Saturday, March 30, 2013

Pelancong asing belajar tinju Thai di Phuket



BEBERAPA orang pelancong asing yang mengikuti latihan untuk mempelajari Muay Thai.


PHUKET - Ramai pelancong asing bercuti di Pulau Phuket di Thailand untuk mempelajari sukan tinju Muay Thai untuk menguruskan badan mereka.
Sebahagian mereka sanggup berhenti kerja untuk menghabiskan masa selama berminggu-minggu dan beberapa bulan bagi menjalani latihan dengan tujuan untuk memenangi perjuangan menentang obesiti.
Bagaimanapun, terdapat pelancong asing yang berlatih dengan harapan akan menjadi petinju profesional.
Seorang pelancong Britain, Jordan Henderson, 26, sanggup meninggalkan gaya hidup sebagai warga kota London yang suka berparti dan bekerja selepas doktor memberi nasihat bahawa dia mungkin diserang sakit jantung kerana beratnya hampir 184 kilogram (km).
Selepas sebulan berlatih di sebuah pusat latihan Muay Thai, berat badannya berkurangan sebanyak 20kg.
"Anda berada dalam persekitaran yang panas pada setiap masa dan dikelilingi ramai orang yang membuat latihan kecergasan," katanya.


GAMBAR menunjukkan seorang pelancong asing (kiri) menjalani latihan di pusat itu.


Berat badan seorang bekas jurujual kereta di Britain, James Mason, 29, ketika dia tiba di Thailand kira-kira setahun dan enam bulan lalu ialah 200kg.
Namun, berat badannya kini berkurangan lebih 100kg.
"Doktor memberitahu, jika saya tidak melakukan sesuatu yang drastik untuk mengubah kehidupan dalam tempoh lima tahun, saya mungkin akan meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, semasa tiba di sini, belakang badannya akan sakit jika dia berjalan sejauh 200 meter.
"Saya terpaksa duduk dan berhenti untuk menarik dan menghembuskan nafas. Peluh memenuhi badan saya kerana cuaca panas dan lembap," katanya.
Selepas tiga bulan menjalani latihan, Mason dijangkiti bakteria pemakan daging dan terpaksa menjalani tiga pembedahan yang hampir menyebabkan sebelah kakinya dipotong.
Bagaimanapun, dia kembali pulih.
Mason kemudian meneruskan latihan lasak dan baru-baru ini, dia berjaya menamatkan kayuhan amal sejauh 900 kilometer dari sini ke Bangkok.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: