Sunday, March 31, 2013

Selamat datang ke rimba, Guns N' Roses


SEKITAR 10,000 penonton datang menyaksikan momen bersama grup yang pernah dianggap sebagai kugiran paling berpengaruh.


GRUP Guns N' Roses merupakan sebuah kugiran paling berpengaruh tatkala ia masih dianggotai Axl Rose, Slash, Izzy Stradlin, Duff McKagan dan Steven Adler. Selama tujuh tahun formasi ini bertahan, setiap cerita liar kelima-lima mereka ini terpahat di dalam kisah legenda rock n' roll di Los Angeles.
Kini, Guns N' Roses (GnR) bagaikan sebuah nama francais tersohor dalam perniagaan muzik rock berikutan katalog lagunya yang masih laris. Daripada lima formasi asal, hanya tinggal Axl Rose yang mahu mempertahankan ideologi muzik Guns N' Roses.
Memasuki era baharu, GnR menghadapi krisis pertukaran ahli, rakaman album dan perniagaan. Melihat sebagai satu peluang, Axl membeli hak cipta penuh nama GnR. Dia kemudian mengambil alih pentadbiran kugiran ini dengan memegang sepenuhnya pentadbiran dan pengurusan. Detik turut menyaksikan perbalahan dengan pengurus, ahli asal serta pengurusan syarikat rakaman. Axl yang terkenal dengan sikap panas baran dan berkepala angin mahu semua ahli mengikut perancangannya maka daripada sinilah GnR memasuki fasa baharu.
Guns N' Roses kini dianggotai Richard Fortus, Ron 'Bumblefoot' Thal, DJ Ashba, Tommy Stinson, Chris Pitman, Frank Ferrer dan Dizzy Reed. Barisan ini merupakan pemuzik profesional yang diyakini mampu meneruskan ideologi muzik fasa baharu GnR.
Seperti kejutan kontroversi perlumbaan F1 membabitkan kumpulan Red Bull, ramai juga peminat-peminat meramalkan bakal ada kontroversi tersendiri daripada pasukan GnR. Ia ditokok dengan perangai besar kepala Axl yang suka melewat-lewat masa persembahan. Nyata ramalan ini meleset kerana, Axl tiba tepat pada masa, dan konsert bermula jam 8.15 malam setelah selesai persembahan kumpulan pembuka Estranged dan Twilight Action Girl.
Lagu Chinese Democracy dimulakan bersama petikan liar DJ Ashba bersama gitar Les Paul yang benar-benar memanah telinga dan mempesona mata. Apabila ketukan dram Frank masuk, lantas Axl dan anggota yang selebihnya memasuki pentas bersama iringan bunga api dan kesan khas yang memancing perhatian semua penonton.

DARI kiri: Ron 'Bumblefoot' Thal dan Tommy Stinson membentuk formasi Guns N' Roses yang baharu namun punya hubungan kimia yang cukup bagus.


Jelas kelihatan aura bintang rock Axl masih lagi utuh dengan pemakaian kostum klasik seorang rocker. Topi koboi yang dipadankan bersama bandana merah di kepala, jaket kulit hitam, jean lusuh koyak bertampal bersama kain sapu tangan yang terselit di belakang poket denim. Tidak cukup dengan itu Axl turut menyarung kasut koboi tumit tinggi serta aksesori tambahan seperti gelang, cincin dan rantai.
Persembahan selama 150 minit itu berlangsung tanpa sebarang kecacatan. Pemilihan 28 buah lagu cukup memuaskan cita rasa semua peminat di Malaysia. Hanya empat lagu dari album terbaharu yang dimainkan dengan selebihnya adalah lagu kegemaran ramai sewaktu GnR berada di puncak.
Vokal serta aksi pentas Axl, tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia berada di tahap yang tinggi. Axl yang memiliki vokal lapan nada oktaf mempamerkan kualiti yang cukup mengagumkan ketika menyanyikan lagu bernada tinggi seperti Knocking On Heaven's Door, Welcome to the jungle, Estranged, This I Love dan sudah pasti lagu wajib kegemaran ramai November Rain. Baru sahaja mencecah umur 51, stamina Axl masih terjaga walau kadang kelihatan dia akan mundar-mandir ke belakang pentas untuk menyedut oksigen.
Rata-rata peminat setia pasti boleh mengenali pemain piano tinggi lampai Dizzy Reed. Hanya dia sahaja satu-satunya alumni GnR dari era Use Your Illusion yang setia bersama Axl. Tidak kalah dengan pesonanya yang istimewa, Dizzy turut tidak segan silu mempamerkan bakat semula jadi bermain piano. Berbekalkan lagu utama Led Zeppelin, Dizzy menyihir penonton dengan gaya tersendiri lagu No Quarter versi kumpulan Tool.
Aksi Ron pasti akan diingati ramai kerana kesungguhan dan ketelitian dia dalam permainan gitarnya. Sudah menjadi tradisi rasmi Ron untuk memainkan lagu kebangsaan setiap negara yang mereka kunjungi. Maka sebelum memainkan lagu balada fenomena Don't Cry, Ron dengan selamba memainkan melodi Negaraku secara instrumental. Ini membuatkan ramai peminat naik histeria menyanyi penuh perasaan serta menjerit puas tanda setuju kepada tindakan Ron yang cukup istimewa.

LAGU Paradise City merupakan penutup yang baik buat konsert yang berlangsung di Lapangan Heli, Sepang ini.


Daripada sudut pandangan visual, ketiga-tiga pemain gitar GnR memiliki aura personaliti yang tersendiri. Mungkin setiap dari mereka tidak mampu menyaingi impak visual pemain asal seperti Slash, Izzy dan Gilby tetapi daripada kemampuan teknikal, adalah setara. Richard Fortus yang gayanya kelihatan persis Izzy mantap bersama gitar Fender Telecaster dan Gibson Hollowbody 335. Richard yang selasa di posisi gitar 'rhythm' banyak memenuhkan ruangan dengan bunyi yang kemas serta terjaga rapi.
DJ Ashba yang jelas mengambil posisi Slash, tampil sedikit berbeza dengan mengenakan topi kecil. Dia cenderung melakukan gitar solo yang kedengaran sedikit lain dari petikan yang asli. Setia bersama gitar Gibson Les Paul custom, DJ Ashba nampaknya mencuba sedaya upaya mencipta identiti tersendiri daripada terlalu kerap dibandingkan permainannya dengan gaya Slash.
Lagu saduran tersohor Knocking on Heaven's Door dinyanyikan Axl dengan penuh perasaan dan emosi. Axl sendiri secara peribadi menghadiahkan lagu ini kepada mendiang ayah pembantu peribadinya, Beta Lebies yang setia menguruskan kerjaya Axl daripada awal sehinggalah kini. Beta mendapat berita kematian ayahnya pada Sabtu, sehari sebelum mereka berkonsert.
Lagu wajib Paradise City, menjadi penutup terbaik kepada setiap konsert GnR walau di mana sahaja mereka berada. Tidak ketinggalan di tapak helipad Sepang ini, Axl serta pemuzik upahannya melabuhkan tirai bersama lagu penutup album Appetite For Destruction dengan penuh intensiti. Kepuasan jelas sekali terpancar kepada semua peminat tegar GnR kerana displin, dedikasi serta kasih yang tak berbelah bagi dari semua anggota dan kru kumpulan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: