Saturday, March 30, 2013

Penerus legasi lagenda!


ACCORD generasi kesembilan sarat dengan teknologi keselamatan tercanggih.


SEPERTI kita sedia maklum, Honda ialah nama besar dalam industri automotif. Produknya pelbagai, bukan hanya setakat kereta dan motosikal. Bahkan bermula daripada sekecil generator pasar malam hinggalah ke pesawat peribadi.
Nilai kejuruteraan yang ada pada syarikat itu sangat besar dan berjaya pula dalam memasarkan produk-produk mereka. Jika Honda mempunyai universiti, saya yakin ramai juga yang ingin belajar di sana.
Produk kenderaan mereka sebenarnya banyak, ada yang kecil dan besar. Cuma untuk pasaran global, hanya beberapa model sahaja yang dikenali umum. Antara model-model tersebut ialah Jazz, Civic dan Accord.
Civic dan Accord misalnya sudah berpuluh tahun berada dalam pasaran dan merupakan model pembuka jalan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS). Senang kata, kedua-dua model tersebut merupakan bread & butter untuk Honda.
Baru-baru ini di Thailand, Honda telah memperkenalkan kepada umum Accord generasi kesembilan. Model serba baharu itu menampilkan reka bentuk elegan sebagai refleksi kepada citarasa pelanggan.
Ia bagi memenuhi kehendak pasaran yang mahukan kereta dengan ciri-ciri mewah, selesa, ada gaya dan sofistikated. Dengan reka bentuk baharu sepenuhnya, Accord turut didatangkan dengan teknologi pemanduan pintar untuk prestasi yang lebih responsif, selamat dan cekap bahan api. Semuanya bagi memenuhi agenda hijau yang merupakan arus perdana dalam dunia automotif hari ini.
“Sejak pengenalannya pada tahun 1976 hingga penghujung 2012, Honda Accord telah berjaya menambat hati konsumer global dengan jualan terkumpul sebanyak 19 juta unit di 160 buah negara seluruh dunia. Jualan di Thailand pula adalah sebanyak 138,229 unit sejak tahun 1984 hingga penghujung 2012,” jelas Naib Presiden Eksekutif, Honda Automobile (Thailand) Co. Ltd., Pitak Pruittisarikom.
Dengan adunan ideal yang terdiri daripada kemewahan, elegan, reka bentuk sporty serta ciri-ciri aerodinamik yang ditambah baik, Accord baharu tampak lebih kemas, garang dan elegan.

RUANG kabin nampak mewah dengan kemasan dan tempat duduk berwarna gelap.


Mewah dan selesa
Gril hadapannya diperkemas, manakala lampu belakang LED pula nampak kontemporari dan korporat. Bahagian dalaman pula nampak seperti ingin meraikan pemandu dan penumpang dengan keselesaan dan kemewahan.
Kerusi yang besar memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Kabin yang lebih luas didatangkan dengan kerusi bersama kontur rekaan semula. Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara automatik dengan lapan pergerakan dan fungsi ingatan (memory seat). Kerusi sebelah penumpang juga boleh dilaras secara automatik dengan empat pergerakan.
Kemudahan lain ialah Active Noise Control (ANC) yang menawarkan pemanduan senyap, kawalan suhu automatik dua zon, Adaptive Cruise Control (ACC) yang mampu mengawal kenderaan secara automatik mengikut kenderaan hadapan dan One Push Ignition System.
Sistem multimedia pula terdiri daripada skrin berwarna bersaiz sembilan inci (Multi-Information Display 9i-MID) dan sistem navigasi. Dengan antara muka pintar, pemandu boleh mengawal sistem audio dan Bluetooth telefon bebas tangan menggunakan On-demand Touch Panel.
Menguasakan Honda Accord serba baharu ialah enjin 2.4 liter i-VTEC berkuasa 174hp dengan tork 225Nm. Enjin 2.0 liter i-VTEC pula berkuasa 155hp dengan tork 190Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi lima kelajuan automatik.

BAHAGIAN tengah papan pemuka dihuni oleh sistem multimedia dengan skrin berwarna bersaiz sembilan inci.


Melalui Accord baharu ini juga, Honda memperkenalkan sebaris teknologi keselamatan terkini yang biasanya terdapat pada kereta mewah buatan Eropah. Antara teknologi yang dipakejkan ialah Collision Mitigation Brake System (CMBS). Ia berfungsi memberi amaran kepada pemandu jika objek hadapan terlalu dekat, seterusnya cuba untuk membrek bagi mengelak atau mengurangkan risiko kemalangan.
Honda Lane Watch Blind Spot Display pula membantu dalam memerhatikan objek pada sisi kereta. Sementara Active Cornering Lights membantu pemandu sewaktu melalui selekoh pada waktu malam.
Teknologi keselamatan lain ialah lampu LED siang hari, beg udara depan, i-side (sisi), Vehicle Stability Assist (VSA), Motion Adaptive Electric Power Steering (MA-EPS), Hill Start Assist (HSA), ABD, EBD, Emergency Stop Signal (ESS) dan cermin sisi tingkap depan dengan pengalir air serta cermin sisi hydrophilic untuk membantu penglihatan.
Apa yang ditawarkan Honda pada Accord generasi kesembilan ini sangat impresif. Dengan ciri sedia ada pada kenderaan Honda seperti penjimatan minyak dan kos pemilikan yang rendah, kemudian digabungkan pula dengan teknologi yang ditawarkan pada kereta mewah Eropah. Ia seperti kahwin campur antara pasangan Asia dan Eropah seterusnya menghasilkan suatu yang unik.
Paling penting pelanggan tidak perlu lagi berhabis wang untuk menikmati teknologi yang canggih dan selamat. Senang cerita, spesifikasi Eropah tetapi pada harga Jepun.
Tidak sabar rasanya untuk menunggu Accord spesifikasi Malaysia. Jika sama hebat seperti Thailand, nampaknya pengeluar lain dari Korea, AS dan Eropah mungkin agak goyah. Apa guna inovasi dan teknologi jika tidak boleh dinikmati ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: