|
PENJENAMAAN baharu yang menghasilkan nama Salwa Razak daripada nama terdahulu Arora Salwa merupakan permulaan kehidupan baharu pemilik nama itu.
Tegas penyanyi yang sebelum ini popular dengan lagu Ahmad, nama Salwa Razak adalah kebangkitan semula daripada kegagalan.
“Imej baharu dan pendekatan yang lebih terkini diharapkan menjamin sebuah karier yang lebih kukuh dan stabil.
“Saya kira, perlu untuk saya menukarkan imej yang lebih feminin dengan nama dan aliran muzik yang baharu,” katanya ketika sidang akhbar pelancaran single terbaharu berjudul Hidup Baru di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lagu Hidup Baru menampilkan vokal Salwa Razak yang lebih lantang menerusi genre balada, malah liriknya juga mengandungi makna tersirat bagi penyanyi itu.
“Balada adalah jiwa saya dan bersama pasukan baharu ini, saya diberi kepercayaan untuk memilih sendiri genre lagu yang saya mahukan. Gagal atau berjaya, saya serahkan kepada peminat untuk menilai,” tambahnya yang kini bernaung di bawah JJS Partners Solution Sdn. Bhd.
Salwa yang memulakan karier sebagai penyanyi pada tahun 2010 pernah tampil menerusi single berentak catchy berjudul Ahmad dan Kau Tak Menarik Lagi sepanjang bernaung di bawah label Sony Music dari tahun 2010 hingga bulan Oktober tahun lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kisah kontroversi percintaan yang pernah melibatkan Salwa dan anggota kumpulan Max 24:7, Alloi, penyanyi itu bertegas mahu melupakan kisah silam.
“Saya seorang manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.
“Saya harap selepas ini tidak akan ada lagi kontroversi mengenai saya dan jika ada perbuatan yang tidak patut saya lakukan, tegurlah saya secara peribadi dan saya akan menerimanya dengan positif. Segalanya baharu buat saya sekarang dan perkara lepas adalah ujian bagi saya.
“Kontroversi menyebabkan karier tercemar dan mungkin saya sendiri ada membuat kesilapan pada masa lampau. Tapi sekarang saya lebih matang untuk belajar tentang kehidupan,” getusnya.
Salwa juga enggan dikaitkan dengan mana-mana pihak malah dia juga enggan menerima komen daripada pihak lain mengenai dirinya.
“Pihak yang bercerita mengenai diri saya tanpa usul periksa adalah kurang bijak dan orang seperti itu tidak boleh melihat kejayaan orang lain. Bertindak dan berfikirlah secara positif.
“Suka hatilah dia mahu buat apa, bagi saya ibaratnya masuk telinga kiri keluar telinga kanan,” katanya.
Dikecewakan cinta bukan bermakna harus mengalah selamanya. Kata Salwa, dia tidak serik bercinta malah dia kini bersedia untuk kembali cinta baharu.
“Bukan serik dan saya juga tidak pernah berhenti mencari cinta baharu tapi pendirian saya sekarang adalah mengikut arus yang ada di hadapan saya.
“Kalau ada jodoh maka adalah. Saya kena memilih dan enggan pisang berbuah dua kali. Buat masa sekarang saya tiada sesiapa dan saya berkawan dengan semua orang.
“Kalau ditanya mengenai kisah cinta sebelum ini, saya sudah maafkan dia, tapi saya tidak akan melupakan perkara yang telah berlaku,” tegas Salwa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: