bertungku untuk pelanggan-pelanggannya.
Kata anak kelapan daripada 14 adik-beradik itu, pada peringkat awal pelanggannya terdiri daripada pelancong-pelancong yang bercuti di hotel di sekitar Melaka. Lazimnya, beliau dipanggil oleh pihak hotel berdasarkan tempahan daripada pelanggan. Rata-rata pelanggannya terdiri daripada lelaki yang berumur 30 tahun ke atas. Antara masalah pelanggan beliau ialah kelesuan, stres dan masalah kelelakian. Spa Raja Andak beroperasi setiap hari kecuali hari Isnin dari pukul 9.30 pagi hingga 9.30 malam.
PENYEDIAAN untuk bertungku memerlukan ketelitian dan mengambil masa yang lama.


Ramuan herba
Raja Andak yang mewarisi kemahiran mengurut daripada nenek moyangnya memberitahu, bagi meningkatkan pengetahuan beliau juga menghadiri pelbagai kursus untuk mendalami bidang ini. Menurut beliau, amalan bertungku memberi manfaat pada tubuh kerana gabungan herba seperti pasir, garam, buah mengkudu, besi dan abu dapat memberi kesegaran kepada pengamalnya.
"Bertungku bukan sahaja sesuai untuk wanita bahkan lelaki. Tungku merupakan sejenis bahan pemanas yang mengandungi ramuan herba yang disangai bahan-bahannya sebelum dibungkus dengan kain kapas tebal," kata pemilik Andak Spa di Bandar Hilir Melaka, Melaka ketika ditemui baru-baru ini di spanya.
Lelaki itu memberitahu, bungkusan tersebut dipunjut dan dituam mengikut teknik yang betul pada tubuh badan.
Amalan bertungku mampu mengeluarkan angin dalam tubuh , memberi kesegaran, kelegaan, melancarkan peredaran darah, menghilangkan rasa mengantuk dan stres serta awet muda.
Tungku terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya tungku pasir, tungku besi, tungku garam, tungku buah mengkudu, tungku abu, tungku bijirin dan tungku bawang putih.
Antara bahan-bahan herba yang digunakan untuk bertungku ialah daun mengkudu, bonglai, jerangau, cekur dan halia bara. Selain itu, bahan-bahan lain yang digunakan termasuklah bawang putih, lada hitam, lada ekor, cabai kering, bunga lawang, serai wangi dan daun kantan.
Menurut Raja Andak, proses menyediaan bahan-bahan bertungku agak rumit dan memerlukan ketelitian.
"Adakalanya ia mengambil masa sehingga tiga minggu kerana bahan-bahan tersebut perlu dilakukan seperti dibersihkan, dijemur, diracik, disangai dan dipunjut," ujar usahawan bimbingan Mara Melaka itu yang telah menjalankan perusahaan spa kampung selama 18 tahun.
Raja Andak memberitahu, mereka yang mengalami tanda-tanda mati pucuk, amalan bertungku amat sesuai diamalkan selepas senaman dan urutan.
Amalan bertungku turut membantu mengatasi kesihatan lelaki yang kerap mengalami keletihan, stres, sakit perut dan angin pada ari-ari.
Bahan bertungku
Amalan ini juga kata beliau, sesuai untuk bayi atau anak kecil yang mengalami kembung perut atau keletihan di kaki.
"Tungku buah, tungku bijirin dan tungku abu sesuai digunakan. Bayi yang tidak selesa badan, tungku dituam di kawasan pelipat kaki manakala bayi yang mengalami kembung perut, tungku dituam di perut dan belakang badan," jelasnya.
Bagi bayi yang kerap menangis dan merengek, tungku dituam di sisi telinga dan ubun-ubun kepala manakala untuk angin pasang, tuam di bahagian celah paha. Bahan-bahan herba yang digunakan lebih kurang sama cuma teknik penggunaannya mungkin berbeza.

BERTUNGKU tidak hanya dilakukan oleh ibu-ibu selepas bersalin tetapi boleh diamalkan pada bila-bila masa sahaja.


"Tungku besi misalnya, popular di Kedah, tungku abu terkenal di Melaka dan tungku pasir diguna secara meluas di Johor. Daun mengkudu dan daun jerangau wajib ada dan digunakan sebagai bahan asas untuk bertungku. Daun-daun herba inilah yang mengeluarkan khasiat," katanya yang banyak membuat kajian di muzium.
Biarpun wujudnya tungku moden yang dipanaskan menggunakan elektrik, kesannya tidak sama dengan tungku tradisional. Biasanya tungku akan dibalut dengan kain-kain berwarna supaya ia memberikan impak kepada tubuh mengikut cakra warna bahagian yang mahu ditungku.
Ada juga tungku yang dibalut dengan kain batik kerana ia memiliki banyak warna dan dipercayai dapat memberikan kesan kepada tubuh.
"Orang Jerman dan Albania contohnya mempunyai tungku atau dipanggil alat pemanas yang menggunakan herba-herba tempatan mereka," katanya penggunaan tungku diguna secara meluas di dunia.
Tungku garam popular digunakan di Sabah, Kemboja, Thailand dan Filipina dan Indonesia.
Dek minat yang mendalam terhadap terapi kampung, Raja Andak telah mempromosikan amalan bertungku ke Singapura, Medan dan Jakarta di Indonesia yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia.
"Terapi kampung seperti bertungku perlu diketengahkan kepada generasi baharu yang tidak tahu langsung nama herba, khasiat serta teknik penggunaannya," ujarnya yang turut menjual tungku pasir dan tungku garam.
Dalam pada itu, ibu kepada empat orang anak, Tengku Azmanira Raja Husin, 39, sependapat dengan Raja Andak bahawa bertungku tidak hanya dilakukan dalam tempoh berpantang sahaja. Anak ketiga daripada lapan beradik dari Besut, Terengganu itu mendalami mengenai amalan bertungku daripada ibunya Tengku Azizah Tengku Ismail, 65, seorang bidan kampung di Kampung Alor Lintang, Besut.
Bertungku untuk ibu-ibu selepas bersalin membantu mengecut dan membaiki sistem peranakan, melembutkan urat-urat dan melancarkan pengaliran darah.
Pengetahuan berpantang
Tengku Azmanira turut menafikan pandangan bahawa wanita yang melahirkan anak secara caesarean tidak boleh bertungku. "Mereka masih boleh bertungku tetapi tunggu selepas seminggu. Bertungku boleh dilakukan di bahagian kaki, belakang betis dan paha," katanya mengakui bahagian perut di tempat pembedahan tidak boleh ditungku.
Bagaimanapun, mereka yang menghidap hipertensi tidak dinasihatkan terus bertungku dan mengambil jamu bagi mengelakkan tekanan darah mereka meningkat mendadak. Mereka boleh berbuat demikian hanya selepas tempoh tiga minggu bersalin.
Pernah berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Selayang selama 15 tahun, Tengku Azmanira mahu berkongsi ilmu kepada para ibu. Beliau yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Buloh di bahagian ibu dan anak menjelaskan, berdasarkan pemerhatiannya ramai ibu tiada pengetahuan bagi menjalani tempoh berpantang.
Justeru, kepada wanita yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai tip penjagaan kesihatan, boleh layari blog http://bidanbersalin.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: